20 June 2014

Peti Sejuk

Sharul Iman Darwisy
Ini anak saudara saya. Anak sulung adik saya yang bongsu. Baru berumur 5 tahun. Antara anak buah saya yang berbelas-belas, Iman agak rapat dengan saya. Jumpa hanya sekali-sekala, kerana Iman dan keluarga menetap jauh di utara.

Semalam, Iman balik ke rumah neneknya (emak saya). Dan seperti biasa, Iman mahu ke rumah pakcik makciknya (rumah kami adik-beradik) yang berhampiran untuk bermain dengan sepupu-sepupunya yang ramai.

Seronoknya Iman. Main dengan kakak, main dengan abang. Dan Iman sememangnya menjadi tumpuan untuk disakat kerana badannya yang agak berisi dan suaranya yang halus nyaring. Ditambah lagi dengan mulutnya yang petah bercakap. Anak comel dan bijak. Pak Tamnya juga suka mengusik. Eheheh!

Sudah puas bermain, Iman kehausan. Iman ke dapur rumah saya untuk minum. Saya yang kebetulan di dapur, memerhatikan Iman. Dikuaknya pintu peti sejuk, kemudian dihempaskan (agak kuat) apabila didapatinya tiada air di dalam peti sejuk.

Pintu peti sejuk dihempas, memang secara lumrahnya mengundang rasa geram dan marah. Saya percaya bukan saya sahaja yang pernah membebel dengan perilaku anak-anak sebegini. Rasa-rasanya kebanyakkan ibubapa di sekeliling kita pun pernah mengalami situasi sebegini. Bukan?

Saya tidak marahkan Iman. Saya tidak katakan;

"Rosaklah peti ais tu!!"
"Kenapa Iman hempas pintu tu?!"
"Tak boleh ke tutup perlahan-lahan, hah?!"

Satu ketika dahulu, mungkin itulah ayat-ayat yang bakal terlontar. Mujur saya masih ingat dengan teknik mendorong. Tidak perlu marah-marah, terangkankan sahaja cara yang betul.

"Iman, kalau Iman nak tutup pintu peti ais tu, Iman tutup lah perlahan-lahan, ye. Iman tutup kuat-kuat nanti rosak pintu tu."

Itu sahaja. Terangkan sahaja cara yang betul. Saya tambahkan sedikit akibatnya (sudah ingat-ingat lupa cara menerangkan ini).

Iman mendengar dan hanya mengangguk. Dan saya minta Ustazah Nur Hanis ambilkan air suam untuk si montel comel ini.

:)



No comments: