Saya tidak pasti sama ada mahu bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.
Jadi, saya kongsikan sendiri serba sedikit pengalaman saya yang masih baru mengamalkan teknik ini (selama kurang lebih enam bulan).
- Mengamalkan teknik ini memerlukan keazaman individu. Semasa saya mula mengenali teknik ini, saya sememangnya kebetulan sedang mencari-cari cara/panduan yang lebih baik untuk mendidik anak-anak. Saya sedar cara saya mendidik anak lebih kepada pengalaman lepas dan "kaedah cuba jaya". Kemudian diperkenalkan pula dengan teknik mendorong murid corot. Teknik ini pula agak "mudah" dan terbukti berkesan. Jadi, kedua-dua azam dan keberkesanan teknik ini banyak membantu saya untuk terus mengamalkannya.
- Terus-terang saya katakan, untuk berubah daripada kebiasaan (marah, kritik, bebel, leter) itu agak sukar. Ianya sudah sebati dalam hidup atas faktor didikan terdahulu, persekitaran dan kebiasaan. Bayangkan, dengan teknik ini anak yang buat perangai/kesalahan bukannya dimarah, sebaliknya dipuji! Ini memang sangat sukar bagi saya. Dan saya akui, sepanjang 6 bulan saya mengamalkan teknik ini, bukanlah tidak pernah langsung saya membebel/marah/kritik. Kadang-kadang terlepas tanpa sedar, kadang-kadang memang sudah tak tertahan. Cuma bila sudah "sedar diri" semula, saya kembali kepada teknik ini.
- Rahsia utama teknik ini bagi saya ialah ianya perlu diamalkan berterusan. Setiap hari, setiap masa. Bukan sekali-sekala, bukan hanya bila teringat. Ini untuk melatih diri kita sendiri.
- Tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk mendapatkan perubahan serta-merta. Percayalah, jika ada sikap sebegini, yang akan kecewa adalah kita sendiri. Perubahan itu bukan dalam kawalan kita. Saya juga begitu pada mulanya. Kemudian saya sedar, saya sendiri menghadapi waktu sukar untuk berubah daripada kebiasaan (rujuk point 2), jadi mana mungkin perubahan anak-anak pun boleh berlaku sekelip mata. Dan sebenarnya teknik ini bukan hanya untuk anak-anak kita, teknik ini juga untuk membantu kita memperbaiki diri sendiri. Daripada seorang yang sering bersikap dan memandang negatif, kepada seorang yang lebih tenang dan aman.
- Pelbagaikan cara mendidik. Teknik ini bukannya satu-satunya cara untuk mendidik anak. Saya sendiri suka melihat kepelbagaian cara didikan yang ada. Selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam, saya akan cuba yang mana bersesuian. Teknik/amalan yang berbeza bukan menunjukkan ianya lebih baik antara satu sama lain, tetapi lebih kepada melengkapi antara satu sama lain.
Ini lah pandangan dan pengalaman saya dalam mendidik anak-anak menggunakan teknik mendorong. Pengalaman individu berlainan, jadi saya meraikan perbezaan pendapat.
Kembali kepada persoalan sama ada kaum wanita lebih mudah mengamalkan teknik ini bagi saya ianya lebih kepada perkara "kelebihan". Diakui kaum wanita lebih mudah mesra, penyayang dan lebih mudah menyantuni anak-anak kecil. Ini membantu mereka untuk megamalkan teknik ini dengan lebih mudah. Namun begitu, sikap ini bukan hak mutlak untuk mana-mana jantina. Jadi, sesiapa pun boleh mengamalkannya.
Tambahan pula, teknik ini pula kita pelajari daripada seorang lelaki yang terhebat kesayangan kita semua, Muhammad Solloahu Alaihi Wassalam.
Wallahualam.
*Tujuan entri ini hanya untuk menceritakan pengalaman dan pandangan. Sekali lagi saya alu-alukan pendapat dan pandangan lain sekiranya berbeza.
No comments:
Post a Comment