30 January 2013

Laskar Pelangi

Buku tulisan Andrea Hirata ini antara buku yang mencetus semula hobi membaca yang telah saya tinggalkan sejak sekian lama. Sayang seribu kali sayang. Hanya pada ketika ini saya baru sedar buku-buku (kebanyakkannya novel) yang saya beli dahulu sudah hilang tidak dapat dikesan. Nasi sudah menjadi bubur. Tidak ada guna untuk mengenang kealpaan diri.

Tahun 2011 saya tekad untuk membaca semula. Saya juga mahu tabiat membaca ini diterapkan dalam diri anak-anak saya. Laskar Pelangi saya. Saya tahu dengan membaca kita dapat mengembara. Mengembara dari segi makna kata yang lebih luas. Dari segi lahiriah mahupun spiritual. Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor dan lain-lain karya Andrea Hirata benar-benar menjadikan saya khayal. Dan percaya atau tidak, dengan izin Allah, saya juga bakal ke Pulau Belitong (lokasi cerita Laskar Pelangi) bulan Mei ini. Laskar Pelangi lah pencetusnya.

Seperti pengkisahan novel hebat ini, semangat juang menuntut ilmu kumpulan kanak-kanak di perkampungan Mangar ingin saya terapkan dalam ketiga-tiga jiwa kecil anak-anak kami. Saya dan ummi mahu menjadi seperti Pak Harfan dan Bu Mus yang gigih mahu mencurahkan ilmu. Kami mahu ada Laskar Pelangi kami sendiri. Cuma dalam versi kami ada teknik nabi. :)

Ini dia Laskar Pelangi saya.

Dari kiri; Ustazah Nur Hanis, Kapten Muhd Haris dan Doktor Nur Hanim

28 January 2013

Bila semuanya sudah 30 markah!

Sudah banyak kali tertangguh untuk mencatat pengalaman mengaplikasikan teknik nabi ini. Seminggu ini keadaan tidak begitu mengizinkan. Selain timbunan kerja di pejabat yang tidak putus-putus, kesihatan yang agak terganggu juga turut menjadi penyebab. Kalau sudah sakit gigi, semuanya jadi huru-hara!

Alhamdulillah. Hari ini ragam gigi sudah beransur pulih. Cuti hujung minggu yang panjang juga tidak dipersia-siakan. Walaupun hanya ke Port Dickson bermandi-manda, anak-anak tetap gembira. Tentulah, semuanya memang "pantang" nampak air.

Hari ini pula, kami ke Jaya Jusco (JJ). Ummi mahu belanja makan tengah hari. Rezeki jangan ditolak. Perjalanan ke JJ hanya memakan masa 15 minit dari rumah. Ustazah Nur Hanis duduk di depan menemankan abahnya memandu. Sudah 10 minit berlalu, tiba-tiba Ustazah Nur Hanis bersuara.

"Abah, tengok Hanis dah pakai tali pinggang"

Saya baru tersedar. Biasanya saya membuat endah tak endah dengan perkara ini. Pemakaian tali pinggang dalam kereta jarang saya titik beratkan. Prinsipnya juga tidak betul. Anak-anak biasanya akan kelam-kabut memakai tali pinggang keledar sekiranya ternampak kelibat polis. Takut kena tangkap, hasil "tarbiah" abahnya sekian lama. Abahnya yang paling bertanggungjawab dalam hal ini. Memberi maklumat yang salah tentang bila perlunya pemakai tali pinggang keledar.

Saya cepat-cepat memuji tindakan baik Nur Hanis. Teknik Nabi perlu dilakukan serta-merta, tidak bertangguh-tangguh.

"Bagusnya adik pakai tali pinggang tanpa disuruh. Insya-allah, keselamatan adik akan lebih terjaga bila kita lebih bersedia. Abah suka adik pandai jaga diri sendiri. Abah bagi adik 30 markah!"

Serentak itu abang dan kakak di tempat duduk belakang juga mahu memakai tali pinggang. Alhamdulillah. Semuanya saya bagi 30 markah. Nur Hanis seronok. Abang dan kakak juga gembira.


Di Jaya Jusco
Di meja makan pula, saya teruskan lagi dengan teknik memuji dan teknik memberi markah dorongan. Apabila masing-masing sudah mendapat hidangan yang dipesan, tanpa disuruh Ustazah Nur Hanis memulakan bacaan doa makan. Abang dan kakak juga turut mengikut selepas mendengar pujian saya kepada si adik.

"Alhamdulillah. Bagusnya adik baca doa sebelum makan. Allah sayangkan orang yang berdoa sebelum makan. Syaitan pun lari bila dengar adik baca doa. Adik dapat lagi 30 markah!"

Ustazah Nur Hanis makan dengan penuh selera. Saya masih meneruskan puji-pujian atas perilakunya yang baik dari tadi. Adik pun jadi lebih bersemangat. Berulang-ulang diminta tambah makan. Begitu juga kakak dan abang. Licin semua makanan yang dipesan. Kalau tidak silap saya, ini kali pertama makanan yang kami pesan licin semuanya! Mungkin faktor kami lewat makan tengah hari juga antara penyebab, tapi saya benar-benar gembira kali ini. Selesai semuanya saya alihkan pula pujian kepada Kapten Muhammad Haris.

"Wah! Bagusnya abang makan semuanya sampai licin. Abang tak membazir makanan, Allah mesti sayangkan abang. Abang dapat 30 markah!" 
"Kakak Hanim dapat 30 markah!"

Ustazah Nur Hanis tiba-tiba menarik baju saya. Ditunjuknya pinggan yang sudah bersih licin di hadapan, dan terus ditanya berapa markah yang diperolehi. Saya katakan 30 markah juga. Tapi Nur Hanis sudah tidak bereaksi seperti tadi. Dia hanya diam. Saya faham benar perangai si kecil ini. 30 markah yang diperolehinya sama saja seperti abang dan kakak. Budak kecil ini mahu lebih!

"Ok. Adik dapat 100 markah."

Baru nampak senyum manis si bongsu ini. Saya terangkan kepadanya selepas itu bahawa markah yang abah boleh beri hanya ada 10, 20 dan 30. Tidak ada 100. Ustazah Nur Hanis mengangguk. Moga kali lain dia tidak minta 100 markah lagi.

Tetapi Doktor Nur Hanim pula ada perkiraannya sendiri. Si kakak diam-diam mencongak markah yang diperolehi. Dijumlahkan semuanya.

"Abah. Kakak dapat 70 markah semuanya!"

Aduh. Nampaknya anak-anak ini masih melihat 100 markah sebagai markah penuh. Macam mana mahu dihilangkan kebiasaan ini? Saya simpan soalan ini untuk USK pada 3 Februari nanti. :)

19 January 2013

Pujuk atau puji

Maghrib tadi, kami berjemaah anak beranak di rumah.

Kapten Muhd Haris melakukan tugasnya sebagai tok bilal seperti biasa. Bacaan qamatnya sudah semakin baik dan sudah kurang rasa malu-malunya. Tempohari Kapten Haris seperti biasa malu-malu mahu beriqamat, sehingga dimintanya Doktor Nur Hanim menggantikan. Saya bertegas mahukan Kapten Haris juga, dan Kapten Haris akur. Kala dia beriqamat, baru saya tersedar yang saya agak berkeras dengan si Pelindung Terpuji itu.

Selesai tugasnya, saya langsungkan dengan pujian teknik nabi.

Elok bacaan qamat abang. Suara abang pun sedap didengar. Senang hati abah bila abang dah tahu beriqamat. Insya-allah, lama-lama nanti bacaan abang akan jadi lebih lancar."

Abang Haris sengih sahaja. Dan hari ini, ada sedikit peningkatan keyakinan yang ditunjukkan walaupun masih ada yang salah. Saya terus memberitahu bacaan yang betul, tanpa perlu memarahi kesalahannya itu.


Teknik Markah Dorongan
Usai solat, anak-anak bersalam dengan abah dan umminya. Sengaja saya sebutkan dengan suara yang agak kuat, agar didengari semua orang di ruang tamu tempat kami berjemaah.

"Alhamdulillah. Abah bangga abang dan kakak bersolat jemaah. Banyak pahala orang yang solat berjemaah ni dapat. Untuk itu, abah bagi abang dan kakak 30 markah*!"

Ustazah Nur Hanis yang duduk di meja makan hanya memerhati. Maghrib kali ini Ustazah Nur Hanis tidak turut serta. Puteri kami yang comel gebu ini memang begitu. Kalau tidak kena masa dan gaya, apa yang disuruh semuanya tidak mahu. Malam ini, dia enggan bersolat Maghrib bersama-sama.

Pujukan saya tidak diendahkannya. Geram juga, tetapi saya tidak pula memarahi Ustazah Nur Hanis (seperti kebiasaanya). Apatah lagi mengugut anak kecil itu dengan kata-kata seperti "orang yang tidak solat tu berdosa!". Atau seperti kata saya dahulu (sebelum tahu teknik nabi), "abah taknak kawan adik", "siapa tak solat, abah taknak belanja gula-gula" dan macam-macam lagi kata yang bersifat ugutan. Terlepas juga pada permulaannya saya tanyakan "kenapa", tetapi saya segera sedar dan berhenti menyiasat serta-merta. Saya juga sebenarnya agak buntu untuk mencari jalan penyelesaian, lalu mengambil keputusan hanya mendiamkan perkara itu.

Kemudian ketika kami mahu keluar mahu membeli barang, Ustazah Nur Hanis rupanya masih memberontak. Bila abang dan kakaknya mengingatkan tugas Ustazah sebagai Ketua Penjaga Opet & Oyen, adik Hanis hanya membantukan diri. Saya tidak mengendahkan rajuk si bongsu. Dan saya membuat keputusan kali ini saya masuk campur.

"Anak abah mana yang nak dapat pahala lebih? Siapa yang nak tolong abah keluarkan Opet dan Oyen?"

Kakak dan abang terus berlari mendapatkan kucing-kucing kami. Subhanallah. Ustazah Nur Hanis pula sudah mengintai-ngintai. Muncul sahaja abang Haris dengan Oyen di tangan, saya aplikasikan teknik memuji.

"Alhamdulillah. Bagus betul abang tolong keluarkan Oyen. Banyak pahala yang abang dapat har...."

Belum sempat saya menghabiskan perkataan terakhir, Ustazah Nur Hanis terus meluru ke abang Haris. Dimintanya Oyen dan dikendungnya ke pintu utama.

"Bak sini Oyen tu. Biar Hanis yang keluarkan", kata Nur Hanis yang mahu menjalankan tugasnya sebagai Ketua Penjaga Opet dan Oyen.

Saya hanya tersenyum. Nur Hanis turut mendapat pujian kesudahannya. Dan juga 30 markah*.


Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad


Masih ragu lagi kah dengan teknik nabi ini?


*rujuk kepada Hadis Salam

Hadis Salam

Mengikut penerangan USK dalam bengkel tempohari, ada sebuah hadis yang dinamakan sebagai Hadis Salam. Hadis ini mengisahkan Rasulullah SAW yang menjelaskan perihal pahala kepada sahabat-sahabat baginda berdasarkan salam yang diberikan.

Hadisnya begini.

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad saw. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata. “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang yang lain berkata; “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad saw berkata, “Dia mendapat 30 pahala.”

Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

Salinan dari blog Ustazah Siti Khadijah.

Berdasarkan hadis ini, pahala yang diberi merujuk bagaimana salam itu disampaikan. Makin sempurna salam yang diberi, pahala yang diterima semakin baik. Dapat dilihat di sini baginda Rasulullah SAW tidak langsung menyalahkan lelaki yang pertama/kedua atau mempersoalkan kenapa salamnya tidak sempurna seperti lelaki ketiga. Malahan, baginda terus memberitahu lelaki-lelaki itu pahala yang diperolehinya berdasarkan salam yang diberi.

Satu perbuatan baik walau tidak sempurna, tetap diberi ganjaran.

Hadis ini kemudiannya disesuaikan dengan teknik markah dorongan. Setiap perbuatan yang baik diberikan markah 10, 20 atau 30 berdasarkan darjah atau level "kesempurnaan" perbuatan tersebut. Bukan lagi 100 sebagaimana kebiasaan.

Contoh penggunaan yang boleh diaplikasikan adalah seperti berikut.

"Bagus sungguh adik sudah menyiapkan kerja sekolah. Kemudian buat latihan tambahan pula tu. Tentu esok adik lebih bersedia dan cikgu adik akan suka hati bila melihat adik menyiapkan kerja yang diberi. Abah beri adik 30 markah atas usaha adik ini".

Wallahualam.


*Sekiranya pemahaman saya ini melencong dari maksud sebenar, mohon tuan/puan maklumkan segera kepada saya.

18 January 2013

Tip Memuji #2 : Kecil Besar

Bila memuji, puji lah apa jua jenis kebaikan yang dilakukan. Jangan memilih-milih kebaikan apa yang mahu dipuji. Kecil besar bukan ukuran, tetapi yang paling utama kebaikan yang dilaksanakan. Saya sendiri sudah biasa tidak menghiraukan perkara-perkara kecil yang dianggap remeh. Seperti menyidai kain tuala selepas mandi, melipat sejadah selepas solat, menutup lampu bilik sebelum keluar dan lain-lain.

Cuba lah.

"Bagusnya adik sidaikan tuala mandi sendiri lepas guna. Cepat lah kering nanti tuala adik. Lantai pun dah tak bersepah."

17 January 2013

Teknik Menyelesaikan Masalah

Malam tadi, agak kucar kacir bila saya mahu meneruskan aplikasik teknik nabi ini. Pulang dari kerja kelam kabut mengejar Maghrib. Kalam Allah tetap mahu dibaca sehelai dua. Sudah selesai, anak-anak pula sudah bersiap sedia mahu mengaji Al-Quran. Untunglah ada ustaz yang sudi datang untuk mengajar. Rumah Mak Ngah yang selang sebuah rumah dijadikan tempat berkumpul untuk mengaji.

Saya dan isteri, bersantai di ruang tamu berbual kecil.

Pulang dari mengaji, kakak sudah terkejar-kejar teruja mahu menyiapkan tugasan membuat "mahkota puteri" untuk pelajaran seni visualnya. Adik pula sudah menjinjing buku latihan matematik dan terus duduk di sebelah abah. Katanya mahu membuat latihan lagi seperti semalam. Dan kali ini mahu buat latihan lebih dari semalam. Serentak itu saya ucapkan,

"Bagus lah anak abah yang comel ni, rajin betul buat latihan matematik. Nanti bila di sekolah, mesti adik senang nak faham teacher ajar"

Ustazah Hanis tersengih, nampak gigi depan dua batangnya yang agak "mancung" itu. Saya tambah lagi ganjaran selain pujian tadi, peluk dan cium. Ya. Peluk, cium dan pergerakan badan yang menyenangkan juga merupakan ganjaran positif yang boleh diberi. Ada masa dan ketika, saya juga "kehilangan" kata pujian. Jadi yang paling mudah, peluk dan cium sahaja lah untuk anak-anak comel ini.

Cuma saya terpinga-pinga, ke mana hilangnya pahlawan kami yang utama. Abang Muhd Haris tidak bersama-sama kami di ruang tamu. Siangnya tidak ke sekolah kerana abang sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit. Saya bangun mahu ke biliknya mengintai apa yang dibuat anak sulung ini. Pintu bilik tertutup. Ini jarang berlaku. Saya ketuk dan beri salam. Kapten Haris menjawab, dan pintu di buka kecil.

"Abang buat apa tu?"
"Kemas buku sekolah."

Saya hanya mengiakan. Saya minta izin mahu masuk ke dalam. Benar dia sedang menyusun buku mengikut jadual sekolah, tetapi mata saya cepat menangkap apa yang ada di atas katilnya. Patutlah pintu bertutup!

Kereta kawalan yang sudah terlerai!

Aduh! Rupanya diam-diam Kapten Haris sudah mahu menjadi McGyver! Habis dileraikannya kereta kawalan yang diperolehi daripada cabutan bertuah tahun lepas. Saya hanya mendiamkan diri sambil memerhati. Gerak-geri Kapten Haris sudah seperti orang salah. Yang dijangkakan, abahnya akan membebel, berleter dan marah. Jujurnya, itu juga yang terlintas di hati saya.

Tapi entah mengapa saya tidak pula mahu marah. Saya tenang atau cuba menjadi tenang. Oleh kerana saya masih dalam mood mahu mengaplikasikan teknik nabi, saya terus teringatkan teknik menyelesaikan masalah.

Saya tidak menyiasat perbuatan Kapten Haris.

Saya tidak menggunakan perkataan "mengapa" atau "kenapa".

Saya tutupkan mata dengan kesalahan abang Haris (meleraikan mainan).

Saya cuba mengalihkan isu perbuatan meleraikan kereta kawalan itu kepada suatu yang positif.


Setelah diam beberapa saat, saya katakan kepada Kapten Haris.

"Abah suka tengok abang suka nak bereksplorasi dengan mainan abang. Abang mesti jadi lebih pandai sebab abang tahu macam mana nak buka mainan abang tu. Kalau abang nak tau, ini pun kita boleh panggil Kemahiran Hidup"

Entah faham atau tidak Kapten Muhd Haris dengan perkataan "eksplorasi" itu, saya tidak pasti. Saya sendiri ragu-ragu sama ada saya menggunakan perkataan yang betul. Cuma saya kaitkan dengan Kemahiran Hidup, sebab itu mata pelajaran baru untuknya tahun ini. Tapi, yang pastinya Kapten Muhd Haris tersengih-sengih bila saya mengucapkan kata-kata itu, kemudian beria-ia pula dia bercerita tentang kawannya yang juga pandai berekplorasi.

Ah! Ini sungguh mudah. Daripada abah yang sebelum ini akan mengamuk tak tentu hala, kali ini saya dapat berfikir dengan waras untuk berhadapan dengan situasi yang sebegini. Hebat! Teknik nabi ini bukan saja mendorong yang dipuji, pengamal juga sentiasa akan dapat mengingatkan diri sendiri.

Sudah boleh dicipta kata-kata slogan yang baru, "Masalah Kapten Haris ditangani, masalah abah diatasi!"

Hi hi hi!

Tip Memuji #1 : Serta merta

Apabila memuji, lakukan serta merta. Jangan ditangguh-tangguh. Di kala perbuatan itu masih segar, dan ada pula saksi di sekeliling, itu lah waktu yang terbaik untuk melafazkan pujian.


  • Orang yang dipuji akan berasa seronok/gembira. Siapa yang tidak suka dipuji? :)
  • Self-esteem orang yang dipuji akan melonjak naik, kerana perbuatannya dipuji di khalayak ramai.
  • Orang yang mendengar akan ada rasa cemburu. Sekiranya diambil secara positif (kanak-kanak selalunya berfikiran positif), akan timbul rasa ingin membuat yang lebih baik.



16 January 2013

Doktor Nur Hanim basuh pinggan. Semuanya!

Tidak ada yang lebih menggembirakan bilamana melihat sesuatu usaha membuahkan hasil. Seperti tajuk entri kali ini, itu lah yang membuatkan saya tersenyum meleret malam ini. Saya dikhabarkan oleh isteri tersayang, Doktor Nur Hanim tanpa disuruh, malah menawarkan diri untuk melakukan kerja dapur, membasuh pinggan. Semua pinggan makan malam yang digunakan abang dan adiknya dibasuh.

Subhanallah.

Saya tanyakan kepada isteri, apa yang umminya ucapkan. Kata isteri saya, hanya Alhamdulillah dan terima kasih. Saya senyum lagi. Saya cadangkan kepada isteri cara memuji mengikut teknik nabi.

Sebutkan KEBAIKAN dan nyatakan IMPAK.

Contohnya, "Terima kasih kakak. Bagus sungguh kakak tolong ummi basuh pinggan (kebaikan), senang ummi nak buat kerja yang lain (impak)".

Insya-allah. Semoga teknik ini terus menjadi amalan kami sekeluarga.

Teknik Menaikkan Self-Esteem

Semalam, saya masih meneruskan aplikasi teknik nabi kepada anak-anak seperti biasa. Impaknya? Tak pernah mengecewakan. Ini adalah gambar permata hati kami yang berkumpul menyiapkan kerja sekolah dan membuat latihan selepas diberi pujian tentang kesungguhan mereka menuntut ilmu.

Dari kiri; Ustazah Nur Hanis, Kapten Muhd Haris dan Doktor Nur Hanim

Satu pengajaran yang saya perolehi dalam memberi pujian (secara betul) ini ialah, pujian berdasarkan teknik nabi menjadikan kita menjadi lebih ikhlas dalam mengucapkan kata-kata. Sememangnya begitu, kerana kita perlu menyebut secara jelas perbuatan baik orang yang kita puji. Kebiasaannya, kita memuji secara am. Kata-kata "cantiknya", "pandainya", "bijaknya" yang terhenti disitu, tidak memberi apa-apa makna jika tidak disertakan dengan perkara yang dipuji. Sebaliknya jika disebut mengikut teknik nabi, seperti "Cantiknya tulisan Nur Hanim. Senang abah membacanya", kita yang memuji tahu apa yang mahu dipuji, dan ini menjadikan kita lebih ikhlas dan terarah bila memberi pujian. Dan orang yang dipuji, serta orang sekeliling yang mendengar apa yang dipuji, akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Malahan, ada yang berusaha untuk menjadi lebih baik.

Ini hanya lah pendapat peribadi saya. Mungkin ada yang tidak bersetuju. Saya alu-alukan perbincangan untuk penambahbaikan pemahaman saya ini.

Kisah yang sebenarnya saya mahu kongsikan hari ini berkaitan dengan teknik menaikkan self-esteem. Ini penting untuk membantu membina daya keyakinan. Antara cara yang dicadangkan ialah memberikan jawatan. Seperti yang disaran dalam bengkel tempoh hari, guru-guru boleh melantik anak-anak muridnya menjadi guru pembantu. Tugasnya terpulang kepada kreativiti masing-masing. Seperti contoh yang diberi, lantik lah seorang yang lebih berkebolehan dalam hafazan dan berikan kepada guru pembantu ini beberapa murid untuk diselia. Guru pembantu hafazan ini akan memastikan "anak-anak muridnya" dapat menghafaz surah seperti yang telah diarahkan guru. Kesannya? Guru kecil ditanamkan semangat untuk membantu, anak-anak murid lebih selesa untuk membaca hafazan dan guru kelas dipermudahkan kerja. :)

Tetapi, bagaimana pula saya mahu mengaplikasikan teknik ini dengan "anak-anak murid" saya yang hanya seramai tiga orang itu?

Saya ciptakan jawatan yang berikut;
  1. Ketua Penjaga Opet & Oyen
    Bunyinya kelakar, tapi itu lah sebenarnya. Opet & Oyen merupakan dua ekor kucing peliharaan kami semenjak tahun 2011. Tugasnya mudah, hanya perlu memastikan dua ekor kucing ini sudah dikeluarkan dari rumah sebelum kami semua meninggalkan rumah untuk bekerja/sekolah atau sebelum waktu tidur. Tugas ini diterima oleh Ustazah Nur Hanis.
  2. Ketua Penjaga Solat
    Tugas jawatan ini untuk memastikan ahli keluarga kami menunaikan solat pada awal waktu. Doktor Nur Hanim secara sukarela menerima jawatan ini, lebih lebih lagi saya katakan kepadanya abah dan ummi turut dalam tanggungjawabnya. "Abah! Solat cepat!", seloroh kakak Hanim serta-merta.
  3. Ketua Belajar
    Jawatan ini pula saya serahkan kepada Kapten Muhd Haris. Tugasnya untuk memastikan anak-anak menyiapkan kerja sekolah, menyusun buku dan juga hadir kelas mengaji Al-Quran. 


Selesai menjelaskan tugas masing-masing, tiba-tiba Kapten Muhd Haris mengangkat tangan. Tergelak kecil saya dibuatnya. Sudah seperti dalam suasana kelas pula.

"Abah. Boleh tak tambah satu lagi jawatan?"

Saya teruja. Nampaknya anak-anak ini melihat ini sebagai satu yang menyeronokkan.

"Jawatan apa, bang?"
"Jawatan Ketua Mengemas Bilik. Kerja dia kena bersihkan bilik setiap hari."

Wah! Ini sudah sangat bagus. Memang bilik anak-anak saya kalau tidak jenuh berleter, takkan berkemas. Sudah-sudahnya, umminya juga yang akan mengemas.

Saya terus bersetuju.

"Ok. Abang ada dua jawatan. Ketua Belajar dan Ketua Mengemas Bilik."

Anak-anak semuanya seronok. Sambil menyiapkan kerja sekolah, mereka mereka-reka dialog untuk mengarahkan "orang bawahan" mereka melakukan tugas. Saya hanya mendengar dan tertawa sendiri. Bila masing-masing sudah siap dengan kerja sekolah, saya berehat sebentar di ruang tamu. Kakak Hanim sudah menjalankan tugas, mengingatkan abahnya untuk solat Isyak. Ustazah Nur Hanis pula sudah mengomel kerana Oyen cuba melarikan diri bila mahu dihantar keluar. Dan Kapten Haris?

Tidak ada barang-barang (terutamanya mainan) yang bersepah atas meja ini


Saya kagum. Amat kagum. Jarang benar saya melihat anak bujang saya ini mengemas bilik dengan begitu bersih sekali. Jawatan yang ditawarkannya sendiri benar-benar mahu dilakukan. Saya betul-betul gembira. Saya sertakan dengan pujian kepada anak sulung ini.

"Subhanallah. Bersihnya. Pandai betul abang kemaskan bilik abang. Mesti abang jadi lebih selesa bila nak buat kerja dalam bilik sendiri. Allah sukakan orang yang pembersih."

Malam itu, saya tidur dengan hati yang berbunga-bunga.

15 January 2013

Puji, puji dan puji. Impaknya bagai tsunami!

Subhanallah.

Betapa hebatnya impak Teknik Nabi ini. Sungguh saya tidak menyangka begitu sekali kesannya apabila mengaplikasikan teknik yang dipelopori oleh Rasul junjungan.

Pagi ini saya mengaplikasikan teknik ini seawal mungkin, ketika anak-anak masih lagi di bilik tidur. Abang Muhd Haris sudah awal-awal lagi bangun dikejutkan umminya. Maklumlah sudah darjah 4, jadi perlu segera untuk bersiap kerana abang Muhd Haris akan dihantar ke sekolah oleh umminya sendiri sebelum ke tempat kerja. Tinggallah anak-anak perempuan untuk diuruskan abahnya.

Apabila saya masuk ke bilik mereka, kakak Nur Hanim masih tidur. Adik Nur Hanis pula sedang baring sambil mata terkebil-kebil selepas minum susu botol. Saya sudah mengatur ayat-ayat pujian untuk si kecil, kerana dia sudah pun sedar dari tidur.

"Assalamualaikum. Selamat pagi.", saya mulakan dengan salam dan membuka lampu utama. Terus saya rapatkan diri dengan anak bongsu. Saya peluk dan cium pipi gebunya.

"Alhamdulillah. Anak abah yang seorang ni mudah betul bangun pagi. Senang abah dengan ummi nak buat kerja. Allah memang sayangkan adik sebab menyenangkan urusan abah dan ummi. Jom kita mandi. Siap-siap nak ke sekolah."

Adik Nur Hanis terus bangun. Tanpa ada dalih-dalih lagi nak melewat-lewatkan mandi. Mudahnya!

Saya bergerak pula ke katil kakak Nur Hanim. Saya usap-usap rambut kakak yang kerinting. Mata kakak masih terpejam.

"Doktor Hanim. Jom bangun, siap nak ke sekolah."

Kakak Nur Hanim masih berat mahu membuka mata. Saya teruskan dengan teknik memberi pujian.

"Kakak Nur Hanim ni seorang yang rajin menuntut ilmu. Allah suka kepada orang yang rajin belajar. Abah dan ummi pun hati senang tengok kakak rajin nak ke sekolah. Jom bangun, kita mandi. Kita tak nak terlambat ke sekolah."

Kakak Nur Hanim juga bangun. Mudah. Sungguh mudah. Saya tidak perlu marah-marah atau menaikkan suara untuk membangunkan mereka. Sebelum ini, skrip saya membangunkan anak-anak sangat tidak teknik-nabi-compliance. Biasanya dialog-dialog saya,

"Assalamualaikum. Bangun-bangun. Pergi mandi lekas. Kakak, adik. Bangun!"
atau bila sudah terlambat,
"Ya Allah ya tuhanku. Tidur lagi? Kakak, adik. Bangun cepat! Abah dah lambat dah ni. Lekas lekas lekas!"

Saya menggunakan ayat perintah semata-mata! Masya-allah. Kesian bila difikirkan. Saya ibarat memberi arahan kepada pasukan tentera. :( Sungguh teknik nabi ini sedikit sebanyak sudah mula menyedarkan diri saya sendiri. Membantu saya untuk menilai balik kelakuan dan sikap.

Di bilik air, kakak dan adik sedang mandi. Pesanan USK dalam bengkel tempoh hari, pujian harus diberikan SEBELUM, SEMASA dan SESUDAH setiap perbuatan/kelakuan/aktiviti. Jadi saya teruskan dengan pujian. Saya berdiri di pintu bilik air sambil tersenyum.

"Bagus lah kakak dan adik ni. Pandai uruskan diri sendiri. Mandi pun dah boleh sendiri. Abah dan ummi boleh buat kerja lain dulu sementara tunggu adik dan kakak mandi. Kita semua dapat jimatkan masa"

Benar. Ada ketika saya atau isteri terpaksa masuk ke bilik air untuk memandikan anak-anak disebabkan mereka suka main-main dalam bilir air, tanpa mengira waktu. Malahan, ada waktunya juga mereka bergaduh dalam bilik air. Jadi, pagi ini saya limpahkan dengan pujian semata-mata. Alhamdulillah. Kakak dan adik selesai mandi tanpa ada adegan-adegan yang tak diingini. :)

Selesai mandi, saya seperti biasa menunggu di tepi katil mahu membantu mereka bersiap. Adik dan kakak terus pakai baju sendiri. Semasa adik Nur Hanis terkial-kial mahu zip kan baju (di belakang), kakak Nur Hanim membantu tanpa disuruh! Allahuakhbar. Saya teruskan dengan pujian masa itu juga.

"Masya-allah. Kakak Hanim ni memang baik hati. Abah suka tengok kakak tolong zip dan butangkan baju adik. Macam itu lah kita adik-beradik. Mesti tolong-menolong. Bila kita bantu sesiapa pun, Allah akan berikan kita pahala."

Seingat saya, itu lah pujian saya yang terakhir sebelum anak-anak turun ke tingkat bawah untuk sarapan. Saya sudah cukup gembira melihat hasil dari aplikasi teknik nabi dari bangun tidur sehingga selesai bersiap. Rupanya masih belum berhenti. Kesannya masih berpanjangan dan berterusan.

  • Ustazah Nur Hanis, membantu mengutip penyangkut baju yang bersepah di lantai. Tanpa disuruh.
  • Kerusi meja solek yang beratnya hampir suku berat Ustazah Nur Hanis, diangkatnya untuk disusun elok-elok di tempat yang betul. Tanpa disuruh.
  • Botol air masak untuk bekalan ke sekolah diambil dari atas meja, di masukkan ke dalam beg adik dan kakak. Tanpa disuruh. Oleh Ustazah Nur Hanis juga.
  • Doktor Nur Hanim mencuci sendiri mangkuk dan cawan yang digunakan untuk bersarapan, tanpa disuruh. Begitu juga adiknya Nur Hanis.
  • Doktor Nur Hanim sudah siap semuanya sebelum jam 7.15 pagi, iaitu waktu kami mahu bertolak keluar dari rumah. Kebiasaanya akan terdengar suara saya yang membebel menyuruh kakak Nur Hanim bersiap pakai tudung, mengangkat beg ke kereta, pakai kasut.

Saya cukup gembira. Inilah yang saya katakan. Teknik yang saya pelajari dan cuba aplikasikan ini, memberikan saya hasil bertimpa-timpa, ibarat gelombang tsunami. Sudah tentu, kelakuan-kelakuan anak-anak saya di atas, saya hadiahkan dengan pujian dan doa. Hati saya cukup gembira. Dan rupanya masih juga belum berakhir.

Di ruang tamu sebelum keluar dari rumah, Ustazah Nur Hanis tiba-tiba bertanya kepada saya.

"Abah tau tak siapa kemaskan remote tv tu?"
"Nur Hanis ke?"
"Ha ah! Yang bunga tu? Abah tau tak siapa yang luruskan (susunkan)?
"Adik?"
"Ha ah!"

Nur Hanis sudah tersenyum simpul. Rupanya semasa saya ke dapur tadi, diam-diam Ustazah Nur Hanis mengemas ruang tamu. Pada saat ini, saya sudah mula rasa sebak. Begitu sekali kesannya. Saya hanya terdiam, bagai kehilangan kata-kata. Saya peluk dan cium anak comel itu kiri dan kanan. Yang mampu saya ucapkan waktu itu, hanya lah "terima kasih".

Teknik ini benar-benar berkesan. Saya tidak ragu lagi.

Dan kami pun ke sekolah dengan hati yang gembira. Sambil memandu, kami bersama-sama menghafal doa masuk tandas. :)

14 January 2013

Teknik Memberi Pujian : Kapur kasut

Malam tadi adalah yang pertama kali saya mengaplikasikan Teknik Psikologi Hadis (TPH) kepada anak-anak.  Kalau diikutkan, bukan lah yang betul-betul pertama kali. Saya pernah mencubanya beberapa kali sebelum ini. Cuma saya tidak pasti teknik yang saya gunakan itu betul atau tidak. Dan tidak pasti juga impak yang terhasil betul atau tidak.

Ianya menjadi yang pertama, disebabkan saya mengaplikasikannya selepas menghadiri bengkel. Ibaratnya, kehadiran saya ke bengkel itu untuk mendapatkan "lesen". Dan malam tadi saya menjadi yakin untuk mengaplikasikannya. :)

Situasinya begini. Anak saya yang kedua, Kakak Nur Hanim, mengapur kasut sekolahnya. Sudah jam 8 malam. Kebiasannya, saya akan membebel kerana kasut dikapur pada malam hari persekolahan. Atau sekurang-kurangnya, sedikit "nasihat tak diundang" akan diberi. Anak yang pertama, Abang Muhd Haris dan yang bongsu, Adik Nur Hanis masih lagi di meja makan.

Berpandukan Hadis Zikir Kuat*, saya memberikan pujian kepada Kakak Nur Hanim serta merta. Suara saya agak ditinggikan (bukan nada marah, hanya mahukan kata-kata saya didengari oleh 2 orang anak saya yang lain).

"Alhamdulillah. Abah seronok tengok kakak kapur kasut sendiri. Kakak membantu abah dan ummi mengurangkan kerja rumah. Allah sayangkan anak-anak yang rajin membantu ibu bapa. Nabi Muhammad pun suka. Kakak juga dapat pahala."

Kakak Nur Hanim tersenyum. Tersipu-sipu bila dipuji. Saya terus ke ruang makan dan tiba-tiba..

"Abah. Hanis (si bongsu) dah sudah makan. Mangkuk yang dua ni biar Hanis basuh"

Saya terkejut. Tanpa disuruh, si bongsu tiba-tiba menawarkan diri untuk membasuh mangkuk makannya sendiri. Wah! Kalau ikut norma harian, kadang-kadang sesudah makan pinggan dan cawan anak kecil ini dibiarkan sahaja di atas meja. Ummi atau abahnya yang akan mengemas sambil membebel!

Saya mengekori Nur Hanis ke dapur. Pujian harus diberikan serta merta.

"Wah! Anak abah ni rajin lah. Abah suka tengok adik rajin. Adik tolong ummi basuh pinggan. Dapat pahala banyak tau."

Saya yakin hati Nur Hanis berbunga-bunga. Sambil membasuh mangkuk 2 biji nya itu, Nur Hanis sempat mengomel membebel tangannya tak sampai ke sinki.

Comel betul anak abah yang seorang ni! :)




*Hadis Zikir Kuat merujuk kepada hadis di bawah (mengikut kata USK, hadis boleh "dinamakan" mengikut kesesuaian. Antara tujuannya adalah untuk memudahkan proses mengingat. Minta dibetulkan kalau salah.)

Sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid.

Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, walhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila".

Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad (saw) bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?"

Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah."

Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."

Dalam laporannya, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu."




Langkah permulaan

Semakin hari semakin seronok membaca kisah-kisah aplikasi Teknik Nabi yang dikongsikan di blog, di facebook.

Allahuakhbar.

Kesan-kesan yang sangat hebat. Dan saya tidak mahu bertangguh lagi. Bila sudah terpempang iklan bengkel teknik nabi ini, tanpa tangguh-tangguh saya terus mendaftar.

Saya mahu dapatkan pemahaman yang lebih jelas.

Saya mahu dapatkan ilmu cara mengaplikasikan yang betul.

Dan yang paling penting, saya mahu mengambil kesempatan memperbaiki kelemahan diri sendiri.



Alhamdulillah. Allah beri peluang kepada saya untuk hadir ke bengkel ini. Walaupun hanya setengah hari, sangat bermenafaat.

Insya-allah.

Bagaimana saya kenal "Teknik Nabi" ini?

Semuanya bermula di blog.

Saya mengikuti blog Ustazah Siti Khadijah (USK) bermula di pertengahan tahun 2012. Kurang pasti pula siapa yang kongsikan blog beliau di Facebook. Kali pertama membaca, saya terus menjadi seronok. Semenjak hari itu, saya menjadi pembaca tetap blog USK.

Kenapa?

Pertama, saya mendapati ada kelainan dalam blog yang dikendalikan oleh guru ini. Beliau tidak jemu menceritakan (untuk tujuan berkongsi) tentang usaha-usaha yang dilaksanakan untuk menjalankan tanggungjawab pendidik. Saya kagum kerana beliau menjadikan kerjaya guru itu kelihatan sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Dan kesan kesungguhan beliau dapat dilihat dengan perubahan positif anak-anak muridnya. Subhanallah. Saya yakin ada guru yang lebih berdedikasi di luar sana, tetapi buat masa ini hanya blog USK (kemudiannya blog Cikgu Kharulaniza) yang saya ikuti.

Kedua, kisah murid kelas 5 Ali serta merta dapat mengaitkan saya dengan anak-anak. Saya bukan seorang guru sebagai profesion, tapi mahu atau tidak saya adalah "guru" kepada anak-anak saya. Saya ada 3 orang anak, dua sudah bersekolah dan seorang lagi masih di tadika. Pencapaian akademik anak saya yang sulung agak biasa-biasa, tidak terlalu bagus tetapi tidak pula membimbangkan. Cuma sebagai ibu bapa, tekanan kehendak sosial masa kini sedikit sebanyak menimbulkan rasa kecewa terhadap pencapaian anak yang sulung ini. Jumlah "A" dalam keputusan peperiksaan dan juga kedudukan kelas yang mana sering menjadi kayu ukur kejayaan.Tambahan lagi anak sulung ini lelaki. Jadi, sebagai bakal ketua keluarga, saya mahu dia lebih cemerlang. Anak yang kedua dan ketiga, sejak dari awal sudah menunjukkan pencapaian yang baik. Namun, itu bukan alasan untuk saya mengabaikan mereka. Sehingga waktu itu, saya masih mengangap murid corot itu adalah murid yang tidak cemerlang akademik. Dan saya tidak mahu anak saya digolongkan dalam golongan ini.

Ketiga, Teknik Nabi itu sendiri. Saya banyak membaca cara-cara memotivasikan anak (dan sudah tentu untuk diri sendiri juga). Tapi saya muak dengan saranan yang bersifat teori semata-mata. Menggunakan teori sahaja bagi saya tidak tentu hasilnya. Saya mungkin bersifat "mahu makan bersuap", yakni ditunjukkan langkah-langkah yang perlu dibuat. Saya mahukan contoh yang kemudiannya saya boleh tiru dan praktikkan. Ibarat terma "copy and paste". Dan ini yang saya temui di blog guru-guru hebat ini. Alhamdulillah.

Jadi, atas sebab-sebab ini saya tertarik pada kisah-kisah yang dikongsikan. Saya juga yakin mampu untuk mengaplikasikan teknik ini kepada anak-anak. Mudah, dan keberkesannya sudah ada bukti. Cuma kesungguhan itu masih lagi tidak ada.

Insya-allah.

13 January 2013

Pengenalan

Assalamualaikum wbt.

Blog ini saya khususkan untuk merekodkan apa yang saya pelajari dan bagaimana saya mengaplikasikan teknik yang diperkenalkan oleh Tim Psikologi Hadis.

Insya-allah.

Semoga usaha saya diberkati Allah, dan rahmat yang melimpah ruah untuk setiap individu yang mengkaji dan menyebarkan penggunaan teknik ini.