Hari itu, saya pulang agak lewat. Terkejar-kejar waktu, saya menumpang solat di bilik Doktor Nur Hanim. Selesai solat saya terpandang di atas katil, ada telekung yang tak bergantung. Juga, ada seluar yang sudah dipakai, tetapi diletak begitu sahaja.
Ah! Ini boleh mendatangkan marah!
 |
Telekung dan seluar bersepah di atas katil |
Saya tahu empunya telekung itu. Milik Ustazah Nur Hanis!
Kalau mengikut kebiasaan sebelum ini, akan terdengarlah abahnya terpekik terlolong;
"Ni siapa yang tak kemas telekung ni?"
"Dah berapa kali dah abah cakap, apa pasal yang tak dengar-dengar jugak ni?"
"Bilik bersepah macam ni, siapa nak duduk?"
"Cepat kemas bilik ni! Kalau tak, tau la nanti!"
Siasat. Marah. Bebel. Ugut. Ugut.
Aduh! Betapa corotnya sikap saya. Menjadi kebiasaan, saya hanya nampak kesalahan, tidak langsung nampak kebaikan yang dilakukan.
Untung lah ada Teknik Nabi yang diperkenalkan. Jadi saya tahu saya boleh membuat pendekatan yang berbeza. Telekung itu bersepah, memang kesalahan. Tetapi yang lebih penting, saya tahu Ustazah Nur Hanis sudah menunaikan solat. Telekung bersepah ini pula bukan lah kebiasaannya. Anak comel saya ini selalunya akan terus mengemas telekung sesudah solat. Tidak tahu pula kenapa hari itu Ustazah Nur Hanis "lalai" dalam menjalankan tugasnya.
Kenapa dan mengapa, saya tidak perlu tahu. Sudah terjadi, tidak perlu diungkit-ungkit lagi. Tutup sahaja mata pada kesalahan yang tidak berdosa itu. Apa yang perlu, terangkan apa yang betul.
Lalu saya segera memanggil Nur Hanis. Nur Hanis saya yang cantik manis datang ke bilik dengan senyum simpul.
"Meh sini. Abah nak sayang sikit"
Nur Hanis saya peluk. Pipi mongelnya menjadi mangsa. Dan pada saat itu juga saya katakan;
"Nur Hanis dah solat dah ke?"
"Dah"
"Alhamdulillah. Bagus betul anak abah yang sorang ni, dia solat tak payah nak suruh pun. Banyak pahala adik dapat. Senang hati abah."
Senyum Nur Hanis meleret-leret.
"Adik nak dapat pahala lagi tak?"
"Nak!"
"Bagus. Kalau adik kemaskan telekung adik lepas solat, bilik akan jadi lebih bersih. Nanti adik dapat pahala sebab adik kemaskan bilik."
Nur Hanis bingkas bangun dari pelukan saya. Terus menggantung telekungnya. :)
Selesai sahaja Ustazah Nur Hanis menggantung telekung, saya teruskan dengan pujian.
"Haa! Kan elok macam itu, bilik dah jadi kemas. Rajin betul anak abah ni, dah la solat, lepas tu kemas pulak telekung dia"
"Yang seluar tu, kakak Hanim punya kan? Adik pergi panggil kakak, suruh kakak kemaskan."
"Takpe bah. Biar Hanis je yang kemaskan"
 |
Nur Hanis melipat seluar kakak dengan rela |
Subhanallah. Bukan setakat melipat seluar kakaknya, bahkan meja tulis kakak juga turut dikemas. Tanpa saya suruh. Baju-baju yang tergantung juga disusunnya rapi. Saya hanya memerhati dengan senyuman. Kesudahannya, bilik kakak Nur Hanim tersusun kemas dikerjakan Ustazah Nur Hanis. Sudah tentu, sudah ada skrip pujian yang tersedia (puji sebelum, semasa dan selepas) untuk buah hati kami ini.
:)