16 January 2013

Teknik Menaikkan Self-Esteem

Semalam, saya masih meneruskan aplikasi teknik nabi kepada anak-anak seperti biasa. Impaknya? Tak pernah mengecewakan. Ini adalah gambar permata hati kami yang berkumpul menyiapkan kerja sekolah dan membuat latihan selepas diberi pujian tentang kesungguhan mereka menuntut ilmu.

Dari kiri; Ustazah Nur Hanis, Kapten Muhd Haris dan Doktor Nur Hanim

Satu pengajaran yang saya perolehi dalam memberi pujian (secara betul) ini ialah, pujian berdasarkan teknik nabi menjadikan kita menjadi lebih ikhlas dalam mengucapkan kata-kata. Sememangnya begitu, kerana kita perlu menyebut secara jelas perbuatan baik orang yang kita puji. Kebiasaannya, kita memuji secara am. Kata-kata "cantiknya", "pandainya", "bijaknya" yang terhenti disitu, tidak memberi apa-apa makna jika tidak disertakan dengan perkara yang dipuji. Sebaliknya jika disebut mengikut teknik nabi, seperti "Cantiknya tulisan Nur Hanim. Senang abah membacanya", kita yang memuji tahu apa yang mahu dipuji, dan ini menjadikan kita lebih ikhlas dan terarah bila memberi pujian. Dan orang yang dipuji, serta orang sekeliling yang mendengar apa yang dipuji, akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Malahan, ada yang berusaha untuk menjadi lebih baik.

Ini hanya lah pendapat peribadi saya. Mungkin ada yang tidak bersetuju. Saya alu-alukan perbincangan untuk penambahbaikan pemahaman saya ini.

Kisah yang sebenarnya saya mahu kongsikan hari ini berkaitan dengan teknik menaikkan self-esteem. Ini penting untuk membantu membina daya keyakinan. Antara cara yang dicadangkan ialah memberikan jawatan. Seperti yang disaran dalam bengkel tempoh hari, guru-guru boleh melantik anak-anak muridnya menjadi guru pembantu. Tugasnya terpulang kepada kreativiti masing-masing. Seperti contoh yang diberi, lantik lah seorang yang lebih berkebolehan dalam hafazan dan berikan kepada guru pembantu ini beberapa murid untuk diselia. Guru pembantu hafazan ini akan memastikan "anak-anak muridnya" dapat menghafaz surah seperti yang telah diarahkan guru. Kesannya? Guru kecil ditanamkan semangat untuk membantu, anak-anak murid lebih selesa untuk membaca hafazan dan guru kelas dipermudahkan kerja. :)

Tetapi, bagaimana pula saya mahu mengaplikasikan teknik ini dengan "anak-anak murid" saya yang hanya seramai tiga orang itu?

Saya ciptakan jawatan yang berikut;
  1. Ketua Penjaga Opet & Oyen
    Bunyinya kelakar, tapi itu lah sebenarnya. Opet & Oyen merupakan dua ekor kucing peliharaan kami semenjak tahun 2011. Tugasnya mudah, hanya perlu memastikan dua ekor kucing ini sudah dikeluarkan dari rumah sebelum kami semua meninggalkan rumah untuk bekerja/sekolah atau sebelum waktu tidur. Tugas ini diterima oleh Ustazah Nur Hanis.
  2. Ketua Penjaga Solat
    Tugas jawatan ini untuk memastikan ahli keluarga kami menunaikan solat pada awal waktu. Doktor Nur Hanim secara sukarela menerima jawatan ini, lebih lebih lagi saya katakan kepadanya abah dan ummi turut dalam tanggungjawabnya. "Abah! Solat cepat!", seloroh kakak Hanim serta-merta.
  3. Ketua Belajar
    Jawatan ini pula saya serahkan kepada Kapten Muhd Haris. Tugasnya untuk memastikan anak-anak menyiapkan kerja sekolah, menyusun buku dan juga hadir kelas mengaji Al-Quran. 


Selesai menjelaskan tugas masing-masing, tiba-tiba Kapten Muhd Haris mengangkat tangan. Tergelak kecil saya dibuatnya. Sudah seperti dalam suasana kelas pula.

"Abah. Boleh tak tambah satu lagi jawatan?"

Saya teruja. Nampaknya anak-anak ini melihat ini sebagai satu yang menyeronokkan.

"Jawatan apa, bang?"
"Jawatan Ketua Mengemas Bilik. Kerja dia kena bersihkan bilik setiap hari."

Wah! Ini sudah sangat bagus. Memang bilik anak-anak saya kalau tidak jenuh berleter, takkan berkemas. Sudah-sudahnya, umminya juga yang akan mengemas.

Saya terus bersetuju.

"Ok. Abang ada dua jawatan. Ketua Belajar dan Ketua Mengemas Bilik."

Anak-anak semuanya seronok. Sambil menyiapkan kerja sekolah, mereka mereka-reka dialog untuk mengarahkan "orang bawahan" mereka melakukan tugas. Saya hanya mendengar dan tertawa sendiri. Bila masing-masing sudah siap dengan kerja sekolah, saya berehat sebentar di ruang tamu. Kakak Hanim sudah menjalankan tugas, mengingatkan abahnya untuk solat Isyak. Ustazah Nur Hanis pula sudah mengomel kerana Oyen cuba melarikan diri bila mahu dihantar keluar. Dan Kapten Haris?

Tidak ada barang-barang (terutamanya mainan) yang bersepah atas meja ini


Saya kagum. Amat kagum. Jarang benar saya melihat anak bujang saya ini mengemas bilik dengan begitu bersih sekali. Jawatan yang ditawarkannya sendiri benar-benar mahu dilakukan. Saya betul-betul gembira. Saya sertakan dengan pujian kepada anak sulung ini.

"Subhanallah. Bersihnya. Pandai betul abang kemaskan bilik abang. Mesti abang jadi lebih selesa bila nak buat kerja dalam bilik sendiri. Allah sukakan orang yang pembersih."

Malam itu, saya tidur dengan hati yang berbunga-bunga.

6 comments:

nurAzan said...

Assalamualaikum En Sahrulnizam.

Tahniah tahniah tahniah! Sungguh, saya sangat sukakan entri tuan yang sangat memberi inspirasi ini.

Saya suka gaya bahasanya, cara penceritaannya, contoh aplikasi teknik-tekniknya.... Memudahkan saya menghadam semua ilmu yang tersirat. Tulisan yang penuh maanfaat, dengan pengajaran yang sarat!

Saya sebenarnya melalui hari yang agak pedih hari ini. Bergelumang dengan kerenah anak-anak yang tiga orang.

Tulisan Tuan seakan memberi sinar. Esok akan berbeza buat saya. Saya yakin.

Tahniah sekali lagi. Teruskan berkongsi. Allah rahmati dan berkati tuan sekeluarga. Amin.

zulfa said...

MAHA SUCI ALLAH.. seronok membaca perkongsian tuan. Sarat dengan tips & teknik. Mudah difahami. Semoga Allah terus memberi tuan kekuatan untuk memberi..ameeen

Ijam MY said...

Wa'alaikumussalam wbt, Puan NurAzan. Terima kasih atas doanya. Terima kasih juga kerana sudi menjenguk blog yang tidak seberapa ini. Sekiranya entri-entri saya bermenafaat kepada puan, Alhamdulillah. Tapi sekiranya ada kesalahan, harap Puan tanpa segan silu menegur saya.

Keinginan puan dan juga ibu bapa yang lain untuk mensahsiahkan anak-anak itu sudah cukup hebat. Pasti Allah akan permudahkannya. Insya-allah

Semoga Allah permudahkan Puan dalam urusan seharian.

Ijam MY said...

Tuan/Puan/Cik Zulfa,
Terima kasih atas doanya. Sama-sama kita cuba aplikasikan teknik ini dalam kehidupan harian. Saya masih bertatih dalam teknik ini.

ijazainal said...

doakan saya menjadi sekuat anda utk mengaplikasikan apa yang dikongsi.

Ijam MY said...

@ijazainal, Insya-allah puan. Setiap umat Muhammad mampu melakukannya.