29 May 2013

Baca buku

Pagi tadi Ustazah Nur Hanis bersiap-siap untuk ke Kem Anak Soleh anjuran tadikanya. Hari ini sudah masuk hari kedua/terakhir. Agenda hari ini mahu ke Masjid Besi di Putrajaya. Saya turut terkocoh-kocoh membantu meyediakan apa yang patut.

Dalam saya menyiapkan Ustazah Nur Hanis, ada sedikit getusan rasa yang terbuku di hati. Risau. Semuanya berkisar tentang penyertaan Ustazah Nur Hanis ke dalam program anjuran sekolahnya ini. Seorang diri, tanpa diteman kakak, abang atau kami sebagai ibu bapa. Ustazah Nur Hanis baru berumur 6 tahun. Mahu ke Putrajaya pula!

Saya sendiri hanya mula "berjauhan" dengan ibu bapa ketika berusia 12 tahun. Itu pun hanya ke Tasik Perdana. Itupun tak sampai sehari.

Disebabkan Ustazah Nur Hanis ini anak yang paling bongsu (setakat ini),  manjanya agak terlebih. Jadi sedikit sebanyak (banyak sebenarnya), saya sudah tentu risau akan keadaan anak comel kami ini. Tetapi Ustazah Nur Hanis tak pernah menunjukkan wajah bimbang, takut atau tidak yakin untuk berseorang diri. Dia tenang, malah teruja untuk menyertai Kem Anak Soleh ini.

Barangkali.

Barangkali, abah Nur Hanis yang terlebih manja.

Eheh!

Sesudah selesai bersiap, saya menghidupkan enjin kereta. Sayup-sayup saya terdengar Ustazah Nur Hanis berceloteh dengan "ibu"nya (ipar saya, merangkap pengasuhnya ketika kami bekerja) di sebelah rumah. Saya hanya menunggu di dalam kereta sehingga lah si pipi tembam saya itu terkedek-kedek berlari masuk ke dalam kereta.

"Adik buat apa kat rumah ibu?" 
"Hanis pergi mintak buku Hanis. Semalam kakak Atin (sepupunya) pinjam" 
"Buku apa?" 
"Buku cerita (saya lupa tajuknya). Hanis nak bawak pergi Kem Anak Soleh" 
"Nak buat apa? Sempatke adik nak baca?" 
"Hanis nak baca dalam bas. Teacher cakap nanti naik bas lama. Hanis nak bawak buku, nanti boleh la baca. Kalau tak nanti Hanis bosan."

Wah!

Saya teruja! Ustazah Nur Hanis mahu membawa buku untuk dibaca di atas bas. Atas kemahuannya sendiri.

Wah! Wah!

Kebelakangan ini kalau ke mana-mana, memang saya ada cadangkan kepada anak-anak untuk membawa buku untuk dibaca. Cuma untuk program ini, tidak pula saya sarankan kepada Ustazah Nur Hanis sedemikan. Bagi saya, aktiviti program tersebut sudah pasti penuh dan bermacam-macam.

"Alhamdulillah. Bagus betul lah anak abah yang sorang ni. Dia nak bawak buku untuk baca kat atas bas, bagus betul (puji kebaikan). Tak membuang masa. Nanti adik tak bosan dan dapat banyak ilmu (nyatakan impak)".

Ustazah Nur Hanis hanya mengiakan dan bermuka selamba. Saya tahu dia suka dipuji dari riak senyumnya.

Saya?

Saya tersenyum kembang kempis hidung memikirkan keberanian, keazaman dan kemahuan anak comel kami ini.

Pipi Ustazah Nur Hanis yang gebu itu saya picit. Dan kemudian, kami bergaduh lagi.

Hehehehe!


Bersama guru tadika dan kawan-kawan

Bertelekung merah jambu, warna kesukaan

Di Masjid Besi, Putrajaya



2 comments:

依之汉 said...

Saya tercari-cari juga siapalah tuan Sharulnizam. Akhirnya ketemuan juga. Blog yang juga selalu saya lawati sebagai pembaca senyap.

Banyak input baru saya dapat kala melawat blog tuan. Terutama teknik pujian yang tuan amalkan.

Bahasa Melayu saya tidaklah tinggi. Hanya ingin memenuhi permintaan Atuk Google. =)

Sharulnizam Mohamed Yusof said...

Terima kasih Tuan Wong. Entri saya entri orang baru belajar. Kalau tak dicatat, saya mungkin lupa. Alhamdulillah sekiranya bermanfaat. Tapi sekiranya ada kekurangan dan kesalahan, mohon ditegur juga.