Kenali saya

Saya hanya orang biasa.

Yang punya cita-cita dan kemahuan yang kadang-kadang agak luar biasa.

Tidak ada apa-apa yang istimewa. Lahir daripada keluarga yang sederhana, tetapi masih diizinkan Allah mengecap nikmat bahagia. Kini dan hari seterusnya, saya masih berusaha untuk membina keluarga yang lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Dianugerahkan isteri yang hebat dan anak-anak yang hebat, menjadi peringatan kepada saya untuk tidak melampau-lampau mahu mencari kebahagian dan kemewahan yang tidak berhujung pangkal.

Saya mendapat pendidikan hanya di dalam negara yang tercinta. Ijazah sarjana muda di utara tanah air, ijazah sarjana pula di institut pengajian tinggi awam di Kuala Lumpur. Berpendidikan dan bekerjaya dalam bidang teknologi maklumat. Pernah dan masih bercita-cita untuk menjadi pendidik, kerana saya yakin bidang ini adalah bidang yang paling baik untuk menyemai benih pelaburan di alam "sana". Tetapi rancangan Allah lebih baik. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk saya.

Saya ada dua kegemaran yang utama; fotografi dan juga menulis. Fotografi itu memang hobi semenjak berusia belasan tahun, tetapi masih belum bersungguh untuk dijadikan sebagai alternatif pendapatan. Masih belum ada keyakinan, kerana takut tidak mampu memberi keadilan antara hasil dan juga bayaran yang ditetapkan. Gambar pun hanya biasa-biasa sahaja. Biarlah untuk tatapan sendiri. Tetapi kalau ada yang sudi, saya sedia untuk berkhidmat.

Menulis pula sudah lama. Tetapi hanya menulis yang biasa-biasa. Perkara hari-hari. Tidak ada yang luar biasa. Tidak ada rencah rasa yang menarik untuk dikongsi untuk ditatap orang lain.

Syiok sendiri.

Cuma berharap catatan-catatan saya boleh dijadikan kenangan untuk saya, isteri, anak-anak, keluarga dan sahabat handai suatu hari nanti. Mungkin pada usia tua. Mungkin selepas saya tiada. Dan kebelakangan ini saya sudah ada hala tujuan untuk menulis. Berkongsi cerita hidup yang masih biasa-biasa, mahu dikongsikan dengan orang lain dengan harapan memberi menfaat.

Salam ukhuwah daripada saya.

Harap ada yang menegur jika ada yang salah dalam penulisan saya.

Keluarga saya

2 comments:

Unknown said...

as-salam,

saya selalu ikuti blog tuan, cuba mengaplikasikan teknik sama dalam mengajar dan mendidik anak.

tulisan tuan juga ringkas dan mudah di baca dan difahami..

tapi sehingga kini macam saya lihat tiada post / entri terkini... kurang post pula..

hrp boleh folow tuan di blog ini lagi supaya dapat manfaatnya.

jazakallah.

Sharulnizam Mohamed Yusof said...

Salam Puan Rahmah.
Memang agak lama saya tinggalkan blog ini. Saya lebih menumpukan kepada blog saya yang satu lagi. Saya juga sudah "kerap lupa" mengamalkan teknik ini.

Allahuakhbar.

Insya-allah, saya akan teruskan bila berkesempatan.