19 January 2013

Hadis Salam

Mengikut penerangan USK dalam bengkel tempohari, ada sebuah hadis yang dinamakan sebagai Hadis Salam. Hadis ini mengisahkan Rasulullah SAW yang menjelaskan perihal pahala kepada sahabat-sahabat baginda berdasarkan salam yang diberikan.

Hadisnya begini.

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.”

Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

Salinan dari blog Ustazah Siti Khadijah.

Berdasarkan hadis ini, pahala yang diberi merujuk bagaimana salam itu disampaikan. Makin sempurna salam yang diberi, pahala yang diterima semakin baik. Dapat dilihat di sini baginda Rasulullah SAW tidak langsung menyalahkan lelaki yang pertama/kedua atau mempersoalkan kenapa salamnya tidak sempurna seperti lelaki ketiga. Malahan, baginda terus memberitahu lelaki-lelaki itu pahala yang diperolehinya berdasarkan salam yang diberi.

Satu perbuatan baik walau tidak sempurna, tetap diberi ganjaran.

Hadis ini kemudiannya disesuaikan dengan teknik markah dorongan. Setiap perbuatan yang baik diberikan markah 10, 20 atau 30 berdasarkan darjah atau level "kesempurnaan" perbuatan tersebut. Bukan lagi 100 sebagaimana kebiasaan.

Contoh penggunaan yang boleh diaplikasikan adalah seperti berikut.

"Bagus sungguh adik sudah menyiapkan kerja sekolah. Kemudian buat latihan tambahan pula tu. Tentu esok adik lebih bersedia dan cikgu adik akan suka hati bila melihat adik menyiapkan kerja yang diberi. Abah beri adik 30 markah atas usaha adik ini".

Wallahualam.


*Sekiranya pemahaman saya ini melencong dari maksud sebenar, mohon tuan/puan maklumkan segera kepada saya.

2 comments:

neez said...

Salam, saya br ikuti kursus ini hujung minggu lps. Baru nak cuba2 apply kpd anak2... terima kasih krn blog ini byk membantu...

Anak2 faham ke knp markah terbaik adalah 30 dan bukan 100 spt lazimnya?

Ijam MY said...

Puan Neez, barakallahu fik.

Pada peringkat permulaan, anak-anak memang bertanya kenapa bukan 100. Saya hanya katakan saya hanya mahu membuat kelainanan. Saya ada menceritakan masalah saya untuk mengaplikasikan teknik permarkahan ini di sini; http://enciksharulnizam.blogspot.com/2013/01/bila-semuanya-sudah-30-markah.html

Buat masa sekarang saya tidak kerap menggunakan teknik permarkahan kerana saya lebih selesa dengan teknik memuji, di mana kesannya lebih cepat dan berpanjangan. Teknik permarkahan juga (pada pandangan saya) rasanya lebih sesuai untuk situasi dalam kelas di mana "persaingannya" lebih besar.

Tetapi sekiranya puan mahu mencuba, mahukah puan saya cadangkan begini; cari "cop-cop" seperti yang digunakan oleh USK (10, 20 & 30 markah) dan sediakan sekeping kertas A4/mahjong dan ditampal kan dalam bilik setiap anak. Setiap perbuatan baik mereka, puan berikan markah dan catatkan perbuatan itu. Saya masih tertangguh mencari cop-cop tersebut untuk saya cubakan di rumah. :(

Sekiranya puan mencuba, boleh lah kongsikan hasilnya dengan saya, ye. :)

Oh ya, UMK ada juga berkongsi perihal hadis salam ini di blognya. http://ustazmohdhaidhir.blogspot.com/2013/03/Teknik-Markah-Salam1.html