28 February 2013

Mahu mendorong, tapi skripnya pula terpesong.

Malam tadi entah kenapa saya menjadi malas. Malas untuk makan. Walhal perut sudah berlagu syahdu minta diisi. Konon-konon mahu berdiet, tidak mahu makan malam. Makanan alternatif pula tiada. Aduh! Makin kuat lah lagu yang berkumandang dalam perut.

Kriookkk! Kriookkk! Prrrttttr!

Sudahnya saya terpaksa akur dengan pemberontakan yang berlaku di dalam perut. Isteri tersayang ada memasak, tetapi tekak tidak pula mahu makan nasi. Mengada-ngada. Saya ternampak roti keping yang masih berbaki. Makan roti bakar sedap juga. Bila saya mahu bangun untuk menyediakan makanan, saya perasan Kapten Muhammad Haris tidak membuat apa-apa. Doktor Nur Hanim sedang menyiapkan kerja sekolah. Ustazah Nur Hanis pula menonton tv. Seperti biasa kalau tidak disuruh mengulangkaji, Kapten Haris leka bermain di dalam bilik. Jadi, saya mahu memberi "denda" kepada anak sulung saya ini.

"Abang oooo abang!"

"Saya abah."

"Abang nak dapat pahala yang banyak tak? Abang nak gembirakan hati abah tak?"

"Nak!"

Kapten Haris tersengih-sengih.

"Abang boleh tolong abah buatkan roti bakar? Abah lapar lah"

"Boleh. Abah nak berapa?"

"Empat keping"

"Ok"

Kapten Haris tanpa berlengah-lengah terus menyiapkan roti bakar abahnya. Saya terus saja dengan ucapkan terima kasih. Pesanan abahnya dibuat seikhlas mungkin.

Diet konon!

Alhamdulillah. Selesai makan, saya bersandar kekenyangan di ruang tamu. Sedap roti bakar air tangan anak bujang saya. Walaupun rasanya sama saja dengan roti bakar tempat lain, dihidangkan anak sendiri lain nikmatnya. Kapten Haris pula masih di dapur. Bila beliau ke ruang tamu, terus beliau katakan,

"Abah. Abang dah basuhkan semua pinggan. Meja (makan) pun dah kemas."

Kapten Haris sudah tersenyum-senyum bangga. Saya tahu, inilah masa yang paling sesuai. Tidak berlengah-lengah, saya teruskan memuji. Saya rangkul Kapten Muhammad Haris dan cium kiri kanan atas dan bawah.

"Alhamdulillah. Abah bangga sangat ada anak macam abang, tolong buatkan roti bakar untuk abah. Tolong basuh pinggan lagi. Abang dah gembirakan hati ibu bapa. Abah suka. Allah lagi suka."

Kapten Muhammad Haris tersipu-sipu. Self-esteemnya memuncak. Saya baru perasan. "Denda" saya sebenarnya sudah memperbaiki mood Kapten Haris. Ini waktu terbaik untuk saya mengambil peluang. Saya mahu menyuruhnya mengulangkaji, tetapi lain pula yang terkeluar dari mulut. Aduh! Tersilap skrip!

"Abang anak yang soleh, pergi solat Isyak ye. Lepas tu kemas buku susun ikut jadual. Gosok gigi, buang air. Siap semuanya tu dah boleh tidur dah"

Kapten Haris tidak lagi bertangguh-tangguh. Kalau tidak, berulang-ulang kali juga mengingatkan. Beliau segera ke bilik air mengangkat wuduk, solat dan mengemas buku. Sesudah selesai, Muhammad Haris masuk beradu di dalam bilik.

Saya tahu teknik saya sudah berhasil, tapi ralat sedikit tujuannya tidak kesampaian.

Sekurang-kurangnya saya tahu malam itu, di lain masa sebelum mahu meminta anak membuat perkara yang "kurang/tidak digemarinya", saya boleh meminta mereka membuat sesuatu yang mereka mahu lakukan dengan ikhlas. Apabila sudah selesai, dipuji dan naik pula self-esteemnya, itu lah peluang terbaik untuk mendorong mereka melakukan perkara yang utama.

Teori saya masih belum dibuktikan. Saya mahu cuba lagi. Mana tahu, 4 keping roti bakar bakal terhidang lagi!

Hihihihihi!



21 February 2013

Ganjaran Material atau Ganjaran Sosial

Saya tertarik dengan satu perbincangan di grup pengamal teknik nabi di Facebook. Isunya berkaitan dengan ganjaran yang diberi kepada anak-anak untuk melakukan sesuatu. Dalam perbincangan itu dinyatakan anak-anak diberikan ganjaran material (berupa sejumlah wang) untuk melakukan beberapa perkara (seperti solat, mandi).

Kaedah itu berhasil. Anak-anak itu melaksanakan kewajipan mereka dengan penuh semangat. Cuma persoalannya adakah teknik ini benar-benar seperti yang disarankan?

Dalam bengkel yang saya hadiri tempohari, USK menerangkan terdapat 2 jenis ganjaran yang boleh diberi apabila mahu mengaplikasikan teknik nabi ini.

  1. Ganjaran Sosial. Ganjaran ini tidak memerlukan modal/perbelanjaan untuk dilaksanakan. Ianya juga boleh dibuat bila-bila masa dan lebih bersifat spontan. Penerimaan terhadap ganjaran jenis ini juga tidak mempunyai tahap puas yang maksima. Contoh ganjaran sosial ialah seperti doa, pujian, senyuman, tanda bagus, pelukan, belaian. Nasihat juga ganjaran sosial, tetapi ianya hanya menjadi ganjaran sosial positif apabila mendapat keizinan untuk menyampaikannya.
  2. Ganjaran material. Berbeza daripada ganjaran sosial, ganjaran ini lebih bersifat fizikal dan memerlukan modal untuk dilaksanakan. Ganjaran jenis ini selalunya memberi kepuasan dalam jangka masa pendek, kerana sifat manusia yang mudah muak dengan sesuatu benda. Contoh ganjaran material seperti hadiah, upah, gaji.


Semenjak saya mula mengaplikasikan teknik nabi ini kepada anak-anak saya, tidak sekalipun saya berikan ganjaran berbentuk material apabila anak-anak comel itu melakukan kebaikan. Bukan tidak ada langsung, tetapi jika saya lakukan pun ianya lebih bersifat kejutan dan tidak dirancang. Ini kerana saya tidak mahu menyampaikan mesej yang salah kepada mereka tentang ganjaran yang diberikan. Saya khuatir, jika saya mensyaratkan "kalau buat perkara baik, dapat hadiah", kebaikan yang anak-anak saya lakukan bukan ikhlas kerana Allah. Saya juga khuatir anak-anak saya hanya melakukan kebaikan itu hanya untuk saya kerana pasti mendapat ganjaran material hebat. Tetapi sekiranya saya tiada mereka tidak akan melakukannya kerana tahu mereka tidak akan mendapat sebarang ganjaran.

Yang saya maksudkan memberi ganjaran (material) tanpa dirancang itu, saya memberikan anak-anak saya benda-benda yang disukai mereka, secara mengejut. Contohnya, saya pernah membawa Ustazah Nur Hanis dan Doktor Nur Hanim membonceng motor di sekitar kawasan perumahan kami. Ketika itu Kapten Muhammad Haris pergi bermain bola di padang, jadi beliau tidak turut serta. Anak-anak cukup suka kalau dapat membonceng motor, terutamanya Ustazah Nur Hanis. Saya pandu motor merah saya ke kedai mamak berhampiran dan saya istiharkan kepada mereka;

"Abah cukup seronok hari ni. Anak-anak abah cukup baik. Solat, tolong kemas rumah. Jadi hari ini, abah nak belanja anak-anak."

Apa lagi. Bersorak-sorai lah kedua anak perempuan saya tu. Bagi penggemar gula-gula tegar Ustazah Nur Hanis, sengih lebarnya tak dapat disembunyikan lagi. Siapa sangka hari itu mereka boleh "membeli-belah" di kedai mamak. Satu perkara yang saya cukup kagum dengan anak bongsu saya ini, bila saya ke kedai hanya berdua dengan dia dan mahu membeli jajan, dia pasti akan mengingatkan saya supaya membelikan juga untuk kakak dan abangnya. Dan saya pula terlupa untuk mengamalkan teknik nabi untuk memuji kebaikannya itu, kerana lebih memikirkan wang dikocek yang entah cukup atau tidak. Heheheheh!

Kesimpulannya, pada pandangan peribadi saya, saya yakin teknik memuji dengan ganjaran sosial lebih memberikan impak yang berpanjangan dan juga boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada kedua-dua penerima dan pengamal. Ganjaran material itu seperti "value added", dijadikan sebagai ganjaran tambahan untuk mempertingkatkan lagi self-esteem anak-anak itu.

Wallahualam.

18 February 2013

Bila Kapten menjadi Pendekar, puji lah juga.

Antara cabaran ibu bapa di zaman Facebook ini ialah kecenderungan anak-anak yang berlebihan terhadap gajet-gajet moden. Tablet, smartphone, laptop, xbox, PS3 dan pelbagai lagi peralatan teknologi terkini menjadi "kegilaan" mereka. Tidak ada lagi permainan-permainan tradisional seperti galah panjang, tenteng gajah, konda kondi dan lain-lain permainan yang lebih menimbulkan suasana pergaulan yang utuh. Kini, aktiviti mengeluarkan peluh agak terhad seperti permainan bola sepak atau berbasikal. Selebihnya tertumpu pada aktiviti-aktiviti seperti yang dinyatakan di atas.

Ini hanyalah berdasarkan pemerhatian secara rawak. Kekerapan yang saya lihat di sekeliling saya. Juga dalam keluarga saya sendiri.

Dan yang merisaukan saya, anak-anak kami sudah pun merasa tempiasnya. Jika ada masa yang terluang, itu lah yang dimintanya. Walaupun masih terkawal (saya hadkan waktu 2-3 jam sehari, dan hanya pada hari cuti), saya tetap mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya. Antara tiga orang permata hati kami, Kapten Muhammad Haris yang agak "ketagih" dengan permainan alam maya ini. Orang kata, biasalah begitu ragam anak lelaki. Mahu berseronok sahaja waktu umur begini. Kalau 2-3 tahun dahulu, saya terima sebulatnya kata-kata itu dengan menganggap perubahan akan berlaku mengikut masa. Tetapi semakin hari semakin hilang rasa yakin itu.

Yang sewajarnya, perubahan hanya akan berlaku jika kita yang mahu lakukan perubahan.

Saya tekad mahu lakukan sesuatu, sebelum keadaan menjadi lebih parah. Alhamdulillah, atas kemahuan dan persetujuan Kapten Muhammad Haris sendiri, saya daftarkan beliau menjadi ahli Persatuan Seni Silat Gayung di sekolah pada penghujung tahun lepas. Bermula dari hari itu, rutin hujung minggu kami berubah. Setiap hari Ahad Kapten Haris akan berlatih selama dua jam. Dan bila saya sudah tahu menggunakan teknik nabi, saya langsungkan terus kepada Muhammad Haris.


"Abang tahu tak? Abah bangga betul bila abang ambil keputusan nak masuk silat ni. Tak ramai yang ada semangat macam abang. Insya-allah, bila abang dah pandai silat nanti abang boleh tolong abah jaga umi, kakak dan adik. Badan abang pun jadi lebih sihat."

Kapten Muhammad Haris tersengih. Semangat keperwiraannya sudah saya nyalakan. Setiap minggu saya puji usahanya yang terus ke kelas tanpa ponteng sekali pun. Di rumah sebelum bersiap, di dalam kereta semasa menuju ke sekolah, selepas habis latihan; itu lah waktu-waktu terbaik yang saya aplikasikan teknik nabi kepada Kapten Haris.

"Alhamdulillah. Abah suka tengok abang pergi kelas silat untuk belajar. Abang gunakan masa abang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Allah suka. Nabi suka. Abang tau siapa lagi yang suka?"

"Tau! Abah dengan Umi"

Hehehe! Kapten Muhammad Haris sudah tau dialog saya seterusnya.

Doanya, Kapten Muhammad Haris betul-betul dapat belajar dari persatuan ini. Yang saya pernah dengar, hubungan sesama ahli persatuan silat ini akrab, dan disiplinnya tinggi. Sangat bagus untuk Kapten Haris dipengaruhi budaya sebegitu.


Laksamana Haris



08 February 2013

Jangan marah, jangan siasat. Terangkan sahaja.

Isteri saya yang saya kasihi masih berusaha untuk menguasai/memahami kepelbagaian aplikasi dalam teknik nabi sepenuhnya. Alhamdulillah. Saya pula lebih tertumpu kepada penggunaan teknik memuji, jadi isteri saya yang manis berlesung pipit itu hanya jelas dengan teknik memuji ini. Teknik menerangkan perkara yang salah/betul dan juga teknik menutup mata pada kesalahan selalunya seiring dengan teknik memuji, tetapi tidak pula saya terangkan kepadanya secara terperinci walaupun teknik ini sering juga saya aplikasikan.

Saya katakan kepadanya, teknik (memuji) ini juga tidak mudah pada peringkat permulaan. Ada dua perkara yang sering akan membuat kita sedikit kekok dan kurang yakin;

  1. Masalah membina ayat memuji. Saya memang agak kekok bila mahu memuji (kerana bukan kebiasaan), apatah lagi menggunakan ayat-ayat yang formal dengan anak-anak. Pada peringkat permulaannya, saya lebih banyak meniru contoh-contoh ayat dari blog-blog pelopor teknik nabi ini (rujuk blog USK, Cikgu Khairulaniza & Ustazah Nurhidayah), juga dari contoh-contoh warga alumni bengkel teknik nabi. Tetapi kemudiannya saya sedikit "melanggar pantang", saya turut menggunakan bahasa yang lebih sesuai dengan anak-anak saya. Mungkin ini salah, tetapi saya melihat kesannya masih lagi terkawal. Antaranya; "Fuyyyyooo! Cantiknya tulisan jawi abang. Poweeeerrrrr!", sambil kedua-dua tangan menunjukkan tanda bagus. Di sini saya menggunakan dua ganjaran sosial positif iaitu pujian (fuyyo, power) dan juga bahasa badan (tanda bagus, senyum/sengih).
  2. Penerimaan orang yang dipuji juga kadang-kadang tidak seperti kita harapkan. Mereka agak skeptikal, terasa seolah-olah diperolokkan bila dipuji-puji. Memang telah ditekankan oleh pelopor-pelopor pengamal teknik ini apabila sesuatu kebiasaan/kelaziman mahu diubah secara tiba-tiba, tahap penerimaannya agak pelbagai. Saya suka untuk berkongsikan poster yang dibuat oleh Cikgu Khairulniza di Facebook. Apabila mengamalkan teknik ini, jangan lah kita mengharapkab perubahan serta merta.




    Sumber FB : Khairulaniza Khairuddin
    Blog : Cikgu Khairulaniza


Kembali kepada kisah isteri saya. Semalam kami berchatting di gTalk. Isteri saya menceritakan perihal Ustazah Nur Hanis mahu "tuang" solat Maghrib. Ah! Sudah masuk hari kelima, anak comel ini sudah mahu "menyerah kalah"? Hari itu saya tidak ada di rumah, jadi tugas memastikan anak-anak solat saya serahkan kepada isteri tersayang. Isteri saya katakan beliau tidak berapa yakin mahu mengaplikasikan teknik memuji dan tidak pasti pula dengan teknik yang lain. Jadi beliau hanya menggunakan naluri keibuannya memujuk Ustazah Nur Hanis.

Bayangkan. Ustazah Nur Hanis mahu minum susu, sambil baring menonton telivisyen pada waktu Maghrib!

Allah Maha Besar. Saya sungguh terpersona dengan tindakan isteri saya menangani situasi itu. Ummi tidak marahkan Ustazah Nur Hanis. Malahan tidak bertanyakan sebab kenapa Ustazah Nur Hanis tidak mahu bersolat. Sebaliknya Ummi Nur Hanis menerangkan terus akibat perbuatan anak kecil itu.

"Adik, syaitan tu suka sangat dengan orang yang tak solat. Jadi bila adik tak solat dan tengok tv, dia suka sangat. Nanti dia pon tengok (menonton) sama (adik)"

Hebat. Hebat. Dalam tidak kepastian Ummi Nur Hanis, teknik nabi sudah pun diaplikasikannya. Ummi tidak marah, tidak menyiasat malah terus menerangkan. Saya balas mesej Ummi di dinding chat saya.

"Itu teknik nabi la tu, yang"

Hihihihi! Untuk kali ini, saya berikan 30 markah untuk Ummi +Milah Adnan!


04 February 2013

Doa untuk Nur Hanis

Alhamdulillah.

Setakat hari ini, sudah tiga hari Ustazah Nur Hanis solat cukup 5 waktu. Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Semuanya dibuat atas kemahuan sendiri, tanpa ada "perintah dan arahan" daripada abah dan umminya. Kami hanya mengingatkan sahaja bila waktunya, sebab Nur Hanis masih tidak tahu waktu-waktu solat. Kelmarin mulutnya tidak berhenti bertanya sudah masuk waktu atau belum. Bila dijawab "belum lagi" atau "lambat lagi", dibalasnya "alaaa... lambatnya. Hanis bosan dah ni tak sabar nak solat."

Masya Allah. Subhanallah. Alhamdulillah. Sudah tentu saya langsungkan dengan teknik memuji selepas itu.

Solat Maghrib dan Isyak pula, Ustazah Nur Hanis mahu 27 "markah". Dia tetap mahu berjemaah dengan abah. Sabtu lepas, Ustazah Nur Hanis tetap mencari saya untuk berjemaah walaupun jam sudah 11 malam. Kami terlewat solat Isyak kerana meraikan tetamu yang datang dari utara. Ketika saya melepaskan lelah di bilik, Ustazah Nur Hanis masuk dengan membawa telekung.

"Abah, jom solat Isyak!"

Saya hanya membatu. Nur Hanis menyambung lagi.

"Abah dah solat ke?"

Saya hanya mengangguk-angguk. Sebenarnya saya bukan mengangguk mengiakan pertanyaannya, tetapi memberi maklum saya sedang mendengar kata-katanya itu. Tapi Nur Hanis fikir, saya memberi jawapan "ya" untuk soalannya tadi.

"Alaaaa.... kenapa abah solat dulu? Nanti Hanis solat sorang-sorang dapat 1 pahala je"

Aduh! Nur Hanis sudah memuncungkan mulut. Saya pula rasa bersalah kerana acuh tidak acuh melayan pertanyaannya tadi. Saya bingkas bangun dan berkata,

"Adik nak 27 pahala ke? Tunggu jap ye sayang, abah ambik wuduk dulu. Kita solat sama-sama ya".

Ustazah Nur Hanis kembali tersenyum. Terus saja dia bersiap sedia dengan telekung dan sejadahnya. Saya betul-betul beruntung dianugerahkan anak comel ini. Teknik nabi bukan saja dapat mencetus nilai murni dan cemerlang anak-anak, tetapi saya melihat teknik ini lebih banyak membantu saya memperbaiki diri sendiri yang rupanya lebih corot dari yang disangka. Bila melaksanakan teknik ini dan mendapat hasil yang tak terjangka, saya malu dan sedih melihat kelalaian diri. Bukan lah saya sudah berubah seratus peratus, tetapi sedikit demi sedikit saya mula belajar mengawal diri, terutamanya bila berhadapan dengan anak-anak.

Astaghfirullah. Moga Allah mengampunkan dosa saya.


Doa
Saya dan Nur Hanis berjemaah lagi Isyak itu. Dan selesai solat, pesan Nur Hanis tetap sama.

"Abah. Esok bangunkan Hanis awal tau! Nak solat Subuh."

Saya hanya mampu tersenyum. Puji-pujian teknik nabi hanya menyusul selepas Nur Hanis lepas daripada pelukan saya. Selepas seketika, saya duduk menghadap Nur Hanis sambil mata bertentangan.

"Adik tau tak, abah suka sangat adik rajin bersolat. Nabi suka. Allah lagi suka. Abah nak doakan untuk adik lah. Ya Allah Ya Tuhanku. Terima kasih Ya Allah sebab diberi Nur Hanis anak yang solehah, Ya Allah. Budak comel ni baik betul Ya Allah, rajin bersolat dan berjemaah. Dia anak yang baik Ya Allah, jadikan dia anak yang cemerlang dunia dan akhirat."

Saya berdoa bersama-sama dengan Nur Hanis, dengan nada yang ceria sambil menggoyangkan badan ke kiri dan ke kanan. Nur Hanis tersenyum. Tersipu-sipu. Saya berikan lagi ganjaran sosial dengan memeluknya lagi sekali.

Oh ya!

Ustazah Nur Hanis juga berjemaah dengan abahnya waktu solat Subuh!




01 February 2013

"Abah, besok bangunkan Hanis solat Subuh!"

Tidak ada kata yang mampu saya ucapkan bila Ustazah Nur Hanis membuat permintaan ini. Saya benar-benar terkesima dengan azam anak kecil ini. Bukannya Ustazah Nur Hanis tidak pernah bersolat. Tapi solat kanak-kanak 6 tahun ini hanya pada  waktu-waktu terpilih. Maghrib lah yang paling selalu, tapi bukan solat Subuh. Tidak pernah langsung. Seawal mana pun dia bangun pagi, dia tak pernah mahu turut bersolat walau diajak.

Dua tiga hari ini pula saya kerap bercerita kebaikan solat kepada anak-anak. Saya ceritakan kenapa kita perlu bersolat. Dari segi dosa dan pahala. Dari segi perbezaan amalan solat orang Islam dengan agama lain. Saya cuba aplikasikan teknik menerangkan perkara yang betul. Tetapi saya juga sedar apa yang saya katakan itu mungkin sudah kerap didengari anak-anak.

Cuma Ustazah Nur Hanis semakin menumpukan perhatiannya kepada penerangan saya apabila saya menyentuh kebaikan solat berjemaah. Saya sebutkan kepadanya perbandingan pahala orang bersolat sendiri dengan orang solat berjemaah.

"Orang yang solat jemaah akan dapat pahala 27 kali ganda daripada orang yang solat seorang diri. Banyak tu 27. Orang yang solat sendiri dapat satu je."

"Banyak betul 27 tu, abah. Sampai tak cukup jari Hanis", balas Nur Hanis sambil mendepangkan 10 jari mongelnya.

Saya tidak terfikir pula tentang hal 27 pahala ini akan menarik perhatian si bongsu. Saya meneka, dia masih melihat 27 itu sebagai "markah" sebagai mana yang saya gunakan dalam teknik markah mendorong. Ustazah Nur Hanis kemudiannya bersungguh-sungguh mahu menjadi makmum saya untuk solat Isyak. Ummi jauh berkursus di Johor. Kakak dan abang pula sudah bersolat terlebih dahulu, jadi hanya tinggal kami berdua. Terus kami berwuduk dan solat bersama di ruang tamu. Usai bersolat, saya terus memberi ganjaran sosial positif kepada Ustazah Nur Hanis. Selepas pipi tembamnya saya cium bertalu-talu, saya katakan kepadanya seperti berikut.

"Alhamdulillah. Beruntung betul abah ada anak macam adik ni yang rajin bersolat. Berjemaah dengan abah pulak tu. Banyak pahala adik dapat malam ni"

"27 markah kan abah?"

"Markah? Ha'ah! 27 markah. Hebat tu"

Saya hanya mengiakan kata Nur Hanis. Memang betul telahan saya dia melihat pahala itu sebagai markah. Saya biarkan sahaja kerana saya fikir itu tidak salah. Sambil melipat telekung dan sejadah, Ustazah Nur Hanis terus bertanya kepada saya.

"Abah. Abah suka ke kalau Hanis sembahyang jemaah dengan abah?"

Saya tidak menjangkakan soalan itu akan ditanya. Saya agak terkejut, tapi saya amat gembira untuk menjawab.

"Mesti lah abah suka. Adik buat perkara yang Allah suka. Kita semua dapat pahala yang banyak sebab solat jemaah. Abah pun suka sangat-sangat. Suka sampai rasa nak lompat-lompat!".

Subhanallah. Berseri-seri sengih Ustazah Nur Hanis bila mendengar saya cakap begitu. Benarlah teknik memuji ini bukan sebarangan teknik. Dan bila saya katakan saya suka sehingga mahu melompat, memang saya benar-benar maksudkannya apabila Ustazah Nur Hanis menyambung lagi katanya.

"Abah. Hanis nak sembahyang banyak-banyak (5 waktu) lah. Esok pagi boleh tak abah bangunkan adik awal sikit, sebab Hanis nak solat pagi (subuh)?"

Saya mengiakan, walaupun ada sedikit timbul rasa sangsi akan azam Ustazah Nur Hanis ini. Saya kira, cita-cira ini tidak akan kekal sehingga pagi esok. Saya tidak pula membantah, tetapi hanya mengikut saja rentak mahu si bongsu ini.

Sesungguhnya saya silap. Amat silap.

Celik saja mata Ustazah Nur Hanis pagi itu, perkara pertama yang mahu dibuatnya ialah segera bangun untuk mandi. Masih ditempat tidur, dia bertanyakan kepada saya.

"Abah. Dah (masuk waktu) solat subuh ke?"

Maka hari itu terciptalah sejarah keluarga kecil kami apabila Nur Hanis buat pertama kali dalam hidupnya, bersolat Subuh dengan kemahuannya sendiri. Saya betul-betul gembira, bahkan berkali ganda apabila Doktor Nur Hanim juga pertama kalinya solat subuh.


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


Gambar kakak dan adik solat Maghrib