27 April 2013

Janji Ditepati

Siang tadi kami sekeluarga ke Bandar Tasik Permaisuri. Mahu menziarah saudara sebelah isteri yang baru selesai menjalani pembedahan. Dalam perjalanan isteri saya memaklumkan mak saudaranya itu dimasukkan ke hospital semula, akibat luka dari kesan pembedahan yang masih tidak sembuh. Mujur HUKM tidak jauh.

Disebabkan kami tiba di luar waktu melawat dan kanak-kanak pula tidak dibenarkan masuk, hanya isteri saya sahaja yang masuk ke dalam wad. Saya dan anak-anak menunggu di ruang lobi. Tidak banyak aktiviti yang boleh kami lakukan, jadi sudah tentu anak-anak "melilau" mencari apa yang boleh dibuat.

Mesin air.

Ah! Kapten Muhammad Haris yang paling awal meminta untuk dibelikan air dari "vending machine". Kalau yang sulung sudah meminta, yang lain-lain pun akan turut seia sekata. Saya sebenarnya kurang berkenan, tetapi sudahnya tetap alah dengan kemahuan mereka.

Dan saya mengugut.

"Okay. Abah boleh beli. Harga air tu dua ringgit kan? Balik nanti, abah ambik duit tabung anak-anak sorang 10 ringgit, okay?" 
"Haaaaa???!!"

Saya menyeringai. Teknik mengugut seorang bapa corot pasti akan menjadi.

"Okay. Abang setuju. Kalau abang bayar 10 ringgit, duit tabung abang masih ada RM XXX lagi. Boleh la beli."

Ah! Sudah! Ugutan saya diterima pula dengan "selamba". Saya sudah terperangkap. Muka-muka comel yang bertiga itu pula sudah gembira.

Saya tewas. 3 botol air pelbagai perisa sudah keluar dari kotak elektrik penelan duit.

Kemudian kami pulang.


Menunaikan janji
Sampai di rumah, saya melepas lelah di ruang tamu. Mengeringkan badan yang berpeluh. Anak-anak sudah ke bilik mahu menyalin pakaian. Tiba-tiba datang si comel manja saya Ustazah Nur Hanis.

"Nah abah. Duit lima inggit. Nak bayar duit air tadi."

Saya terpinga-pinga. Di tangan mongel Ustazah Nur Hanis ada sekeping duit hijau 5 ringgit. Rupanya mahu menunaikan janji. Janji main-main, janji ugutan saya yang sudah pun saya lupakan!

"Ni duit kakak pulak. Kakak takde duit 5 ringgit, kakak pakai duit singgit-singgit je"
"Nah abah. Duit abang 10 ringgit."
Gambar dari blog http://www.nizarazu.com/asal-usul-gambar-agong-di-duit-malaysia/

Saya kehilangan kata. Isteri yang duduk di sebelah hanya ketawa. Tiga permata hati kami masing-masing dengan duit di tangan. Duit tabung. Saya rangkul Nur Hanis ke pangkuan. Saya betul-betul tidak menyangka anak-anak saya akan bertindak begini. Sudah tentu, saya memuji!

"Baiknya anak-anak abah ni. Bagus betul sebab nak tunaikan janji (puji perbuatan baik). Abah bangga sangat (impak). Sebab anak-anak abah semuanya baik, abah tak ambik duit ni, tapi abah bagi pulak seringgit sorang jadi hadiah (berikan ganjaran - material)!" .
"Yeaaaayyyyyyyy!!!" 

Saya hulur duit seorang seringgit. Anak-anak saya melompat-lompat kegembiraan. Saya tersenyum lalu ketawa juga. Aksi mereka bersorak gembira mengingatkan saya akan aksi 40 penyamun yang seronok bila dimaklumkan akan bekerja overtime dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk.

Saya bahagia. Isteri comel bahagia. Syukur dengan anugerah 3 anak soleh ini.

Tiga "penyamun" hati.

:)



12 April 2013

6 solat

Pagi tadi, seperti biasa Ustazah Nur Hanis akan naik ke tingkat atas untuk mandi dan bersiap di bilik kami. Sudah dipersetujui antara tiga beradik permata kesayangan kami ini, si adik akan mandi di tingkat atas manakala kakak dan abang mandi di tingkat bawah.

Senang. Tak perlu berebut. Lagi pula masing-masing sudah ada rasa malu, tidak mahu mandi bersama-sama lagi. Pembahagian "kawasan" ini juga penting untuk mengelakkan kesesakan di bilik air dan yang paling utama, untuk menghindarkan jeritan sumbang oleh bapa corot mengerah anak-anak bersiap untuk ke sekolah.

:)

Selesai sahaja mandi, Ustazah Nur Hanis bersiap sambil dibantu abahnya. Puteri saya yang satu ini saya perhatikan agak menitik beratkan ketrampilan. Kalau di depan cermin, akan diteleknya kiri kanan atas bawah. Jadi saya tidak boleh bersambil lewa bila menyiapkan puteri comel ini.

Seperti biasa juga, saya mengaplikasikan teknik memuji.

"Adik, adik dah ambik wudhu (untuk solat Subuh) ke?" 
"Dah" 
"Bagusnya anak abah yang solehah ini. Tak payah dah abah nak ingat-ingatkan adik dah untuk solat. Adik dah tau dah nak buat sendiri...." 
"..ye lah. Hanis nak dapat pahala banyak!"

Ustazah Nur Hanis yang berada dalam dakapan saya memotong cakap. Anak kecil ini sudah menghidu ucapan dialog "dapat pahala" yang bakal saya ucapkan. Eheh! Nampak gaya saya perlu cari dialog lain dengan segera, takut nanti sudah tidak ada "nikmat" lagi ucapan dapat pahala itu.

"Hanis nak solat banyak-banyak. Satu hari kena ada 5." 
"Satu hari memang kita solat 5 waktu, sayang. Tak boleh kurang" 
"Ooo... Hanis nak buat solat Dhuha.. nanti dapat 6 solat"

Saya terkedu. Tadika Ustazah Nur Hanis memang mengadakan solat sunat Dhuha sebagai salah satu latihan amali solat. Tetapi saya tidak pula menyangka kesayangan saya ini boleh terfikir solat Dhuha itu salah satu cara untuk "membanyakkan bilangan solat".

Saya pula yang tersipu-sipu. Bilangan solat Dhuha saya sendiri boleh dikira dengan jari dalam tempoh satu bulan.

Sekali lagi Ustazah Nur Hanis "mengajar" saya.

Aduh!

Terima kasih atas peringatan-Mu, Ya Allah.