10 March 2013

Selamat ulang tahun ke 10, Kapten Haris!

10 tahun. 1 dekad. Usia anak sulung ini semakin bertambah. Usia kanak-kanaknya semakin sampai ke penghujung. Tanpa disedari, akan tiba ke usia remaja.

Ada rasa sayu di hati. Ada rasa "takut" yang terbit. Risau. Adakah kebiasaan yang saya lihat di sekeliling akan turut terjadi kepada kami? Anak lelaki dan bapa akan mula merenggang hubungan bila semakin menginjak dewasa. Saya tidak mahu itu terjadi. Saya sentiasa mahu hubungan kami seperti sekarang. Mahu bergurau, mahu berlawan silat (yang langkahnya sumbang tak terperi), mahu berbasikal ke kedai mamak, mahu meredah hutan untuk menikmati keindahan air terjun di penghujung jalan. Bersama-sama.

Saya tahu saya berlebih-lebih melayan rasa. Membayang perkara yang tidak tentu hujung pangkal. Walhal, Kapten Muhammad Haris saya baik-baik sahaja.

"Ya Allah. Ampunkan lah dosa-dosa anakanda Muhammad Haris. Kau limpahkan kepadanya nur dan hidayah, agar dia kekal menjadi hambaMu yang soleh di dunia dan akhirat. Terangkan hatinya, permudahkan fahamannya dalam menjalankan segala titahMu Ya Allah. Agar dia menjadi hambaMu yang taat, anak yang soleh, abang yang pengasih, pelajar yang cemerlang dan insan yang sentiasa mencari keredhaanMu."

Selamat ulang tahun ke-10, abang Haris.

2 comments:

Anonymous said...

Sannah Hilwa ya muridku Haris..
Happy Birthday Haris...

Sharulnizam Mohamed Yusof said...

Terima kasih tuan Mohd Haidhir. Tersipu-sipu Mohd Haris bila saya tunjukkan komen tuan. Beruntung anak saya mendapat tuan sebagai guru. Mohon jasa baik tuan untuk terus mendorong anak saya ini.

Barakallahu fik.