02 September 2013

Derma

Hari raya sudah lama berlalu, walaupun Syawal masih berbaki beberapa hari. Kuih-muih pun sudah habis, kebanyakkan yang tersisa hanya serdak yang sesekali tetap dikorek mengisi perut di kala bersantai bersama keluarga.

Tuan rumah juga lah yang menghabiskan kuih, mana lah badan tak menggebu. Aduhai!

Duit raya anak-anak juga sudah dikumpul. Polisi kami tidak kira siapa yang dapat banyak, tak kira siapa yang dapat sedikit. Bila sampai masanya, semua duit raya yang diperoleh akan dikumpul sekali. Tidak ada yang tertinggal. Jumlahnya akan dibahagi tiga.

Alhamdulillah. Banyak juga "hasil" tahun ini. Tetapi Ustazah Nur Hanis sudah awal-awal lagi memberi amaran.

"Abah jangan pakai duit raya kami semua beli minyak kereta tau! Duit ni semua simpan dalam bank".

Hahahahah!

*********

Tahun ini saya bercadang untuk membuat perbezaan. Melihat anak-anak yang seronok mengira duit raya, saya tiba-tiba tersedar bahawa saya kurang menanamkan semangat untuk berkongsi, atau dalam erti kata yang lain, menderma atau sedekah. Ada juga, tetapi tidak tercapai objektif menderma itu sendiri. Misalnya, jika saya ke masjid dengan si sulung, selalunya saya berikan duit saya sendiri untuk Kapten Haris masukkan ke tabung. Itu juga derma, tetapi daripada saya dan bukannya datang daripada anak saya sendiri.

Lanjutan dari semangat Ramadhan yang baru berlalu, saya terfikir untuk mengekalkan momentum yang masih bersisa. Hanya dua malam yang sudah baru dapat saya cadangkan kepada anak-anak. Kebetulan Ustazah Nur Hanis menunjukkan kepada saya tabung merah jambunnya yang khusus untuk duit syiling.

"Anak-anak. Nak tak kalau kita buat satu tabung derma?" 
"Tabung derma? Untuk apa?", soal Doktor Hanim 
"Tabung derma ni untuk sesiapa je masukkan duit. Nanti bila dah penuh, kita boleh dermakan dekat masjid, anak-anak yatim. Orang Palestine pun boleh, orang Syria..." 
"Orang Mesir!", sampuk abang Haris. 
"Betul! Orang Mesir" 
"Nak buat apa bagi duit kat orang Palestine?", si kecil mahukan penjelasan. 
"Macam-macam. Kita boleh bantu orang-orang Islam kat sana untuk belajar, beli makanan. Kesian dorang kena serang hari-hari. Kita kat sini ada duit, boleh la tolong sikit-sikit"

Alhamdulillah. Cadangan dan penerangan yang pendek sahaja. Semua faham dan bersetuju.

Sekonyong-konyong itu juga Ustazah Nur Hanis membuat label untuk dilekatkan pada tabung.

Tabung Derma "Kaler Pink", bekas jam tangan RM 10 yang dikitarsemula.


Dan malam tadi, sudah ada duit kertas di dalam Tabung Derma "Kaler Pink". Semangat sungguh anak-anak saya untuk menderma, siapa sangka. Aduh! Lalainya saya.

"Abah, kakak bagi RM2.70. Hanis bagi RM5. Abang tu belum bagi lagi!"

Itu kemaskini status terkini daripada Ustazah Nur Hanis. Masyaallah. Si kecil kami yang sudah hilang gigi depan ini yang paling bersemangat. Dia lah yang menyiapkan tabung, dia juga lah yang penyumbang "terbesar" setakat ini. Abah, si pencadang utama, masih belum menyumbang.

Malu.

Selepas mengisi tabung dengan duit yang sempat saya kaut dari kocek seluar, saya teruskan dengan teknik memuji.

"Alhamdulillah. Bagus betul anak-anak abah ni, bagi derma duit sendiri (puji kebaikan). Setiap duit yang anak-anak derma, Allah akan catatkan 10 kali ganda kebaikan (impak)."  
"Abah, lepas bagi kat orang Palestine, kita bagi anak-anak yatim pulak ye?"

Saya bersetuju dan mengiakan sahaja kata-kata Ustazah Nur Hanis.

Senyum.




18 June 2013

Pengalaman mengamalkan teknik mendorong

Dalam alumni di FB, ada pandangan berkaitan amalan teknik ini yang lebih mudah dilakukan oleh kaum wanita berbanding kaum lelaki. Saya tertarik dengan perbincangan seperti ini.

Saya tidak pasti sama ada mahu bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Jadi, saya kongsikan sendiri serba sedikit pengalaman saya yang masih baru mengamalkan teknik ini (selama kurang lebih enam bulan).


  1. Mengamalkan teknik ini memerlukan keazaman individu. Semasa saya mula mengenali teknik ini, saya sememangnya kebetulan sedang mencari-cari cara/panduan yang lebih baik untuk mendidik anak-anak. Saya sedar cara saya mendidik anak lebih kepada pengalaman lepas dan "kaedah cuba jaya". Kemudian diperkenalkan pula dengan teknik mendorong murid corot. Teknik ini pula agak "mudah" dan terbukti berkesan. Jadi, kedua-dua azam dan keberkesanan teknik ini banyak membantu saya untuk terus mengamalkannya.
  2. Terus-terang saya katakan, untuk berubah daripada kebiasaan (marah, kritik, bebel, leter) itu agak sukar. Ianya sudah sebati dalam hidup atas faktor didikan terdahulu, persekitaran dan kebiasaan. Bayangkan, dengan teknik ini anak yang buat perangai/kesalahan bukannya dimarah, sebaliknya dipuji! Ini memang sangat sukar bagi saya. Dan saya akui, sepanjang 6 bulan saya mengamalkan teknik ini, bukanlah tidak pernah langsung saya membebel/marah/kritik. Kadang-kadang terlepas tanpa sedar, kadang-kadang memang sudah tak tertahan. Cuma bila sudah "sedar diri" semula, saya kembali kepada teknik ini.
  3. Rahsia utama teknik ini bagi saya  ialah ianya perlu diamalkan berterusan. Setiap hari, setiap masa. Bukan sekali-sekala, bukan hanya bila teringat. Ini untuk melatih diri kita sendiri.
  4. Tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk mendapatkan perubahan serta-merta. Percayalah, jika ada sikap sebegini, yang akan kecewa adalah kita sendiri. Perubahan itu bukan dalam kawalan kita. Saya juga begitu pada mulanya. Kemudian saya sedar, saya sendiri menghadapi waktu sukar untuk berubah daripada kebiasaan (rujuk point 2), jadi mana mungkin perubahan anak-anak pun boleh berlaku sekelip mata. Dan sebenarnya teknik ini bukan hanya untuk anak-anak kita, teknik ini juga untuk membantu kita memperbaiki diri sendiri. Daripada seorang yang sering bersikap dan memandang negatif, kepada seorang yang lebih tenang dan aman.
  5. Pelbagaikan cara mendidik. Teknik ini bukannya satu-satunya cara untuk mendidik anak. Saya sendiri suka melihat kepelbagaian cara didikan yang ada. Selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam, saya akan cuba yang mana bersesuian. Teknik/amalan yang berbeza bukan menunjukkan ianya lebih baik antara satu sama lain, tetapi lebih kepada melengkapi antara satu sama lain.


Ini lah pandangan dan pengalaman saya dalam mendidik anak-anak menggunakan teknik mendorong. Pengalaman individu berlainan, jadi saya meraikan perbezaan pendapat.

Kembali kepada persoalan sama ada kaum wanita lebih mudah mengamalkan teknik ini bagi saya ianya lebih kepada perkara "kelebihan". Diakui kaum wanita lebih mudah mesra, penyayang dan lebih mudah menyantuni anak-anak kecil. Ini membantu mereka untuk megamalkan teknik ini dengan lebih mudah. Namun begitu, sikap ini bukan hak mutlak untuk mana-mana jantina. Jadi, sesiapa pun boleh mengamalkannya.

Tambahan pula, teknik ini pula kita pelajari daripada seorang lelaki yang terhebat kesayangan kita semua, Muhammad Solloahu Alaihi Wassalam.

Wallahualam.


*Tujuan entri ini hanya untuk menceritakan pengalaman dan pandangan. Sekali lagi saya alu-alukan pendapat dan pandangan lain sekiranya berbeza.


12 June 2013

Tragedi Buah Epal

Epal merah.

Kesukaan anak-anak kami. Sejak bila saya pun sudah lupa. Memang sudah menjadi kegemaran anak-anak sejak dulu lagi. Saya sendiri penggemar buah-buahan. Peti sejuk kami jarang tidak ada buah. Mangga, jambu batu, jambu air, limau, lai, pear, nangka, mata kucing dan macam-macam lagi mengikut musim.

Konon-kononnya, sebagai pengganti sayur-sayuran.

Ye lah. Abahnya pun hanya mula makan sayur-sayuran semenjak berumahtangga. Jadi, anak-anak entah dari mana tahunya "rahsia" ini, sudah mula mengikut jejak langkah saya. Tidak mahu makan sayur. Kalau terselit dalam gaulan nasi atau mee, akan dikuis mereka dan diletak ke tepi.

Ibarat Puspawangi mengasingkan barang-barang dalam bunjut Tun Nila Utama dalam filem Musang Berjanggut.

Dikuis satu persatu. Teliti.

Tapi, itu tidak mengapa. Tak makan sayur? Bukan masalah besar.

Mengikut formula Food Scientist Profesor Dato Sharulnizam aka Profesor Sayur Taugeh, sayur-sayuran boleh diganti dengan buah-buahan.

Ehehehe!

Jangan percaya akan formula itu, fiksi semata-mata.

Saya hanya menggunakan logik, buah-buahan dan sayur-sayuran itu kan berasal dari tumbuhan? :)


Kulit
Hari itu, hari cuti. Doktor Nur Hanim di ruang tamu menonton televisyen, sambil mengunyah buah epal yang baru dibeli ummi. Saya kemudiannya ke dapur mahu mengambil air minuman. Dan bila saya ke sinki, mata saya melihat pemandangan ini.

Kulit epal bersepah di sinki

Saya sudah tahu angkara siapa. Tidak perlu menuduh-nuduh lagi. Bukti sudah nyata. Kejadian sudah berlaku. Pesalah sudah diketahui. Lalu? Ya, masa untuk mengaplikasikan teknik nabi. :)

"Kakak... ooo.. kakak!" 
"Ya" 
"Meh sini jap"

Saya memanggil dari dapur. Ruang tamu hanya di sebelah. Doktor Nur Hanim datang sekonyong-konyong itu juga.

"Apa bah?" 
"Abah suka sangat bila kakak makan buah-buahan (puji kebaikan). Makanan yang berkhasiat. Insya-allah, kakak boleh dapat vitamin untuk badan kakak (impak)"

Saya teruskan saja kata-kata saya. Doktor Nur Hanim hanya mendengar. Terpinga-pinga juga.

"Cuma abah nak kakak bersihkan sinki ni boleh? Kakak sepahkan kulit ni kat sinki, nanti boleh tersumbat (terangkan kesalahan). Kakak bersihkan masukkan dalam tong sampah nanti takde lah tersumbat, sinki pun bersih"

Doktor Nur Hanim hanya tersengih. Sudah akur dengan kesalahannya.

"Ok abah. Tapi boleh tak kakak habiskan dulu epal ni? Dah habis nanti kakak bersihkan" 
"Boleh sayang. Dah habis makan nanti kakak bersihkan. Terima kasih kakak sebab tolong bersihkan (puji), kakak membantu abah dan ummi, abah suka sangat (impak)"

10 minit kemudian.

Sinki bersih. Doktor Nur Hanim boleh menonton tanpa bebelan abah. Dan abah boleh sambung main Candy Crush tanpa rasa sakit hati.

Opppsss!

Ehehehe!




29 May 2013

Baca buku

Pagi tadi Ustazah Nur Hanis bersiap-siap untuk ke Kem Anak Soleh anjuran tadikanya. Hari ini sudah masuk hari kedua/terakhir. Agenda hari ini mahu ke Masjid Besi di Putrajaya. Saya turut terkocoh-kocoh membantu meyediakan apa yang patut.

Dalam saya menyiapkan Ustazah Nur Hanis, ada sedikit getusan rasa yang terbuku di hati. Risau. Semuanya berkisar tentang penyertaan Ustazah Nur Hanis ke dalam program anjuran sekolahnya ini. Seorang diri, tanpa diteman kakak, abang atau kami sebagai ibu bapa. Ustazah Nur Hanis baru berumur 6 tahun. Mahu ke Putrajaya pula!

Saya sendiri hanya mula "berjauhan" dengan ibu bapa ketika berusia 12 tahun. Itu pun hanya ke Tasik Perdana. Itupun tak sampai sehari.

Disebabkan Ustazah Nur Hanis ini anak yang paling bongsu (setakat ini),  manjanya agak terlebih. Jadi sedikit sebanyak (banyak sebenarnya), saya sudah tentu risau akan keadaan anak comel kami ini. Tetapi Ustazah Nur Hanis tak pernah menunjukkan wajah bimbang, takut atau tidak yakin untuk berseorang diri. Dia tenang, malah teruja untuk menyertai Kem Anak Soleh ini.

Barangkali.

Barangkali, abah Nur Hanis yang terlebih manja.

Eheh!

Sesudah selesai bersiap, saya menghidupkan enjin kereta. Sayup-sayup saya terdengar Ustazah Nur Hanis berceloteh dengan "ibu"nya (ipar saya, merangkap pengasuhnya ketika kami bekerja) di sebelah rumah. Saya hanya menunggu di dalam kereta sehingga lah si pipi tembam saya itu terkedek-kedek berlari masuk ke dalam kereta.

"Adik buat apa kat rumah ibu?" 
"Hanis pergi mintak buku Hanis. Semalam kakak Atin (sepupunya) pinjam" 
"Buku apa?" 
"Buku cerita (saya lupa tajuknya). Hanis nak bawak pergi Kem Anak Soleh" 
"Nak buat apa? Sempatke adik nak baca?" 
"Hanis nak baca dalam bas. Teacher cakap nanti naik bas lama. Hanis nak bawak buku, nanti boleh la baca. Kalau tak nanti Hanis bosan."

Wah!

Saya teruja! Ustazah Nur Hanis mahu membawa buku untuk dibaca di atas bas. Atas kemahuannya sendiri.

Wah! Wah!

Kebelakangan ini kalau ke mana-mana, memang saya ada cadangkan kepada anak-anak untuk membawa buku untuk dibaca. Cuma untuk program ini, tidak pula saya sarankan kepada Ustazah Nur Hanis sedemikan. Bagi saya, aktiviti program tersebut sudah pasti penuh dan bermacam-macam.

"Alhamdulillah. Bagus betul lah anak abah yang sorang ni. Dia nak bawak buku untuk baca kat atas bas, bagus betul (puji kebaikan). Tak membuang masa. Nanti adik tak bosan dan dapat banyak ilmu (nyatakan impak)".

Ustazah Nur Hanis hanya mengiakan dan bermuka selamba. Saya tahu dia suka dipuji dari riak senyumnya.

Saya?

Saya tersenyum kembang kempis hidung memikirkan keberanian, keazaman dan kemahuan anak comel kami ini.

Pipi Ustazah Nur Hanis yang gebu itu saya picit. Dan kemudian, kami bergaduh lagi.

Hehehehe!


Bersama guru tadika dan kawan-kawan

Bertelekung merah jambu, warna kesukaan

Di Masjid Besi, Putrajaya



24 May 2013

Sembang Keluarga #3 : Undi adalah rahsia

Musim pilihanraya sudah lepas. Yang menang, jalankan tanggungjawab dengan amanah. Yang kalah, perbaiki kelemahan. Insya-allah. Ketentuan Allah ada kira-kira-Nya tersendiri.

Anak-anak juga teruja melihat suasana pilihanraya. Buat pertama kali, mereka melihat kemeriahan pilihanraya di Malaysia. Tahun 2008, mereka masih kecil.

Doktor Nur Hanim juga tidak terkecuali.

"Abah, cikgu cakap kalau mengundi kita kena rahsiakan undi kita"

"Ha ah. Betul lah tu"

Bagus. Cikgu-cikgu ada usaha memainkan peranan untuk membantu menerangkan. Mengajar anak-anak peka dengan apa yang berlaku di sekeliling.

"Cikgu cakap, siapa tak rahsiakan nanti kena tangkap dengan polis!"

Hoh!

21 May 2013

Mandi "Koboi"

Alhamdulillah.

Anak-anak saya mahu juga bermain di luar rumah, mahu berpeluh. Tidak lah hanya terperap di dalam rumah, menonton televisyen atau bermain komputer sepanjang masa. Risau juga bila gejala "terperap di rumah" ini sudah banyak berlaku di sekeliling kita.

Alhamdulillah.

Kami juga beruntung kerana menetap berdekatan dengan adik-beradik saya. Usia anak-anak kami dan sepupu mereka hanya berbeza setahun dua, malahan ada yang sama baya. Jadi, kalau tidak ke mana-mana terutamanya hujung minggu, laman rumah pasti meriah dengan gegak gempita anak-anak comel ini bermain.

Cuma, ada juga "akibatnya".

Peluh. Lencun. Baju kotor. Itu lah "harga" yang perlu dibayar. Baunya? Tidak ada perbandingannya! Bau belacan tidak boleh dijadikan penanda aras sama sekali.




Mandi "Koboi"
Baru-baru ini seperti biasa Kapten Muhammad Haris mandi setelah puas bermain di luar. Bila disuruh mandi, siapnya tak sampai 5 minit. Mandi "koboi", kata orang dulu-dulu. Entah macam mana gaya mandinya, kami pun tak tahu. Akibatnya, bau badannya masih melekat dan umminya "pening kepala" dengan bau si sulung ini.

"Cuba abah bau abang ni. Bau kuat betul!"

Kapten Haris tersengih-sengih datang ke arah saya. Saya pun menyuakan hidung dekat dengan Kapten Haris.

"Urghhh! Arggghhh!"

Saya kejung. Penafasan tiba-tiba sesak. Lalu pengsan. Lidah terjelir keluar.

Hihihihi!

Sebebarnya, pura-pura pengsan. Macam Haji Bakhil dalam filem Labu Labi.

Kapten Haris dan ummi tertawa besar. Saya berlakon pengsan untuk berlawak, tetapi sebenarnya itu sebagai cara menunjukkan saya bersetuju dengan apa yang dikatakan ummi. Saya bersetuju, tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu Kapten Haris menjadi malu. Saya tidak marah, tidak merendah-rendahkan dan tidak membanding-bandingkan bau Kapten Haris dengan adik-adiknya yang lebih wangi selepas mandi. Saya mahukan Kapten Haris menerima teguran dengan cara yang lebih terbuka.

Saya terangkan kepada Kapten Haris apa yang dilakukannya (mandi koboi) itu tidak betul. Kemudian, saya kongsikan sedikit tips untuk mandi dengan lebih baik.

Alhamdulillah. Dia menerima sebaiknya.

Semalam, saya memanggil Kapten Haris yang sedang menelaah pelajaran untuk peperiksaan. Saya mahu tahu "perkembangan" perihal mandi.

Wangi!

Tidak ada bau "bacin" seperti tempoh hari. Dan, teknik memuji sudah pasti teraplikasi.

"Wanginya! Macam ni lah elok. Abang pandai jaga kebersihan diri (puji kebaikan). Abang pun jadi lebih selesa. Ummi dengan abah pun suka (nyatakan impak)".


Kapten Haris tersengih-sengih. Lalu diceritakan kepada kami bagaimana dia menyental badannya dengan "penggosok badan berwarna pink" di dalam bilik air. Kami iakan saja.

Mudah kalau menggunakan teknik ini. Tidak perlu lagi meradang tak tentu punca.

:)

Gambar Kapten Haris ketika mandi di tali air di kebun atuknya.


17 May 2013

Sembang Keluarga #2 : Ponteng

Sebelum saya ke Indonesia tempoh hari, sempat saya berbual-bual dengan anak saya yang ketiga.

"Adik, abah pegi Indonesia 6 hari tau!"

"Haaa??? Habis tu siapa nak hantar Hanis pergi sekolah?"

"Takpe. Adik ponteng je."

"Eeee.. abah ni. Belajar tu kan penting!"

Hahahah! Hajat dihati hanya mahu bergurau. Tapi Ustazah Nur Hanis tak makan umpan rupanya.

15 May 2013

Video berkaitan kajian psikologi hadith

Suka saya kongsikan di sini video yang menerangkan bagaimana hadith psikologi ini dikaji.

1) Bagaimana tercetusnya kajian Tim Psikologi Hadith

2) Bagaimana kajian psikologi hadith dilakukan

3) Aplikasi dalam pendidikan


4) Perbezaan metodologi kajian gaya Islam dan gaya Barat


Semoga bermenefaat.

13 May 2013

Sembang Keluarga #1 : Raksasa

Trafik sesak di pintu sekolah. Kami berdua menanti sambil berborak kecil di dalam kereta. Sesekali tawa mesra memecah ruang. Tiba giliran kami di depan pagar, abahnya menarik brek tangan ke atas.

Cium pipi mongel budak 6 tahun. Cium bertalu-talu seperti biasa.

Budak comel 6 tahun marah. Geram. Malu dilakukan begitu kerana ada guru tadikanya memerhati sambil tersengih.

"Eee... abah ni! Asyik cium je! Abah ni RASAKSA CIUM!!"

Rasakan!

Kini, abah sudah mendapat nama manja baru.

Nur Hanis dengan Oyen

12 May 2013

Sembang Keluarga

Saya jarang mengemaskini blog ini disebabkan kebanyakkan situasi aplikasi teknik nabi ini berlaku dalam kitaran suasana yang sama dan berulang-ulang. Maklumlah, jumlah "anak murid" saya terhad kepada 3 orang sahaja.

Pengulangan itu dikhuatiri akan menjadikan blog ini membosankan, atau lebih teruk lagi tidak berkemas-kini.

Kemudian saya terfikir. Saya boleh selitkan dialog-dialog harian saya bersama anak-anak yang kadang-kadang membuatkan saya tertawa sendiri. Lucu. Sekurang-kurangnya itu lah yang saya dan isteri rasakan, mungkin tidak bagi orang lain.

Boleh juga dibuat kenangan.

:)


27 April 2013

Janji Ditepati

Siang tadi kami sekeluarga ke Bandar Tasik Permaisuri. Mahu menziarah saudara sebelah isteri yang baru selesai menjalani pembedahan. Dalam perjalanan isteri saya memaklumkan mak saudaranya itu dimasukkan ke hospital semula, akibat luka dari kesan pembedahan yang masih tidak sembuh. Mujur HUKM tidak jauh.

Disebabkan kami tiba di luar waktu melawat dan kanak-kanak pula tidak dibenarkan masuk, hanya isteri saya sahaja yang masuk ke dalam wad. Saya dan anak-anak menunggu di ruang lobi. Tidak banyak aktiviti yang boleh kami lakukan, jadi sudah tentu anak-anak "melilau" mencari apa yang boleh dibuat.

Mesin air.

Ah! Kapten Muhammad Haris yang paling awal meminta untuk dibelikan air dari "vending machine". Kalau yang sulung sudah meminta, yang lain-lain pun akan turut seia sekata. Saya sebenarnya kurang berkenan, tetapi sudahnya tetap alah dengan kemahuan mereka.

Dan saya mengugut.

"Okay. Abah boleh beli. Harga air tu dua ringgit kan? Balik nanti, abah ambik duit tabung anak-anak sorang 10 ringgit, okay?" 
"Haaaaa???!!"

Saya menyeringai. Teknik mengugut seorang bapa corot pasti akan menjadi.

"Okay. Abang setuju. Kalau abang bayar 10 ringgit, duit tabung abang masih ada RM XXX lagi. Boleh la beli."

Ah! Sudah! Ugutan saya diterima pula dengan "selamba". Saya sudah terperangkap. Muka-muka comel yang bertiga itu pula sudah gembira.

Saya tewas. 3 botol air pelbagai perisa sudah keluar dari kotak elektrik penelan duit.

Kemudian kami pulang.


Menunaikan janji
Sampai di rumah, saya melepas lelah di ruang tamu. Mengeringkan badan yang berpeluh. Anak-anak sudah ke bilik mahu menyalin pakaian. Tiba-tiba datang si comel manja saya Ustazah Nur Hanis.

"Nah abah. Duit lima inggit. Nak bayar duit air tadi."

Saya terpinga-pinga. Di tangan mongel Ustazah Nur Hanis ada sekeping duit hijau 5 ringgit. Rupanya mahu menunaikan janji. Janji main-main, janji ugutan saya yang sudah pun saya lupakan!

"Ni duit kakak pulak. Kakak takde duit 5 ringgit, kakak pakai duit singgit-singgit je"
"Nah abah. Duit abang 10 ringgit."
Gambar dari blog http://www.nizarazu.com/asal-usul-gambar-agong-di-duit-malaysia/

Saya kehilangan kata. Isteri yang duduk di sebelah hanya ketawa. Tiga permata hati kami masing-masing dengan duit di tangan. Duit tabung. Saya rangkul Nur Hanis ke pangkuan. Saya betul-betul tidak menyangka anak-anak saya akan bertindak begini. Sudah tentu, saya memuji!

"Baiknya anak-anak abah ni. Bagus betul sebab nak tunaikan janji (puji perbuatan baik). Abah bangga sangat (impak). Sebab anak-anak abah semuanya baik, abah tak ambik duit ni, tapi abah bagi pulak seringgit sorang jadi hadiah (berikan ganjaran - material)!" .
"Yeaaaayyyyyyyy!!!" 

Saya hulur duit seorang seringgit. Anak-anak saya melompat-lompat kegembiraan. Saya tersenyum lalu ketawa juga. Aksi mereka bersorak gembira mengingatkan saya akan aksi 40 penyamun yang seronok bila dimaklumkan akan bekerja overtime dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk.

Saya bahagia. Isteri comel bahagia. Syukur dengan anugerah 3 anak soleh ini.

Tiga "penyamun" hati.

:)



12 April 2013

6 solat

Pagi tadi, seperti biasa Ustazah Nur Hanis akan naik ke tingkat atas untuk mandi dan bersiap di bilik kami. Sudah dipersetujui antara tiga beradik permata kesayangan kami ini, si adik akan mandi di tingkat atas manakala kakak dan abang mandi di tingkat bawah.

Senang. Tak perlu berebut. Lagi pula masing-masing sudah ada rasa malu, tidak mahu mandi bersama-sama lagi. Pembahagian "kawasan" ini juga penting untuk mengelakkan kesesakan di bilik air dan yang paling utama, untuk menghindarkan jeritan sumbang oleh bapa corot mengerah anak-anak bersiap untuk ke sekolah.

:)

Selesai sahaja mandi, Ustazah Nur Hanis bersiap sambil dibantu abahnya. Puteri saya yang satu ini saya perhatikan agak menitik beratkan ketrampilan. Kalau di depan cermin, akan diteleknya kiri kanan atas bawah. Jadi saya tidak boleh bersambil lewa bila menyiapkan puteri comel ini.

Seperti biasa juga, saya mengaplikasikan teknik memuji.

"Adik, adik dah ambik wudhu (untuk solat Subuh) ke?" 
"Dah" 
"Bagusnya anak abah yang solehah ini. Tak payah dah abah nak ingat-ingatkan adik dah untuk solat. Adik dah tau dah nak buat sendiri...." 
"..ye lah. Hanis nak dapat pahala banyak!"

Ustazah Nur Hanis yang berada dalam dakapan saya memotong cakap. Anak kecil ini sudah menghidu ucapan dialog "dapat pahala" yang bakal saya ucapkan. Eheh! Nampak gaya saya perlu cari dialog lain dengan segera, takut nanti sudah tidak ada "nikmat" lagi ucapan dapat pahala itu.

"Hanis nak solat banyak-banyak. Satu hari kena ada 5." 
"Satu hari memang kita solat 5 waktu, sayang. Tak boleh kurang" 
"Ooo... Hanis nak buat solat Dhuha.. nanti dapat 6 solat"

Saya terkedu. Tadika Ustazah Nur Hanis memang mengadakan solat sunat Dhuha sebagai salah satu latihan amali solat. Tetapi saya tidak pula menyangka kesayangan saya ini boleh terfikir solat Dhuha itu salah satu cara untuk "membanyakkan bilangan solat".

Saya pula yang tersipu-sipu. Bilangan solat Dhuha saya sendiri boleh dikira dengan jari dalam tempoh satu bulan.

Sekali lagi Ustazah Nur Hanis "mengajar" saya.

Aduh!

Terima kasih atas peringatan-Mu, Ya Allah.


10 March 2013

Selamat ulang tahun ke 10, Kapten Haris!

10 tahun. 1 dekad. Usia anak sulung ini semakin bertambah. Usia kanak-kanaknya semakin sampai ke penghujung. Tanpa disedari, akan tiba ke usia remaja.

Ada rasa sayu di hati. Ada rasa "takut" yang terbit. Risau. Adakah kebiasaan yang saya lihat di sekeliling akan turut terjadi kepada kami? Anak lelaki dan bapa akan mula merenggang hubungan bila semakin menginjak dewasa. Saya tidak mahu itu terjadi. Saya sentiasa mahu hubungan kami seperti sekarang. Mahu bergurau, mahu berlawan silat (yang langkahnya sumbang tak terperi), mahu berbasikal ke kedai mamak, mahu meredah hutan untuk menikmati keindahan air terjun di penghujung jalan. Bersama-sama.

Saya tahu saya berlebih-lebih melayan rasa. Membayang perkara yang tidak tentu hujung pangkal. Walhal, Kapten Muhammad Haris saya baik-baik sahaja.

"Ya Allah. Ampunkan lah dosa-dosa anakanda Muhammad Haris. Kau limpahkan kepadanya nur dan hidayah, agar dia kekal menjadi hambaMu yang soleh di dunia dan akhirat. Terangkan hatinya, permudahkan fahamannya dalam menjalankan segala titahMu Ya Allah. Agar dia menjadi hambaMu yang taat, anak yang soleh, abang yang pengasih, pelajar yang cemerlang dan insan yang sentiasa mencari keredhaanMu."

Selamat ulang tahun ke-10, abang Haris.

08 March 2013

Di pejabat juga boleh memuji.

Tengah hari tadi saya membuat panggilan ke jabatan sumber manusia. Sebenarnya sudah beberapa kali saya cuba, tetapi orang yang saya cari sering kali tidak dapat dihubungi. Saya mahu bertanyakan proses untuk sesuatu urusan yang sudah lama tertangguh.

Alhamdulillah.

Hanya dengan sekali panggilan hari ini, saya sudah dapat apa yang saya mahukan. Muslimah yang menjawab panggilan saya berjanji akan menghantar emel berkaitan urusan yang saya tanyakan. Cekap. Tidak sampai beberapa minit selepas kami berhubung di talian telefon, emel beliau sudah tiba di peti masuk emel saya.

Selesai membaca, saya bersiap-siap mahu beransur untuk ke masjid. Emel tadi tiada susulan daripada saya, kerana sudah menjadi "budaya" alam pekerjaan, ucapan terima kasih jarang diucapkan selepas mendapat apa yang dikehendaki.

Astaghfirullah. Saya juga antara mereka yang corot ini. Walaupun selalunya saya membalas dengan ucapan terima kasih, ada juga waktunya saya mengabaikannya sahaja. Ucapan terima kasih hanya sekadar terima kasih. Saya duduk kembali di hadapan skrin komputer. Saya tidak mahu bertangguh. Emel tadi saya buka dan saya tekan butang reply.

"Thank you so much, Miss A. Your explanations help a lot. Hope you dont mind if I keep on asking in future. :)"

Dengan bahasa Inggeris yang berterabur, saya membalas. Niat saya ikhlas, mahu berterima kasih dan menghargai pertolongannya. Saya selitkan sedikit ayat memuji, biar beliau jelas dengan apa yang telah dilakukannya.

Saya puas. Saya tidak mengharapkan balasan daripada Miss A, seperti yang saya terima bila saya mengaplikasikan teknik itu dengan anak-anak. Situasinya berbeza, jadi sudah tentu penerimaan daripada Miss A juga berbeza.

Allah itu Maha Besar.

Usai solat Jumaat dan tiba di pejabat, peti masuk emel saya ada menerima emel baru. Daripada Miss A.

"No problem. I'm more than happy to assist you."



Subhanallah. :)






07 March 2013

"Dilarang bau"

Antara perkara yang suka dilakukan anak-anak saya ialah membaca komik. Komiknya ada yang agak mengarut, ada juga yang "skema". Campur keduanya. Sudah tentu, yang saya beli saya tapis terlebih dahulu. Tetapi yang dipinjam mereka daripada kawan-kawan, itu di luar kawalan saya. Saya tidak mahu terlalu mengongkong, saya biarkan sahaja mereka membaca komik-komik itu selagi ianya tidak memberikan kesan yang buruk.

Saya sendiri pada satu ketika peminat tegar majalah Gila-gila, Ujang, Pedang Setiawan dan pelbagai lagi majalah/komik yang tidak akan dipandang langsung kaum wanita. Heheheh! Bayangkan, saya masih terus membaca komik-komik sebegitu sehingga berumur 23 tahun!

Jadi bila anak-anak ada hobi yang sama, saya hanya membiarkan. Sedikit sebanyak hobi ini menjentik rasa minat mereka membaca bahan bacaan yang lain.

Dan malam ini lanjutan dari hobi membaca komik, Doktor Nur Hanim merekacipta komiknya sendiri. Sebelum ini sudah ada "karya" sebegini tetapi sudah tidak dapat saya cari. Dan kali ini juga berbeza kerana saya selitkan dengan pujian bila kakak Nur Hanim menunjukkan hasilnya kepada saya.

"Cantiknya kakak lukis. Siap ada dialog lagi. Kakak ni kreatif betul. Lama-lama nanti kakak pandai buat komik. Kalau kakak berlatih selalu, lukisan kakak nanti jadi lagi cantik".

Kakak Nur Hanim tersenyum riang. Mahu melukis lagi, cuma saya sudah menguap entah berapa kali menahan kantuk.

Kini sudah berjangkit pada abang dan adik. Ah! Ini lah dia "masalah" apabila anak-anak sudah terdorong. Semangatnya lain macam. Pukul berapa lah agaknya saya boleh tidur ni?

*Hasil kerja kakak Nur Hanim, "Dilarang Bau"

1
2
3
4
5
6
Heeheheheh!


04 March 2013

Telekung

Hari itu, saya pulang agak lewat. Terkejar-kejar waktu, saya menumpang solat di bilik Doktor Nur Hanim. Selesai solat saya terpandang di atas katil, ada telekung yang tak bergantung. Juga, ada seluar yang sudah dipakai, tetapi diletak begitu sahaja.

Ah! Ini boleh mendatangkan marah!

Telekung dan seluar bersepah di atas katil

Saya tahu empunya telekung itu. Milik Ustazah Nur Hanis!

Kalau mengikut kebiasaan sebelum ini, akan terdengarlah abahnya terpekik terlolong;

"Ni siapa yang tak kemas telekung ni?"
"Dah berapa kali dah abah cakap, apa pasal yang tak dengar-dengar jugak ni?"
"Bilik bersepah macam ni, siapa nak duduk?"
"Cepat kemas bilik ni! Kalau tak, tau la nanti!"

Siasat. Marah. Bebel. Ugut. Ugut.

Aduh! Betapa corotnya sikap saya. Menjadi kebiasaan, saya hanya nampak kesalahan, tidak langsung nampak kebaikan yang dilakukan.

Untung lah ada Teknik Nabi yang diperkenalkan. Jadi saya tahu saya boleh membuat pendekatan yang berbeza. Telekung itu bersepah, memang kesalahan. Tetapi yang lebih penting, saya tahu Ustazah Nur Hanis sudah menunaikan solat. Telekung bersepah ini pula bukan lah kebiasaannya. Anak comel saya ini selalunya akan terus mengemas telekung sesudah solat. Tidak tahu pula kenapa hari itu Ustazah Nur Hanis "lalai" dalam menjalankan tugasnya. Kenapa dan mengapa, saya tidak perlu tahu. Sudah terjadi, tidak perlu diungkit-ungkit lagi. Tutup sahaja mata pada kesalahan yang tidak berdosa itu. Apa yang perlu, terangkan apa yang betul.

Lalu saya segera memanggil Nur Hanis. Nur Hanis saya yang cantik manis datang ke bilik dengan senyum simpul.

"Meh sini. Abah nak sayang sikit"

Nur Hanis saya peluk. Pipi mongelnya menjadi mangsa. Dan pada saat itu juga saya katakan;

"Nur Hanis dah solat dah ke?" 
"Dah" 
"Alhamdulillah. Bagus betul anak abah yang sorang ni, dia solat tak payah nak suruh pun. Banyak pahala adik dapat. Senang hati abah."

Senyum Nur Hanis meleret-leret.

"Adik nak dapat pahala lagi tak?" 
"Nak!" 
"Bagus. Kalau adik kemaskan telekung adik lepas solat, bilik akan jadi lebih bersih. Nanti adik dapat pahala sebab adik kemaskan bilik."

Nur Hanis bingkas bangun dari pelukan saya. Terus menggantung telekungnya. :)



Selesai sahaja Ustazah Nur Hanis menggantung telekung, saya teruskan dengan pujian.

"Haa! Kan elok macam itu, bilik dah jadi kemas. Rajin betul anak abah ni, dah la solat, lepas tu kemas pulak telekung dia" 
"Yang seluar tu, kakak Hanim punya kan? Adik pergi panggil kakak, suruh kakak kemaskan." 
"Takpe bah. Biar Hanis je yang kemaskan"

Nur Hanis melipat seluar kakak dengan rela

Subhanallah. Bukan setakat melipat seluar kakaknya, bahkan meja tulis kakak juga turut dikemas. Tanpa saya suruh. Baju-baju yang tergantung juga disusunnya rapi. Saya hanya memerhati dengan senyuman. Kesudahannya, bilik kakak Nur Hanim tersusun kemas dikerjakan Ustazah Nur Hanis. Sudah tentu, sudah ada skrip pujian yang tersedia (puji sebelum, semasa dan selepas) untuk buah hati kami ini.

:)


28 February 2013

Mahu mendorong, tapi skripnya pula terpesong.

Malam tadi entah kenapa saya menjadi malas. Malas untuk makan. Walhal perut sudah berlagu syahdu minta diisi. Konon-konon mahu berdiet, tidak mahu makan malam. Makanan alternatif pula tiada. Aduh! Makin kuat lah lagu yang berkumandang dalam perut.

Kriookkk! Kriookkk! Prrrttttr!

Sudahnya saya terpaksa akur dengan pemberontakan yang berlaku di dalam perut. Isteri tersayang ada memasak, tetapi tekak tidak pula mahu makan nasi. Mengada-ngada. Saya ternampak roti keping yang masih berbaki. Makan roti bakar sedap juga. Bila saya mahu bangun untuk menyediakan makanan, saya perasan Kapten Muhammad Haris tidak membuat apa-apa. Doktor Nur Hanim sedang menyiapkan kerja sekolah. Ustazah Nur Hanis pula menonton tv. Seperti biasa kalau tidak disuruh mengulangkaji, Kapten Haris leka bermain di dalam bilik. Jadi, saya mahu memberi "denda" kepada anak sulung saya ini.

"Abang oooo abang!"

"Saya abah."

"Abang nak dapat pahala yang banyak tak? Abang nak gembirakan hati abah tak?"

"Nak!"

Kapten Haris tersengih-sengih.

"Abang boleh tolong abah buatkan roti bakar? Abah lapar lah"

"Boleh. Abah nak berapa?"

"Empat keping"

"Ok"

Kapten Haris tanpa berlengah-lengah terus menyiapkan roti bakar abahnya. Saya terus saja dengan ucapkan terima kasih. Pesanan abahnya dibuat seikhlas mungkin.

Diet konon!

Alhamdulillah. Selesai makan, saya bersandar kekenyangan di ruang tamu. Sedap roti bakar air tangan anak bujang saya. Walaupun rasanya sama saja dengan roti bakar tempat lain, dihidangkan anak sendiri lain nikmatnya. Kapten Haris pula masih di dapur. Bila beliau ke ruang tamu, terus beliau katakan,

"Abah. Abang dah basuhkan semua pinggan. Meja (makan) pun dah kemas."

Kapten Haris sudah tersenyum-senyum bangga. Saya tahu, inilah masa yang paling sesuai. Tidak berlengah-lengah, saya teruskan memuji. Saya rangkul Kapten Muhammad Haris dan cium kiri kanan atas dan bawah.

"Alhamdulillah. Abah bangga sangat ada anak macam abang, tolong buatkan roti bakar untuk abah. Tolong basuh pinggan lagi. Abang dah gembirakan hati ibu bapa. Abah suka. Allah lagi suka."

Kapten Muhammad Haris tersipu-sipu. Self-esteemnya memuncak. Saya baru perasan. "Denda" saya sebenarnya sudah memperbaiki mood Kapten Haris. Ini waktu terbaik untuk saya mengambil peluang. Saya mahu menyuruhnya mengulangkaji, tetapi lain pula yang terkeluar dari mulut. Aduh! Tersilap skrip!

"Abang anak yang soleh, pergi solat Isyak ye. Lepas tu kemas buku susun ikut jadual. Gosok gigi, buang air. Siap semuanya tu dah boleh tidur dah"

Kapten Haris tidak lagi bertangguh-tangguh. Kalau tidak, berulang-ulang kali juga mengingatkan. Beliau segera ke bilik air mengangkat wuduk, solat dan mengemas buku. Sesudah selesai, Muhammad Haris masuk beradu di dalam bilik.

Saya tahu teknik saya sudah berhasil, tapi ralat sedikit tujuannya tidak kesampaian.

Sekurang-kurangnya saya tahu malam itu, di lain masa sebelum mahu meminta anak membuat perkara yang "kurang/tidak digemarinya", saya boleh meminta mereka membuat sesuatu yang mereka mahu lakukan dengan ikhlas. Apabila sudah selesai, dipuji dan naik pula self-esteemnya, itu lah peluang terbaik untuk mendorong mereka melakukan perkara yang utama.

Teori saya masih belum dibuktikan. Saya mahu cuba lagi. Mana tahu, 4 keping roti bakar bakal terhidang lagi!

Hihihihihi!



21 February 2013

Ganjaran Material atau Ganjaran Sosial

Saya tertarik dengan satu perbincangan di grup pengamal teknik nabi di Facebook. Isunya berkaitan dengan ganjaran yang diberi kepada anak-anak untuk melakukan sesuatu. Dalam perbincangan itu dinyatakan anak-anak diberikan ganjaran material (berupa sejumlah wang) untuk melakukan beberapa perkara (seperti solat, mandi).

Kaedah itu berhasil. Anak-anak itu melaksanakan kewajipan mereka dengan penuh semangat. Cuma persoalannya adakah teknik ini benar-benar seperti yang disarankan?

Dalam bengkel yang saya hadiri tempohari, USK menerangkan terdapat 2 jenis ganjaran yang boleh diberi apabila mahu mengaplikasikan teknik nabi ini.

  1. Ganjaran Sosial. Ganjaran ini tidak memerlukan modal/perbelanjaan untuk dilaksanakan. Ianya juga boleh dibuat bila-bila masa dan lebih bersifat spontan. Penerimaan terhadap ganjaran jenis ini juga tidak mempunyai tahap puas yang maksima. Contoh ganjaran sosial ialah seperti doa, pujian, senyuman, tanda bagus, pelukan, belaian. Nasihat juga ganjaran sosial, tetapi ianya hanya menjadi ganjaran sosial positif apabila mendapat keizinan untuk menyampaikannya.
  2. Ganjaran material. Berbeza daripada ganjaran sosial, ganjaran ini lebih bersifat fizikal dan memerlukan modal untuk dilaksanakan. Ganjaran jenis ini selalunya memberi kepuasan dalam jangka masa pendek, kerana sifat manusia yang mudah muak dengan sesuatu benda. Contoh ganjaran material seperti hadiah, upah, gaji.


Semenjak saya mula mengaplikasikan teknik nabi ini kepada anak-anak saya, tidak sekalipun saya berikan ganjaran berbentuk material apabila anak-anak comel itu melakukan kebaikan. Bukan tidak ada langsung, tetapi jika saya lakukan pun ianya lebih bersifat kejutan dan tidak dirancang. Ini kerana saya tidak mahu menyampaikan mesej yang salah kepada mereka tentang ganjaran yang diberikan. Saya khuatir, jika saya mensyaratkan "kalau buat perkara baik, dapat hadiah", kebaikan yang anak-anak saya lakukan bukan ikhlas kerana Allah. Saya juga khuatir anak-anak saya hanya melakukan kebaikan itu hanya untuk saya kerana pasti mendapat ganjaran material hebat. Tetapi sekiranya saya tiada mereka tidak akan melakukannya kerana tahu mereka tidak akan mendapat sebarang ganjaran.

Yang saya maksudkan memberi ganjaran (material) tanpa dirancang itu, saya memberikan anak-anak saya benda-benda yang disukai mereka, secara mengejut. Contohnya, saya pernah membawa Ustazah Nur Hanis dan Doktor Nur Hanim membonceng motor di sekitar kawasan perumahan kami. Ketika itu Kapten Muhammad Haris pergi bermain bola di padang, jadi beliau tidak turut serta. Anak-anak cukup suka kalau dapat membonceng motor, terutamanya Ustazah Nur Hanis. Saya pandu motor merah saya ke kedai mamak berhampiran dan saya istiharkan kepada mereka;

"Abah cukup seronok hari ni. Anak-anak abah cukup baik. Solat, tolong kemas rumah. Jadi hari ini, abah nak belanja anak-anak."

Apa lagi. Bersorak-sorai lah kedua anak perempuan saya tu. Bagi penggemar gula-gula tegar Ustazah Nur Hanis, sengih lebarnya tak dapat disembunyikan lagi. Siapa sangka hari itu mereka boleh "membeli-belah" di kedai mamak. Satu perkara yang saya cukup kagum dengan anak bongsu saya ini, bila saya ke kedai hanya berdua dengan dia dan mahu membeli jajan, dia pasti akan mengingatkan saya supaya membelikan juga untuk kakak dan abangnya. Dan saya pula terlupa untuk mengamalkan teknik nabi untuk memuji kebaikannya itu, kerana lebih memikirkan wang dikocek yang entah cukup atau tidak. Heheheheh!

Kesimpulannya, pada pandangan peribadi saya, saya yakin teknik memuji dengan ganjaran sosial lebih memberikan impak yang berpanjangan dan juga boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada kedua-dua penerima dan pengamal. Ganjaran material itu seperti "value added", dijadikan sebagai ganjaran tambahan untuk mempertingkatkan lagi self-esteem anak-anak itu.

Wallahualam.

18 February 2013

Bila Kapten menjadi Pendekar, puji lah juga.

Antara cabaran ibu bapa di zaman Facebook ini ialah kecenderungan anak-anak yang berlebihan terhadap gajet-gajet moden. Tablet, smartphone, laptop, xbox, PS3 dan pelbagai lagi peralatan teknologi terkini menjadi "kegilaan" mereka. Tidak ada lagi permainan-permainan tradisional seperti galah panjang, tenteng gajah, konda kondi dan lain-lain permainan yang lebih menimbulkan suasana pergaulan yang utuh. Kini, aktiviti mengeluarkan peluh agak terhad seperti permainan bola sepak atau berbasikal. Selebihnya tertumpu pada aktiviti-aktiviti seperti yang dinyatakan di atas.

Ini hanyalah berdasarkan pemerhatian secara rawak. Kekerapan yang saya lihat di sekeliling saya. Juga dalam keluarga saya sendiri.

Dan yang merisaukan saya, anak-anak kami sudah pun merasa tempiasnya. Jika ada masa yang terluang, itu lah yang dimintanya. Walaupun masih terkawal (saya hadkan waktu 2-3 jam sehari, dan hanya pada hari cuti), saya tetap mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya. Antara tiga orang permata hati kami, Kapten Muhammad Haris yang agak "ketagih" dengan permainan alam maya ini. Orang kata, biasalah begitu ragam anak lelaki. Mahu berseronok sahaja waktu umur begini. Kalau 2-3 tahun dahulu, saya terima sebulatnya kata-kata itu dengan menganggap perubahan akan berlaku mengikut masa. Tetapi semakin hari semakin hilang rasa yakin itu.

Yang sewajarnya, perubahan hanya akan berlaku jika kita yang mahu lakukan perubahan.

Saya tekad mahu lakukan sesuatu, sebelum keadaan menjadi lebih parah. Alhamdulillah, atas kemahuan dan persetujuan Kapten Muhammad Haris sendiri, saya daftarkan beliau menjadi ahli Persatuan Seni Silat Gayung di sekolah pada penghujung tahun lepas. Bermula dari hari itu, rutin hujung minggu kami berubah. Setiap hari Ahad Kapten Haris akan berlatih selama dua jam. Dan bila saya sudah tahu menggunakan teknik nabi, saya langsungkan terus kepada Muhammad Haris.


"Abang tahu tak? Abah bangga betul bila abang ambil keputusan nak masuk silat ni. Tak ramai yang ada semangat macam abang. Insya-allah, bila abang dah pandai silat nanti abang boleh tolong abah jaga umi, kakak dan adik. Badan abang pun jadi lebih sihat."

Kapten Muhammad Haris tersengih. Semangat keperwiraannya sudah saya nyalakan. Setiap minggu saya puji usahanya yang terus ke kelas tanpa ponteng sekali pun. Di rumah sebelum bersiap, di dalam kereta semasa menuju ke sekolah, selepas habis latihan; itu lah waktu-waktu terbaik yang saya aplikasikan teknik nabi kepada Kapten Haris.

"Alhamdulillah. Abah suka tengok abang pergi kelas silat untuk belajar. Abang gunakan masa abang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Allah suka. Nabi suka. Abang tau siapa lagi yang suka?"

"Tau! Abah dengan Umi"

Hehehe! Kapten Muhammad Haris sudah tau dialog saya seterusnya.

Doanya, Kapten Muhammad Haris betul-betul dapat belajar dari persatuan ini. Yang saya pernah dengar, hubungan sesama ahli persatuan silat ini akrab, dan disiplinnya tinggi. Sangat bagus untuk Kapten Haris dipengaruhi budaya sebegitu.


Laksamana Haris



08 February 2013

Jangan marah, jangan siasat. Terangkan sahaja.

Isteri saya yang saya kasihi masih berusaha untuk menguasai/memahami kepelbagaian aplikasi dalam teknik nabi sepenuhnya. Alhamdulillah. Saya pula lebih tertumpu kepada penggunaan teknik memuji, jadi isteri saya yang manis berlesung pipit itu hanya jelas dengan teknik memuji ini. Teknik menerangkan perkara yang salah/betul dan juga teknik menutup mata pada kesalahan selalunya seiring dengan teknik memuji, tetapi tidak pula saya terangkan kepadanya secara terperinci walaupun teknik ini sering juga saya aplikasikan.

Saya katakan kepadanya, teknik (memuji) ini juga tidak mudah pada peringkat permulaan. Ada dua perkara yang sering akan membuat kita sedikit kekok dan kurang yakin;

  1. Masalah membina ayat memuji. Saya memang agak kekok bila mahu memuji (kerana bukan kebiasaan), apatah lagi menggunakan ayat-ayat yang formal dengan anak-anak. Pada peringkat permulaannya, saya lebih banyak meniru contoh-contoh ayat dari blog-blog pelopor teknik nabi ini (rujuk blog USK, Cikgu Khairulaniza & Ustazah Nurhidayah), juga dari contoh-contoh warga alumni bengkel teknik nabi. Tetapi kemudiannya saya sedikit "melanggar pantang", saya turut menggunakan bahasa yang lebih sesuai dengan anak-anak saya. Mungkin ini salah, tetapi saya melihat kesannya masih lagi terkawal. Antaranya; "Fuyyyyooo! Cantiknya tulisan jawi abang. Poweeeerrrrr!", sambil kedua-dua tangan menunjukkan tanda bagus. Di sini saya menggunakan dua ganjaran sosial positif iaitu pujian (fuyyo, power) dan juga bahasa badan (tanda bagus, senyum/sengih).
  2. Penerimaan orang yang dipuji juga kadang-kadang tidak seperti kita harapkan. Mereka agak skeptikal, terasa seolah-olah diperolokkan bila dipuji-puji. Memang telah ditekankan oleh pelopor-pelopor pengamal teknik ini apabila sesuatu kebiasaan/kelaziman mahu diubah secara tiba-tiba, tahap penerimaannya agak pelbagai. Saya suka untuk berkongsikan poster yang dibuat oleh Cikgu Khairulniza di Facebook. Apabila mengamalkan teknik ini, jangan lah kita mengharapkab perubahan serta merta.




    Sumber FB : Khairulaniza Khairuddin
    Blog : Cikgu Khairulaniza


Kembali kepada kisah isteri saya. Semalam kami berchatting di gTalk. Isteri saya menceritakan perihal Ustazah Nur Hanis mahu "tuang" solat Maghrib. Ah! Sudah masuk hari kelima, anak comel ini sudah mahu "menyerah kalah"? Hari itu saya tidak ada di rumah, jadi tugas memastikan anak-anak solat saya serahkan kepada isteri tersayang. Isteri saya katakan beliau tidak berapa yakin mahu mengaplikasikan teknik memuji dan tidak pasti pula dengan teknik yang lain. Jadi beliau hanya menggunakan naluri keibuannya memujuk Ustazah Nur Hanis.

Bayangkan. Ustazah Nur Hanis mahu minum susu, sambil baring menonton telivisyen pada waktu Maghrib!

Allah Maha Besar. Saya sungguh terpersona dengan tindakan isteri saya menangani situasi itu. Ummi tidak marahkan Ustazah Nur Hanis. Malahan tidak bertanyakan sebab kenapa Ustazah Nur Hanis tidak mahu bersolat. Sebaliknya Ummi Nur Hanis menerangkan terus akibat perbuatan anak kecil itu.

"Adik, syaitan tu suka sangat dengan orang yang tak solat. Jadi bila adik tak solat dan tengok tv, dia suka sangat. Nanti dia pon tengok (menonton) sama (adik)"

Hebat. Hebat. Dalam tidak kepastian Ummi Nur Hanis, teknik nabi sudah pun diaplikasikannya. Ummi tidak marah, tidak menyiasat malah terus menerangkan. Saya balas mesej Ummi di dinding chat saya.

"Itu teknik nabi la tu, yang"

Hihihihi! Untuk kali ini, saya berikan 30 markah untuk Ummi +Milah Adnan!


04 February 2013

Doa untuk Nur Hanis

Alhamdulillah.

Setakat hari ini, sudah tiga hari Ustazah Nur Hanis solat cukup 5 waktu. Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Semuanya dibuat atas kemahuan sendiri, tanpa ada "perintah dan arahan" daripada abah dan umminya. Kami hanya mengingatkan sahaja bila waktunya, sebab Nur Hanis masih tidak tahu waktu-waktu solat. Kelmarin mulutnya tidak berhenti bertanya sudah masuk waktu atau belum. Bila dijawab "belum lagi" atau "lambat lagi", dibalasnya "alaaa... lambatnya. Hanis bosan dah ni tak sabar nak solat."

Masya Allah. Subhanallah. Alhamdulillah. Sudah tentu saya langsungkan dengan teknik memuji selepas itu.

Solat Maghrib dan Isyak pula, Ustazah Nur Hanis mahu 27 "markah". Dia tetap mahu berjemaah dengan abah. Sabtu lepas, Ustazah Nur Hanis tetap mencari saya untuk berjemaah walaupun jam sudah 11 malam. Kami terlewat solat Isyak kerana meraikan tetamu yang datang dari utara. Ketika saya melepaskan lelah di bilik, Ustazah Nur Hanis masuk dengan membawa telekung.

"Abah, jom solat Isyak!"

Saya hanya membatu. Nur Hanis menyambung lagi.

"Abah dah solat ke?"

Saya hanya mengangguk-angguk. Sebenarnya saya bukan mengangguk mengiakan pertanyaannya, tetapi memberi maklum saya sedang mendengar kata-katanya itu. Tapi Nur Hanis fikir, saya memberi jawapan "ya" untuk soalannya tadi.

"Alaaaa.... kenapa abah solat dulu? Nanti Hanis solat sorang-sorang dapat 1 pahala je"

Aduh! Nur Hanis sudah memuncungkan mulut. Saya pula rasa bersalah kerana acuh tidak acuh melayan pertanyaannya tadi. Saya bingkas bangun dan berkata,

"Adik nak 27 pahala ke? Tunggu jap ye sayang, abah ambik wuduk dulu. Kita solat sama-sama ya".

Ustazah Nur Hanis kembali tersenyum. Terus saja dia bersiap sedia dengan telekung dan sejadahnya. Saya betul-betul beruntung dianugerahkan anak comel ini. Teknik nabi bukan saja dapat mencetus nilai murni dan cemerlang anak-anak, tetapi saya melihat teknik ini lebih banyak membantu saya memperbaiki diri sendiri yang rupanya lebih corot dari yang disangka. Bila melaksanakan teknik ini dan mendapat hasil yang tak terjangka, saya malu dan sedih melihat kelalaian diri. Bukan lah saya sudah berubah seratus peratus, tetapi sedikit demi sedikit saya mula belajar mengawal diri, terutamanya bila berhadapan dengan anak-anak.

Astaghfirullah. Moga Allah mengampunkan dosa saya.


Doa
Saya dan Nur Hanis berjemaah lagi Isyak itu. Dan selesai solat, pesan Nur Hanis tetap sama.

"Abah. Esok bangunkan Hanis awal tau! Nak solat Subuh."

Saya hanya mampu tersenyum. Puji-pujian teknik nabi hanya menyusul selepas Nur Hanis lepas daripada pelukan saya. Selepas seketika, saya duduk menghadap Nur Hanis sambil mata bertentangan.

"Adik tau tak, abah suka sangat adik rajin bersolat. Nabi suka. Allah lagi suka. Abah nak doakan untuk adik lah. Ya Allah Ya Tuhanku. Terima kasih Ya Allah sebab diberi Nur Hanis anak yang solehah, Ya Allah. Budak comel ni baik betul Ya Allah, rajin bersolat dan berjemaah. Dia anak yang baik Ya Allah, jadikan dia anak yang cemerlang dunia dan akhirat."

Saya berdoa bersama-sama dengan Nur Hanis, dengan nada yang ceria sambil menggoyangkan badan ke kiri dan ke kanan. Nur Hanis tersenyum. Tersipu-sipu. Saya berikan lagi ganjaran sosial dengan memeluknya lagi sekali.

Oh ya!

Ustazah Nur Hanis juga berjemaah dengan abahnya waktu solat Subuh!




01 February 2013

"Abah, besok bangunkan Hanis solat Subuh!"

Tidak ada kata yang mampu saya ucapkan bila Ustazah Nur Hanis membuat permintaan ini. Saya benar-benar terkesima dengan azam anak kecil ini. Bukannya Ustazah Nur Hanis tidak pernah bersolat. Tapi solat kanak-kanak 6 tahun ini hanya pada  waktu-waktu terpilih. Maghrib lah yang paling selalu, tapi bukan solat Subuh. Tidak pernah langsung. Seawal mana pun dia bangun pagi, dia tak pernah mahu turut bersolat walau diajak.

Dua tiga hari ini pula saya kerap bercerita kebaikan solat kepada anak-anak. Saya ceritakan kenapa kita perlu bersolat. Dari segi dosa dan pahala. Dari segi perbezaan amalan solat orang Islam dengan agama lain. Saya cuba aplikasikan teknik menerangkan perkara yang betul. Tetapi saya juga sedar apa yang saya katakan itu mungkin sudah kerap didengari anak-anak.

Cuma Ustazah Nur Hanis semakin menumpukan perhatiannya kepada penerangan saya apabila saya menyentuh kebaikan solat berjemaah. Saya sebutkan kepadanya perbandingan pahala orang bersolat sendiri dengan orang solat berjemaah.

"Orang yang solat jemaah akan dapat pahala 27 kali ganda daripada orang yang solat seorang diri. Banyak tu 27. Orang yang solat sendiri dapat satu je."

"Banyak betul 27 tu, abah. Sampai tak cukup jari Hanis", balas Nur Hanis sambil mendepangkan 10 jari mongelnya.

Saya tidak terfikir pula tentang hal 27 pahala ini akan menarik perhatian si bongsu. Saya meneka, dia masih melihat 27 itu sebagai "markah" sebagai mana yang saya gunakan dalam teknik markah mendorong. Ustazah Nur Hanis kemudiannya bersungguh-sungguh mahu menjadi makmum saya untuk solat Isyak. Ummi jauh berkursus di Johor. Kakak dan abang pula sudah bersolat terlebih dahulu, jadi hanya tinggal kami berdua. Terus kami berwuduk dan solat bersama di ruang tamu. Usai bersolat, saya terus memberi ganjaran sosial positif kepada Ustazah Nur Hanis. Selepas pipi tembamnya saya cium bertalu-talu, saya katakan kepadanya seperti berikut.

"Alhamdulillah. Beruntung betul abah ada anak macam adik ni yang rajin bersolat. Berjemaah dengan abah pulak tu. Banyak pahala adik dapat malam ni"

"27 markah kan abah?"

"Markah? Ha'ah! 27 markah. Hebat tu"

Saya hanya mengiakan kata Nur Hanis. Memang betul telahan saya dia melihat pahala itu sebagai markah. Saya biarkan sahaja kerana saya fikir itu tidak salah. Sambil melipat telekung dan sejadah, Ustazah Nur Hanis terus bertanya kepada saya.

"Abah. Abah suka ke kalau Hanis sembahyang jemaah dengan abah?"

Saya tidak menjangkakan soalan itu akan ditanya. Saya agak terkejut, tapi saya amat gembira untuk menjawab.

"Mesti lah abah suka. Adik buat perkara yang Allah suka. Kita semua dapat pahala yang banyak sebab solat jemaah. Abah pun suka sangat-sangat. Suka sampai rasa nak lompat-lompat!".

Subhanallah. Berseri-seri sengih Ustazah Nur Hanis bila mendengar saya cakap begitu. Benarlah teknik memuji ini bukan sebarangan teknik. Dan bila saya katakan saya suka sehingga mahu melompat, memang saya benar-benar maksudkannya apabila Ustazah Nur Hanis menyambung lagi katanya.

"Abah. Hanis nak sembahyang banyak-banyak (5 waktu) lah. Esok pagi boleh tak abah bangunkan adik awal sikit, sebab Hanis nak solat pagi (subuh)?"

Saya mengiakan, walaupun ada sedikit timbul rasa sangsi akan azam Ustazah Nur Hanis ini. Saya kira, cita-cira ini tidak akan kekal sehingga pagi esok. Saya tidak pula membantah, tetapi hanya mengikut saja rentak mahu si bongsu ini.

Sesungguhnya saya silap. Amat silap.

Celik saja mata Ustazah Nur Hanis pagi itu, perkara pertama yang mahu dibuatnya ialah segera bangun untuk mandi. Masih ditempat tidur, dia bertanyakan kepada saya.

"Abah. Dah (masuk waktu) solat subuh ke?"

Maka hari itu terciptalah sejarah keluarga kecil kami apabila Nur Hanis buat pertama kali dalam hidupnya, bersolat Subuh dengan kemahuannya sendiri. Saya betul-betul gembira, bahkan berkali ganda apabila Doktor Nur Hanim juga pertama kalinya solat subuh.


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Gambar kakak dan adik solat Maghrib

30 January 2013

Laskar Pelangi

Buku tulisan Andrea Hirata ini antara buku yang mencetus semula hobi membaca yang telah saya tinggalkan sejak sekian lama. Sayang seribu kali sayang. Hanya pada ketika ini saya baru sedar buku-buku (kebanyakkannya novel) yang saya beli dahulu sudah hilang tidak dapat dikesan. Nasi sudah menjadi bubur. Tidak ada guna untuk mengenang kealpaan diri.

Tahun 2011 saya tekad untuk membaca semula. Saya juga mahu tabiat membaca ini diterapkan dalam diri anak-anak saya. Laskar Pelangi saya. Saya tahu dengan membaca kita dapat mengembara. Mengembara dari segi makna kata yang lebih luas. Dari segi lahiriah mahupun spiritual. Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor dan lain-lain karya Andrea Hirata benar-benar menjadikan saya khayal. Dan percaya atau tidak, dengan izin Allah, saya juga bakal ke Pulau Belitong (lokasi cerita Laskar Pelangi) bulan Mei ini. Laskar Pelangi lah pencetusnya.

Seperti pengkisahan novel hebat ini, semangat juang menuntut ilmu kumpulan kanak-kanak di perkampungan Mangar ingin saya terapkan dalam ketiga-tiga jiwa kecil anak-anak kami. Saya dan ummi mahu menjadi seperti Pak Harfan dan Bu Mus yang gigih mahu mencurahkan ilmu. Kami mahu ada Laskar Pelangi kami sendiri. Cuma dalam versi kami ada teknik nabi. :)

Ini dia Laskar Pelangi saya.

Dari kiri; Ustazah Nur Hanis, Kapten Muhd Haris dan Doktor Nur Hanim

28 January 2013

Bila semuanya sudah 30 markah!

Sudah banyak kali tertangguh untuk mencatat pengalaman mengaplikasikan teknik nabi ini. Seminggu ini keadaan tidak begitu mengizinkan. Selain timbunan kerja di pejabat yang tidak putus-putus, kesihatan yang agak terganggu juga turut menjadi penyebab. Kalau sudah sakit gigi, semuanya jadi huru-hara!

Alhamdulillah. Hari ini ragam gigi sudah beransur pulih. Cuti hujung minggu yang panjang juga tidak dipersia-siakan. Walaupun hanya ke Port Dickson bermandi-manda, anak-anak tetap gembira. Tentulah, semuanya memang "pantang" nampak air.

Hari ini pula, kami ke Jaya Jusco (JJ). Ummi mahu belanja makan tengah hari. Rezeki jangan ditolak. Perjalanan ke JJ hanya memakan masa 15 minit dari rumah. Ustazah Nur Hanis duduk di depan menemankan abahnya memandu. Sudah 10 minit berlalu, tiba-tiba Ustazah Nur Hanis bersuara.

"Abah, tengok Hanis dah pakai tali pinggang"

Saya baru tersedar. Biasanya saya membuat endah tak endah dengan perkara ini. Pemakaian tali pinggang dalam kereta jarang saya titik beratkan. Prinsipnya juga tidak betul. Anak-anak biasanya akan kelam-kabut memakai tali pinggang keledar sekiranya ternampak kelibat polis. Takut kena tangkap, hasil "tarbiah" abahnya sekian lama. Abahnya yang paling bertanggungjawab dalam hal ini. Memberi maklumat yang salah tentang bila perlunya pemakai tali pinggang keledar.

Saya cepat-cepat memuji tindakan baik Nur Hanis. Teknik Nabi perlu dilakukan serta-merta, tidak bertangguh-tangguh.

"Bagusnya adik pakai tali pinggang tanpa disuruh. Insya-allah, keselamatan adik akan lebih terjaga bila kita lebih bersedia. Abah suka adik pandai jaga diri sendiri. Abah bagi adik 30 markah!"

Serentak itu abang dan kakak di tempat duduk belakang juga mahu memakai tali pinggang. Alhamdulillah. Semuanya saya bagi 30 markah. Nur Hanis seronok. Abang dan kakak juga gembira.


Di Jaya Jusco
Di meja makan pula, saya teruskan lagi dengan teknik memuji dan teknik memberi markah dorongan. Apabila masing-masing sudah mendapat hidangan yang dipesan, tanpa disuruh Ustazah Nur Hanis memulakan bacaan doa makan. Abang dan kakak juga turut mengikut selepas mendengar pujian saya kepada si adik.

"Alhamdulillah. Bagusnya adik baca doa sebelum makan. Allah sayangkan orang yang berdoa sebelum makan. Syaitan pun lari bila dengar adik baca doa. Adik dapat lagi 30 markah!"

Ustazah Nur Hanis makan dengan penuh selera. Saya masih meneruskan puji-pujian atas perilakunya yang baik dari tadi. Adik pun jadi lebih bersemangat. Berulang-ulang diminta tambah makan. Begitu juga kakak dan abang. Licin semua makanan yang dipesan. Kalau tidak silap saya, ini kali pertama makanan yang kami pesan licin semuanya! Mungkin faktor kami lewat makan tengah hari juga antara penyebab, tapi saya benar-benar gembira kali ini. Selesai semuanya saya alihkan pula pujian kepada Kapten Muhammad Haris.

"Wah! Bagusnya abang makan semuanya sampai licin. Abang tak membazir makanan, Allah mesti sayangkan abang. Abang dapat 30 markah!" 
"Kakak Hanim dapat 30 markah!"

Ustazah Nur Hanis tiba-tiba menarik baju saya. Ditunjuknya pinggan yang sudah bersih licin di hadapan, dan terus ditanya berapa markah yang diperolehi. Saya katakan 30 markah juga. Tapi Nur Hanis sudah tidak bereaksi seperti tadi. Dia hanya diam. Saya faham benar perangai si kecil ini. 30 markah yang diperolehinya sama saja seperti abang dan kakak. Budak kecil ini mahu lebih!

"Ok. Adik dapat 100 markah."

Baru nampak senyum manis si bongsu ini. Saya terangkan kepadanya selepas itu bahawa markah yang abah boleh beri hanya ada 10, 20 dan 30. Tidak ada 100. Ustazah Nur Hanis mengangguk. Moga kali lain dia tidak minta 100 markah lagi.

Tetapi Doktor Nur Hanim pula ada perkiraannya sendiri. Si kakak diam-diam mencongak markah yang diperolehi. Dijumlahkan semuanya.

"Abah. Kakak dapat 70 markah semuanya!"

Aduh. Nampaknya anak-anak ini masih melihat 100 markah sebagai markah penuh. Macam mana mahu dihilangkan kebiasaan ini? Saya simpan soalan ini untuk USK pada 3 Februari nanti. :)

22 January 2013

Bengkel Mendorong Pelajar Kelas Corot di Kuala Lumpur (3 Feb 2013)


Untuk makluman.

19 January 2013

Pujuk atau puji

Maghrib tadi, kami berjemaah anak beranak di rumah.

Kapten Muhd Haris melakukan tugasnya sebagai tok bilal seperti biasa. Bacaan qamatnya sudah semakin baik dan sudah kurang rasa malu-malunya. Tempohari Kapten Haris seperti biasa malu-malu mahu beriqamat, sehingga dimintanya Doktor Nur Hanim menggantikan. Saya bertegas mahukan Kapten Haris juga, dan Kapten Haris akur. Kala dia beriqamat, baru saya tersedar yang saya agak berkeras dengan si Pelindung Terpuji itu.

Selesai tugasnya, saya langsungkan dengan pujian teknik nabi.

Elok bacaan qamat abang. Suara abang pun sedap didengar. Senang hati abah bila abang dah tahu beriqamat. Insya-allah, lama-lama nanti bacaan abang akan jadi lebih lancar."

Abang Haris sengih sahaja. Dan hari ini, ada sedikit peningkatan keyakinan yang ditunjukkan walaupun masih ada yang salah. Saya terus memberitahu bacaan yang betul, tanpa perlu memarahi kesalahannya itu.


Teknik Markah Dorongan
Usai solat, anak-anak bersalam dengan abah dan umminya. Sengaja saya sebutkan dengan suara yang agak kuat, agar didengari semua orang di ruang tamu tempat kami berjemaah.

"Alhamdulillah. Abah bangga abang dan kakak bersolat jemaah. Banyak pahala orang yang solat berjemaah ni dapat. Untuk itu, abah bagi abang dan kakak 30 markah*!"

Ustazah Nur Hanis yang duduk di meja makan hanya memerhati. Maghrib kali ini Ustazah Nur Hanis tidak turut serta. Puteri kami yang comel gebu ini memang begitu. Kalau tidak kena masa dan gaya, apa yang disuruh semuanya tidak mahu. Malam ini, dia enggan bersolat Maghrib bersama-sama.

Pujukan saya tidak diendahkannya. Geram juga, tetapi saya tidak pula memarahi Ustazah Nur Hanis (seperti kebiasaanya). Apatah lagi mengugut anak kecil itu dengan kata-kata seperti "orang yang tidak solat tu berdosa!". Atau seperti kata saya dahulu (sebelum tahu teknik nabi), "abah taknak kawan adik", "siapa tak solat, abah taknak belanja gula-gula" dan macam-macam lagi kata yang bersifat ugutan. Terlepas juga pada permulaannya saya tanyakan "kenapa", tetapi saya segera sedar dan berhenti menyiasat serta-merta. Saya juga sebenarnya agak buntu untuk mencari jalan penyelesaian, lalu mengambil keputusan hanya mendiamkan perkara itu.

Kemudian ketika kami mahu keluar mahu membeli barang, Ustazah Nur Hanis rupanya masih memberontak. Bila abang dan kakaknya mengingatkan tugas Ustazah sebagai Ketua Penjaga Opet & Oyen, adik Hanis hanya membantukan diri. Saya tidak mengendahkan rajuk si bongsu. Dan saya membuat keputusan kali ini saya masuk campur.

"Anak abah mana yang nak dapat pahala lebih? Siapa yang nak tolong abah keluarkan Opet dan Oyen?"

Kakak dan abang terus berlari mendapatkan kucing-kucing kami. Subhanallah. Ustazah Nur Hanis pula sudah mengintai-ngintai. Muncul sahaja abang Haris dengan Oyen di tangan, saya aplikasikan teknik memuji.

"Alhamdulillah. Bagus betul abang tolong keluarkan Oyen. Banyak pahala yang abang dapat har...."

Belum sempat saya menghabiskan perkataan terakhir, Ustazah Nur Hanis terus meluru ke abang Haris. Dimintanya Oyen dan dikendungnya ke pintu utama.

"Bak sini Oyen tu. Biar Hanis yang keluarkan", kata Nur Hanis yang mahu menjalankan tugasnya sebagai Ketua Penjaga Opet dan Oyen.

Saya hanya tersenyum. Nur Hanis turut mendapat pujian kesudahannya. Dan juga 30 markah*.


Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad


Masih ragu lagi kah dengan teknik nabi ini?


*rujuk kepada Hadis Salam

Hadis Salam

Mengikut penerangan USK dalam bengkel tempohari, ada sebuah hadis yang dinamakan sebagai Hadis Salam. Hadis ini mengisahkan Rasulullah SAW yang menjelaskan perihal pahala kepada sahabat-sahabat baginda berdasarkan salam yang diberikan.

Hadisnya begini.

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.”

Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

Salinan dari blog Ustazah Siti Khadijah.

Berdasarkan hadis ini, pahala yang diberi merujuk bagaimana salam itu disampaikan. Makin sempurna salam yang diberi, pahala yang diterima semakin baik. Dapat dilihat di sini baginda Rasulullah SAW tidak langsung menyalahkan lelaki yang pertama/kedua atau mempersoalkan kenapa salamnya tidak sempurna seperti lelaki ketiga. Malahan, baginda terus memberitahu lelaki-lelaki itu pahala yang diperolehinya berdasarkan salam yang diberi.

Satu perbuatan baik walau tidak sempurna, tetap diberi ganjaran.

Hadis ini kemudiannya disesuaikan dengan teknik markah dorongan. Setiap perbuatan yang baik diberikan markah 10, 20 atau 30 berdasarkan darjah atau level "kesempurnaan" perbuatan tersebut. Bukan lagi 100 sebagaimana kebiasaan.

Contoh penggunaan yang boleh diaplikasikan adalah seperti berikut.

"Bagus sungguh adik sudah menyiapkan kerja sekolah. Kemudian buat latihan tambahan pula tu. Tentu esok adik lebih bersedia dan cikgu adik akan suka hati bila melihat adik menyiapkan kerja yang diberi. Abah beri adik 30 markah atas usaha adik ini".

Wallahualam.


*Sekiranya pemahaman saya ini melencong dari maksud sebenar, mohon tuan/puan maklumkan segera kepada saya.

18 January 2013

Tip Memuji #2 : Kecil Besar

Bila memuji, puji lah apa jua jenis kebaikan yang dilakukan. Jangan memilih-milih kebaikan apa yang mahu dipuji. Kecil besar bukan ukuran, tetapi yang paling utama kebaikan yang dilaksanakan. Saya sendiri sudah biasa tidak menghiraukan perkara-perkara kecil yang dianggap remeh. Seperti menyidai kain tuala selepas mandi, melipat sejadah selepas solat, menutup lampu bilik sebelum keluar dan lain-lain.

Cuba lah.

"Bagusnya adik sidaikan tuala mandi sendiri lepas guna. Cepat lah kering nanti tuala adik. Lantai pun dah tak bersepah."

17 January 2013

Teknik Menyelesaikan Masalah

Malam tadi, agak kucar kacir bila saya mahu meneruskan aplikasik teknik nabi ini. Pulang dari kerja kelam kabut mengejar Maghrib. Kalam Allah tetap mahu dibaca sehelai dua. Sudah selesai, anak-anak pula sudah bersiap sedia mahu mengaji Al-Quran. Untunglah ada ustaz yang sudi datang untuk mengajar. Rumah Mak Ngah yang selang sebuah rumah dijadikan tempat berkumpul untuk mengaji.

Saya dan isteri, bersantai di ruang tamu berbual kecil.

Pulang dari mengaji, kakak sudah terkejar-kejar teruja mahu menyiapkan tugasan membuat "mahkota puteri" untuk pelajaran seni visualnya. Adik pula sudah menjinjing buku latihan matematik dan terus duduk di sebelah abah. Katanya mahu membuat latihan lagi seperti semalam. Dan kali ini mahu buat latihan lebih dari semalam. Serentak itu saya ucapkan,

"Bagus lah anak abah yang comel ni, rajin betul buat latihan matematik. Nanti bila di sekolah, mesti adik senang nak faham teacher ajar"

Ustazah Hanis tersengih, nampak gigi depan dua batangnya yang agak "mancung" itu. Saya tambah lagi ganjaran selain pujian tadi, peluk dan cium. Ya. Peluk, cium dan pergerakan badan yang menyenangkan juga merupakan ganjaran positif yang boleh diberi. Ada masa dan ketika, saya juga "kehilangan" kata pujian. Jadi yang paling mudah, peluk dan cium sahaja lah untuk anak-anak comel ini.

Cuma saya terpinga-pinga, ke mana hilangnya pahlawan kami yang utama. Abang Muhd Haris tidak bersama-sama kami di ruang tamu. Siangnya tidak ke sekolah kerana abang sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit. Saya bangun mahu ke biliknya mengintai apa yang dibuat anak sulung ini. Pintu bilik tertutup. Ini jarang berlaku. Saya ketuk dan beri salam. Kapten Haris menjawab, dan pintu di buka kecil.

"Abang buat apa tu?"
"Kemas buku sekolah."

Saya hanya mengiakan. Saya minta izin mahu masuk ke dalam. Benar dia sedang menyusun buku mengikut jadual sekolah, tetapi mata saya cepat menangkap apa yang ada di atas katilnya. Patutlah pintu bertutup!

Kereta kawalan yang sudah terlerai!

Aduh! Rupanya diam-diam Kapten Haris sudah mahu menjadi McGyver! Habis dileraikannya kereta kawalan yang diperolehi daripada cabutan bertuah tahun lepas. Saya hanya mendiamkan diri sambil memerhati. Gerak-geri Kapten Haris sudah seperti orang salah. Yang dijangkakan, abahnya akan membebel, berleter dan marah. Jujurnya, itu juga yang terlintas di hati saya.

Tapi entah mengapa saya tidak pula mahu marah. Saya tenang atau cuba menjadi tenang. Oleh kerana saya masih dalam mood mahu mengaplikasikan teknik nabi, saya terus teringatkan teknik menyelesaikan masalah.

Saya tidak menyiasat perbuatan Kapten Haris.

Saya tidak menggunakan perkataan "mengapa" atau "kenapa".

Saya tutupkan mata dengan kesalahan abang Haris (meleraikan mainan).

Saya cuba mengalihkan isu perbuatan meleraikan kereta kawalan itu kepada suatu yang positif.


Setelah diam beberapa saat, saya katakan kepada Kapten Haris.

"Abah suka tengok abang suka nak bereksplorasi dengan mainan abang. Abang mesti jadi lebih pandai sebab abang tahu macam mana nak buka mainan abang tu. Kalau abang nak tau, ini pun kita boleh panggil Kemahiran Hidup"

Entah faham atau tidak Kapten Muhd Haris dengan perkataan "eksplorasi" itu, saya tidak pasti. Saya sendiri ragu-ragu sama ada saya menggunakan perkataan yang betul. Cuma saya kaitkan dengan Kemahiran Hidup, sebab itu mata pelajaran baru untuknya tahun ini. Tapi, yang pastinya Kapten Muhd Haris tersengih-sengih bila saya mengucapkan kata-kata itu, kemudian beria-ia pula dia bercerita tentang kawannya yang juga pandai berekplorasi.

Ah! Ini sungguh mudah. Daripada abah yang sebelum ini akan mengamuk tak tentu hala, kali ini saya dapat berfikir dengan waras untuk berhadapan dengan situasi yang sebegini. Hebat! Teknik nabi ini bukan saja mendorong yang dipuji, pengamal juga sentiasa akan dapat mengingatkan diri sendiri.

Sudah boleh dicipta kata-kata slogan yang baru, "Masalah Kapten Haris ditangani, masalah abah diatasi!"

Hi hi hi!