Showing posts with label teknik memuji. Show all posts
Showing posts with label teknik memuji. Show all posts

02 September 2013

Derma

Hari raya sudah lama berlalu, walaupun Syawal masih berbaki beberapa hari. Kuih-muih pun sudah habis, kebanyakkan yang tersisa hanya serdak yang sesekali tetap dikorek mengisi perut di kala bersantai bersama keluarga.

Tuan rumah juga lah yang menghabiskan kuih, mana lah badan tak menggebu. Aduhai!

Duit raya anak-anak juga sudah dikumpul. Polisi kami tidak kira siapa yang dapat banyak, tak kira siapa yang dapat sedikit. Bila sampai masanya, semua duit raya yang diperoleh akan dikumpul sekali. Tidak ada yang tertinggal. Jumlahnya akan dibahagi tiga.

Alhamdulillah. Banyak juga "hasil" tahun ini. Tetapi Ustazah Nur Hanis sudah awal-awal lagi memberi amaran.

"Abah jangan pakai duit raya kami semua beli minyak kereta tau! Duit ni semua simpan dalam bank".

Hahahahah!

*********

Tahun ini saya bercadang untuk membuat perbezaan. Melihat anak-anak yang seronok mengira duit raya, saya tiba-tiba tersedar bahawa saya kurang menanamkan semangat untuk berkongsi, atau dalam erti kata yang lain, menderma atau sedekah. Ada juga, tetapi tidak tercapai objektif menderma itu sendiri. Misalnya, jika saya ke masjid dengan si sulung, selalunya saya berikan duit saya sendiri untuk Kapten Haris masukkan ke tabung. Itu juga derma, tetapi daripada saya dan bukannya datang daripada anak saya sendiri.

Lanjutan dari semangat Ramadhan yang baru berlalu, saya terfikir untuk mengekalkan momentum yang masih bersisa. Hanya dua malam yang sudah baru dapat saya cadangkan kepada anak-anak. Kebetulan Ustazah Nur Hanis menunjukkan kepada saya tabung merah jambunnya yang khusus untuk duit syiling.

"Anak-anak. Nak tak kalau kita buat satu tabung derma?" 
"Tabung derma? Untuk apa?", soal Doktor Hanim 
"Tabung derma ni untuk sesiapa je masukkan duit. Nanti bila dah penuh, kita boleh dermakan dekat masjid, anak-anak yatim. Orang Palestine pun boleh, orang Syria..." 
"Orang Mesir!", sampuk abang Haris. 
"Betul! Orang Mesir" 
"Nak buat apa bagi duit kat orang Palestine?", si kecil mahukan penjelasan. 
"Macam-macam. Kita boleh bantu orang-orang Islam kat sana untuk belajar, beli makanan. Kesian dorang kena serang hari-hari. Kita kat sini ada duit, boleh la tolong sikit-sikit"

Alhamdulillah. Cadangan dan penerangan yang pendek sahaja. Semua faham dan bersetuju.

Sekonyong-konyong itu juga Ustazah Nur Hanis membuat label untuk dilekatkan pada tabung.

Tabung Derma "Kaler Pink", bekas jam tangan RM 10 yang dikitarsemula.


Dan malam tadi, sudah ada duit kertas di dalam Tabung Derma "Kaler Pink". Semangat sungguh anak-anak saya untuk menderma, siapa sangka. Aduh! Lalainya saya.

"Abah, kakak bagi RM2.70. Hanis bagi RM5. Abang tu belum bagi lagi!"

Itu kemaskini status terkini daripada Ustazah Nur Hanis. Masyaallah. Si kecil kami yang sudah hilang gigi depan ini yang paling bersemangat. Dia lah yang menyiapkan tabung, dia juga lah yang penyumbang "terbesar" setakat ini. Abah, si pencadang utama, masih belum menyumbang.

Malu.

Selepas mengisi tabung dengan duit yang sempat saya kaut dari kocek seluar, saya teruskan dengan teknik memuji.

"Alhamdulillah. Bagus betul anak-anak abah ni, bagi derma duit sendiri (puji kebaikan). Setiap duit yang anak-anak derma, Allah akan catatkan 10 kali ganda kebaikan (impak)."  
"Abah, lepas bagi kat orang Palestine, kita bagi anak-anak yatim pulak ye?"

Saya bersetuju dan mengiakan sahaja kata-kata Ustazah Nur Hanis.

Senyum.




12 June 2013

Tragedi Buah Epal

Epal merah.

Kesukaan anak-anak kami. Sejak bila saya pun sudah lupa. Memang sudah menjadi kegemaran anak-anak sejak dulu lagi. Saya sendiri penggemar buah-buahan. Peti sejuk kami jarang tidak ada buah. Mangga, jambu batu, jambu air, limau, lai, pear, nangka, mata kucing dan macam-macam lagi mengikut musim.

Konon-kononnya, sebagai pengganti sayur-sayuran.

Ye lah. Abahnya pun hanya mula makan sayur-sayuran semenjak berumahtangga. Jadi, anak-anak entah dari mana tahunya "rahsia" ini, sudah mula mengikut jejak langkah saya. Tidak mahu makan sayur. Kalau terselit dalam gaulan nasi atau mee, akan dikuis mereka dan diletak ke tepi.

Ibarat Puspawangi mengasingkan barang-barang dalam bunjut Tun Nila Utama dalam filem Musang Berjanggut.

Dikuis satu persatu. Teliti.

Tapi, itu tidak mengapa. Tak makan sayur? Bukan masalah besar.

Mengikut formula Food Scientist Profesor Dato Sharulnizam aka Profesor Sayur Taugeh, sayur-sayuran boleh diganti dengan buah-buahan.

Ehehehe!

Jangan percaya akan formula itu, fiksi semata-mata.

Saya hanya menggunakan logik, buah-buahan dan sayur-sayuran itu kan berasal dari tumbuhan? :)


Kulit
Hari itu, hari cuti. Doktor Nur Hanim di ruang tamu menonton televisyen, sambil mengunyah buah epal yang baru dibeli ummi. Saya kemudiannya ke dapur mahu mengambil air minuman. Dan bila saya ke sinki, mata saya melihat pemandangan ini.

Kulit epal bersepah di sinki

Saya sudah tahu angkara siapa. Tidak perlu menuduh-nuduh lagi. Bukti sudah nyata. Kejadian sudah berlaku. Pesalah sudah diketahui. Lalu? Ya, masa untuk mengaplikasikan teknik nabi. :)

"Kakak... ooo.. kakak!" 
"Ya" 
"Meh sini jap"

Saya memanggil dari dapur. Ruang tamu hanya di sebelah. Doktor Nur Hanim datang sekonyong-konyong itu juga.

"Apa bah?" 
"Abah suka sangat bila kakak makan buah-buahan (puji kebaikan). Makanan yang berkhasiat. Insya-allah, kakak boleh dapat vitamin untuk badan kakak (impak)"

Saya teruskan saja kata-kata saya. Doktor Nur Hanim hanya mendengar. Terpinga-pinga juga.

"Cuma abah nak kakak bersihkan sinki ni boleh? Kakak sepahkan kulit ni kat sinki, nanti boleh tersumbat (terangkan kesalahan). Kakak bersihkan masukkan dalam tong sampah nanti takde lah tersumbat, sinki pun bersih"

Doktor Nur Hanim hanya tersengih. Sudah akur dengan kesalahannya.

"Ok abah. Tapi boleh tak kakak habiskan dulu epal ni? Dah habis nanti kakak bersihkan" 
"Boleh sayang. Dah habis makan nanti kakak bersihkan. Terima kasih kakak sebab tolong bersihkan (puji), kakak membantu abah dan ummi, abah suka sangat (impak)"

10 minit kemudian.

Sinki bersih. Doktor Nur Hanim boleh menonton tanpa bebelan abah. Dan abah boleh sambung main Candy Crush tanpa rasa sakit hati.

Opppsss!

Ehehehe!




29 May 2013

Baca buku

Pagi tadi Ustazah Nur Hanis bersiap-siap untuk ke Kem Anak Soleh anjuran tadikanya. Hari ini sudah masuk hari kedua/terakhir. Agenda hari ini mahu ke Masjid Besi di Putrajaya. Saya turut terkocoh-kocoh membantu meyediakan apa yang patut.

Dalam saya menyiapkan Ustazah Nur Hanis, ada sedikit getusan rasa yang terbuku di hati. Risau. Semuanya berkisar tentang penyertaan Ustazah Nur Hanis ke dalam program anjuran sekolahnya ini. Seorang diri, tanpa diteman kakak, abang atau kami sebagai ibu bapa. Ustazah Nur Hanis baru berumur 6 tahun. Mahu ke Putrajaya pula!

Saya sendiri hanya mula "berjauhan" dengan ibu bapa ketika berusia 12 tahun. Itu pun hanya ke Tasik Perdana. Itupun tak sampai sehari.

Disebabkan Ustazah Nur Hanis ini anak yang paling bongsu (setakat ini),  manjanya agak terlebih. Jadi sedikit sebanyak (banyak sebenarnya), saya sudah tentu risau akan keadaan anak comel kami ini. Tetapi Ustazah Nur Hanis tak pernah menunjukkan wajah bimbang, takut atau tidak yakin untuk berseorang diri. Dia tenang, malah teruja untuk menyertai Kem Anak Soleh ini.

Barangkali.

Barangkali, abah Nur Hanis yang terlebih manja.

Eheh!

Sesudah selesai bersiap, saya menghidupkan enjin kereta. Sayup-sayup saya terdengar Ustazah Nur Hanis berceloteh dengan "ibu"nya (ipar saya, merangkap pengasuhnya ketika kami bekerja) di sebelah rumah. Saya hanya menunggu di dalam kereta sehingga lah si pipi tembam saya itu terkedek-kedek berlari masuk ke dalam kereta.

"Adik buat apa kat rumah ibu?" 
"Hanis pergi mintak buku Hanis. Semalam kakak Atin (sepupunya) pinjam" 
"Buku apa?" 
"Buku cerita (saya lupa tajuknya). Hanis nak bawak pergi Kem Anak Soleh" 
"Nak buat apa? Sempatke adik nak baca?" 
"Hanis nak baca dalam bas. Teacher cakap nanti naik bas lama. Hanis nak bawak buku, nanti boleh la baca. Kalau tak nanti Hanis bosan."

Wah!

Saya teruja! Ustazah Nur Hanis mahu membawa buku untuk dibaca di atas bas. Atas kemahuannya sendiri.

Wah! Wah!

Kebelakangan ini kalau ke mana-mana, memang saya ada cadangkan kepada anak-anak untuk membawa buku untuk dibaca. Cuma untuk program ini, tidak pula saya sarankan kepada Ustazah Nur Hanis sedemikan. Bagi saya, aktiviti program tersebut sudah pasti penuh dan bermacam-macam.

"Alhamdulillah. Bagus betul lah anak abah yang sorang ni. Dia nak bawak buku untuk baca kat atas bas, bagus betul (puji kebaikan). Tak membuang masa. Nanti adik tak bosan dan dapat banyak ilmu (nyatakan impak)".

Ustazah Nur Hanis hanya mengiakan dan bermuka selamba. Saya tahu dia suka dipuji dari riak senyumnya.

Saya?

Saya tersenyum kembang kempis hidung memikirkan keberanian, keazaman dan kemahuan anak comel kami ini.

Pipi Ustazah Nur Hanis yang gebu itu saya picit. Dan kemudian, kami bergaduh lagi.

Hehehehe!


Bersama guru tadika dan kawan-kawan

Bertelekung merah jambu, warna kesukaan

Di Masjid Besi, Putrajaya



21 May 2013

Mandi "Koboi"

Alhamdulillah.

Anak-anak saya mahu juga bermain di luar rumah, mahu berpeluh. Tidak lah hanya terperap di dalam rumah, menonton televisyen atau bermain komputer sepanjang masa. Risau juga bila gejala "terperap di rumah" ini sudah banyak berlaku di sekeliling kita.

Alhamdulillah.

Kami juga beruntung kerana menetap berdekatan dengan adik-beradik saya. Usia anak-anak kami dan sepupu mereka hanya berbeza setahun dua, malahan ada yang sama baya. Jadi, kalau tidak ke mana-mana terutamanya hujung minggu, laman rumah pasti meriah dengan gegak gempita anak-anak comel ini bermain.

Cuma, ada juga "akibatnya".

Peluh. Lencun. Baju kotor. Itu lah "harga" yang perlu dibayar. Baunya? Tidak ada perbandingannya! Bau belacan tidak boleh dijadikan penanda aras sama sekali.




Mandi "Koboi"
Baru-baru ini seperti biasa Kapten Muhammad Haris mandi setelah puas bermain di luar. Bila disuruh mandi, siapnya tak sampai 5 minit. Mandi "koboi", kata orang dulu-dulu. Entah macam mana gaya mandinya, kami pun tak tahu. Akibatnya, bau badannya masih melekat dan umminya "pening kepala" dengan bau si sulung ini.

"Cuba abah bau abang ni. Bau kuat betul!"

Kapten Haris tersengih-sengih datang ke arah saya. Saya pun menyuakan hidung dekat dengan Kapten Haris.

"Urghhh! Arggghhh!"

Saya kejung. Penafasan tiba-tiba sesak. Lalu pengsan. Lidah terjelir keluar.

Hihihihi!

Sebebarnya, pura-pura pengsan. Macam Haji Bakhil dalam filem Labu Labi.

Kapten Haris dan ummi tertawa besar. Saya berlakon pengsan untuk berlawak, tetapi sebenarnya itu sebagai cara menunjukkan saya bersetuju dengan apa yang dikatakan ummi. Saya bersetuju, tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu Kapten Haris menjadi malu. Saya tidak marah, tidak merendah-rendahkan dan tidak membanding-bandingkan bau Kapten Haris dengan adik-adiknya yang lebih wangi selepas mandi. Saya mahukan Kapten Haris menerima teguran dengan cara yang lebih terbuka.

Saya terangkan kepada Kapten Haris apa yang dilakukannya (mandi koboi) itu tidak betul. Kemudian, saya kongsikan sedikit tips untuk mandi dengan lebih baik.

Alhamdulillah. Dia menerima sebaiknya.

Semalam, saya memanggil Kapten Haris yang sedang menelaah pelajaran untuk peperiksaan. Saya mahu tahu "perkembangan" perihal mandi.

Wangi!

Tidak ada bau "bacin" seperti tempoh hari. Dan, teknik memuji sudah pasti teraplikasi.

"Wanginya! Macam ni lah elok. Abang pandai jaga kebersihan diri (puji kebaikan). Abang pun jadi lebih selesa. Ummi dengan abah pun suka (nyatakan impak)".


Kapten Haris tersengih-sengih. Lalu diceritakan kepada kami bagaimana dia menyental badannya dengan "penggosok badan berwarna pink" di dalam bilik air. Kami iakan saja.

Mudah kalau menggunakan teknik ini. Tidak perlu lagi meradang tak tentu punca.

:)

Gambar Kapten Haris ketika mandi di tali air di kebun atuknya.


27 April 2013

Janji Ditepati

Siang tadi kami sekeluarga ke Bandar Tasik Permaisuri. Mahu menziarah saudara sebelah isteri yang baru selesai menjalani pembedahan. Dalam perjalanan isteri saya memaklumkan mak saudaranya itu dimasukkan ke hospital semula, akibat luka dari kesan pembedahan yang masih tidak sembuh. Mujur HUKM tidak jauh.

Disebabkan kami tiba di luar waktu melawat dan kanak-kanak pula tidak dibenarkan masuk, hanya isteri saya sahaja yang masuk ke dalam wad. Saya dan anak-anak menunggu di ruang lobi. Tidak banyak aktiviti yang boleh kami lakukan, jadi sudah tentu anak-anak "melilau" mencari apa yang boleh dibuat.

Mesin air.

Ah! Kapten Muhammad Haris yang paling awal meminta untuk dibelikan air dari "vending machine". Kalau yang sulung sudah meminta, yang lain-lain pun akan turut seia sekata. Saya sebenarnya kurang berkenan, tetapi sudahnya tetap alah dengan kemahuan mereka.

Dan saya mengugut.

"Okay. Abah boleh beli. Harga air tu dua ringgit kan? Balik nanti, abah ambik duit tabung anak-anak sorang 10 ringgit, okay?" 
"Haaaaa???!!"

Saya menyeringai. Teknik mengugut seorang bapa corot pasti akan menjadi.

"Okay. Abang setuju. Kalau abang bayar 10 ringgit, duit tabung abang masih ada RM XXX lagi. Boleh la beli."

Ah! Sudah! Ugutan saya diterima pula dengan "selamba". Saya sudah terperangkap. Muka-muka comel yang bertiga itu pula sudah gembira.

Saya tewas. 3 botol air pelbagai perisa sudah keluar dari kotak elektrik penelan duit.

Kemudian kami pulang.


Menunaikan janji
Sampai di rumah, saya melepas lelah di ruang tamu. Mengeringkan badan yang berpeluh. Anak-anak sudah ke bilik mahu menyalin pakaian. Tiba-tiba datang si comel manja saya Ustazah Nur Hanis.

"Nah abah. Duit lima inggit. Nak bayar duit air tadi."

Saya terpinga-pinga. Di tangan mongel Ustazah Nur Hanis ada sekeping duit hijau 5 ringgit. Rupanya mahu menunaikan janji. Janji main-main, janji ugutan saya yang sudah pun saya lupakan!

"Ni duit kakak pulak. Kakak takde duit 5 ringgit, kakak pakai duit singgit-singgit je"
"Nah abah. Duit abang 10 ringgit."
Gambar dari blog http://www.nizarazu.com/asal-usul-gambar-agong-di-duit-malaysia/

Saya kehilangan kata. Isteri yang duduk di sebelah hanya ketawa. Tiga permata hati kami masing-masing dengan duit di tangan. Duit tabung. Saya rangkul Nur Hanis ke pangkuan. Saya betul-betul tidak menyangka anak-anak saya akan bertindak begini. Sudah tentu, saya memuji!

"Baiknya anak-anak abah ni. Bagus betul sebab nak tunaikan janji (puji perbuatan baik). Abah bangga sangat (impak). Sebab anak-anak abah semuanya baik, abah tak ambik duit ni, tapi abah bagi pulak seringgit sorang jadi hadiah (berikan ganjaran - material)!" .
"Yeaaaayyyyyyyy!!!" 

Saya hulur duit seorang seringgit. Anak-anak saya melompat-lompat kegembiraan. Saya tersenyum lalu ketawa juga. Aksi mereka bersorak gembira mengingatkan saya akan aksi 40 penyamun yang seronok bila dimaklumkan akan bekerja overtime dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk.

Saya bahagia. Isteri comel bahagia. Syukur dengan anugerah 3 anak soleh ini.

Tiga "penyamun" hati.

:)



12 April 2013

6 solat

Pagi tadi, seperti biasa Ustazah Nur Hanis akan naik ke tingkat atas untuk mandi dan bersiap di bilik kami. Sudah dipersetujui antara tiga beradik permata kesayangan kami ini, si adik akan mandi di tingkat atas manakala kakak dan abang mandi di tingkat bawah.

Senang. Tak perlu berebut. Lagi pula masing-masing sudah ada rasa malu, tidak mahu mandi bersama-sama lagi. Pembahagian "kawasan" ini juga penting untuk mengelakkan kesesakan di bilik air dan yang paling utama, untuk menghindarkan jeritan sumbang oleh bapa corot mengerah anak-anak bersiap untuk ke sekolah.

:)

Selesai sahaja mandi, Ustazah Nur Hanis bersiap sambil dibantu abahnya. Puteri saya yang satu ini saya perhatikan agak menitik beratkan ketrampilan. Kalau di depan cermin, akan diteleknya kiri kanan atas bawah. Jadi saya tidak boleh bersambil lewa bila menyiapkan puteri comel ini.

Seperti biasa juga, saya mengaplikasikan teknik memuji.

"Adik, adik dah ambik wudhu (untuk solat Subuh) ke?" 
"Dah" 
"Bagusnya anak abah yang solehah ini. Tak payah dah abah nak ingat-ingatkan adik dah untuk solat. Adik dah tau dah nak buat sendiri...." 
"..ye lah. Hanis nak dapat pahala banyak!"

Ustazah Nur Hanis yang berada dalam dakapan saya memotong cakap. Anak kecil ini sudah menghidu ucapan dialog "dapat pahala" yang bakal saya ucapkan. Eheh! Nampak gaya saya perlu cari dialog lain dengan segera, takut nanti sudah tidak ada "nikmat" lagi ucapan dapat pahala itu.

"Hanis nak solat banyak-banyak. Satu hari kena ada 5." 
"Satu hari memang kita solat 5 waktu, sayang. Tak boleh kurang" 
"Ooo... Hanis nak buat solat Dhuha.. nanti dapat 6 solat"

Saya terkedu. Tadika Ustazah Nur Hanis memang mengadakan solat sunat Dhuha sebagai salah satu latihan amali solat. Tetapi saya tidak pula menyangka kesayangan saya ini boleh terfikir solat Dhuha itu salah satu cara untuk "membanyakkan bilangan solat".

Saya pula yang tersipu-sipu. Bilangan solat Dhuha saya sendiri boleh dikira dengan jari dalam tempoh satu bulan.

Sekali lagi Ustazah Nur Hanis "mengajar" saya.

Aduh!

Terima kasih atas peringatan-Mu, Ya Allah.


07 March 2013

"Dilarang bau"

Antara perkara yang suka dilakukan anak-anak saya ialah membaca komik. Komiknya ada yang agak mengarut, ada juga yang "skema". Campur keduanya. Sudah tentu, yang saya beli saya tapis terlebih dahulu. Tetapi yang dipinjam mereka daripada kawan-kawan, itu di luar kawalan saya. Saya tidak mahu terlalu mengongkong, saya biarkan sahaja mereka membaca komik-komik itu selagi ianya tidak memberikan kesan yang buruk.

Saya sendiri pada satu ketika peminat tegar majalah Gila-gila, Ujang, Pedang Setiawan dan pelbagai lagi majalah/komik yang tidak akan dipandang langsung kaum wanita. Heheheh! Bayangkan, saya masih terus membaca komik-komik sebegitu sehingga berumur 23 tahun!

Jadi bila anak-anak ada hobi yang sama, saya hanya membiarkan. Sedikit sebanyak hobi ini menjentik rasa minat mereka membaca bahan bacaan yang lain.

Dan malam ini lanjutan dari hobi membaca komik, Doktor Nur Hanim merekacipta komiknya sendiri. Sebelum ini sudah ada "karya" sebegini tetapi sudah tidak dapat saya cari. Dan kali ini juga berbeza kerana saya selitkan dengan pujian bila kakak Nur Hanim menunjukkan hasilnya kepada saya.

"Cantiknya kakak lukis. Siap ada dialog lagi. Kakak ni kreatif betul. Lama-lama nanti kakak pandai buat komik. Kalau kakak berlatih selalu, lukisan kakak nanti jadi lagi cantik".

Kakak Nur Hanim tersenyum riang. Mahu melukis lagi, cuma saya sudah menguap entah berapa kali menahan kantuk.

Kini sudah berjangkit pada abang dan adik. Ah! Ini lah dia "masalah" apabila anak-anak sudah terdorong. Semangatnya lain macam. Pukul berapa lah agaknya saya boleh tidur ni?

*Hasil kerja kakak Nur Hanim, "Dilarang Bau"

1
2
3
4
5
6
Heeheheheh!


04 March 2013

Telekung

Hari itu, saya pulang agak lewat. Terkejar-kejar waktu, saya menumpang solat di bilik Doktor Nur Hanim. Selesai solat saya terpandang di atas katil, ada telekung yang tak bergantung. Juga, ada seluar yang sudah dipakai, tetapi diletak begitu sahaja.

Ah! Ini boleh mendatangkan marah!

Telekung dan seluar bersepah di atas katil

Saya tahu empunya telekung itu. Milik Ustazah Nur Hanis!

Kalau mengikut kebiasaan sebelum ini, akan terdengarlah abahnya terpekik terlolong;

"Ni siapa yang tak kemas telekung ni?"
"Dah berapa kali dah abah cakap, apa pasal yang tak dengar-dengar jugak ni?"
"Bilik bersepah macam ni, siapa nak duduk?"
"Cepat kemas bilik ni! Kalau tak, tau la nanti!"

Siasat. Marah. Bebel. Ugut. Ugut.

Aduh! Betapa corotnya sikap saya. Menjadi kebiasaan, saya hanya nampak kesalahan, tidak langsung nampak kebaikan yang dilakukan.

Untung lah ada Teknik Nabi yang diperkenalkan. Jadi saya tahu saya boleh membuat pendekatan yang berbeza. Telekung itu bersepah, memang kesalahan. Tetapi yang lebih penting, saya tahu Ustazah Nur Hanis sudah menunaikan solat. Telekung bersepah ini pula bukan lah kebiasaannya. Anak comel saya ini selalunya akan terus mengemas telekung sesudah solat. Tidak tahu pula kenapa hari itu Ustazah Nur Hanis "lalai" dalam menjalankan tugasnya. Kenapa dan mengapa, saya tidak perlu tahu. Sudah terjadi, tidak perlu diungkit-ungkit lagi. Tutup sahaja mata pada kesalahan yang tidak berdosa itu. Apa yang perlu, terangkan apa yang betul.

Lalu saya segera memanggil Nur Hanis. Nur Hanis saya yang cantik manis datang ke bilik dengan senyum simpul.

"Meh sini. Abah nak sayang sikit"

Nur Hanis saya peluk. Pipi mongelnya menjadi mangsa. Dan pada saat itu juga saya katakan;

"Nur Hanis dah solat dah ke?" 
"Dah" 
"Alhamdulillah. Bagus betul anak abah yang sorang ni, dia solat tak payah nak suruh pun. Banyak pahala adik dapat. Senang hati abah."

Senyum Nur Hanis meleret-leret.

"Adik nak dapat pahala lagi tak?" 
"Nak!" 
"Bagus. Kalau adik kemaskan telekung adik lepas solat, bilik akan jadi lebih bersih. Nanti adik dapat pahala sebab adik kemaskan bilik."

Nur Hanis bingkas bangun dari pelukan saya. Terus menggantung telekungnya. :)



Selesai sahaja Ustazah Nur Hanis menggantung telekung, saya teruskan dengan pujian.

"Haa! Kan elok macam itu, bilik dah jadi kemas. Rajin betul anak abah ni, dah la solat, lepas tu kemas pulak telekung dia" 
"Yang seluar tu, kakak Hanim punya kan? Adik pergi panggil kakak, suruh kakak kemaskan." 
"Takpe bah. Biar Hanis je yang kemaskan"

Nur Hanis melipat seluar kakak dengan rela

Subhanallah. Bukan setakat melipat seluar kakaknya, bahkan meja tulis kakak juga turut dikemas. Tanpa saya suruh. Baju-baju yang tergantung juga disusunnya rapi. Saya hanya memerhati dengan senyuman. Kesudahannya, bilik kakak Nur Hanim tersusun kemas dikerjakan Ustazah Nur Hanis. Sudah tentu, sudah ada skrip pujian yang tersedia (puji sebelum, semasa dan selepas) untuk buah hati kami ini.

:)


28 February 2013

Mahu mendorong, tapi skripnya pula terpesong.

Malam tadi entah kenapa saya menjadi malas. Malas untuk makan. Walhal perut sudah berlagu syahdu minta diisi. Konon-konon mahu berdiet, tidak mahu makan malam. Makanan alternatif pula tiada. Aduh! Makin kuat lah lagu yang berkumandang dalam perut.

Kriookkk! Kriookkk! Prrrttttr!

Sudahnya saya terpaksa akur dengan pemberontakan yang berlaku di dalam perut. Isteri tersayang ada memasak, tetapi tekak tidak pula mahu makan nasi. Mengada-ngada. Saya ternampak roti keping yang masih berbaki. Makan roti bakar sedap juga. Bila saya mahu bangun untuk menyediakan makanan, saya perasan Kapten Muhammad Haris tidak membuat apa-apa. Doktor Nur Hanim sedang menyiapkan kerja sekolah. Ustazah Nur Hanis pula menonton tv. Seperti biasa kalau tidak disuruh mengulangkaji, Kapten Haris leka bermain di dalam bilik. Jadi, saya mahu memberi "denda" kepada anak sulung saya ini.

"Abang oooo abang!"

"Saya abah."

"Abang nak dapat pahala yang banyak tak? Abang nak gembirakan hati abah tak?"

"Nak!"

Kapten Haris tersengih-sengih.

"Abang boleh tolong abah buatkan roti bakar? Abah lapar lah"

"Boleh. Abah nak berapa?"

"Empat keping"

"Ok"

Kapten Haris tanpa berlengah-lengah terus menyiapkan roti bakar abahnya. Saya terus saja dengan ucapkan terima kasih. Pesanan abahnya dibuat seikhlas mungkin.

Diet konon!

Alhamdulillah. Selesai makan, saya bersandar kekenyangan di ruang tamu. Sedap roti bakar air tangan anak bujang saya. Walaupun rasanya sama saja dengan roti bakar tempat lain, dihidangkan anak sendiri lain nikmatnya. Kapten Haris pula masih di dapur. Bila beliau ke ruang tamu, terus beliau katakan,

"Abah. Abang dah basuhkan semua pinggan. Meja (makan) pun dah kemas."

Kapten Haris sudah tersenyum-senyum bangga. Saya tahu, inilah masa yang paling sesuai. Tidak berlengah-lengah, saya teruskan memuji. Saya rangkul Kapten Muhammad Haris dan cium kiri kanan atas dan bawah.

"Alhamdulillah. Abah bangga sangat ada anak macam abang, tolong buatkan roti bakar untuk abah. Tolong basuh pinggan lagi. Abang dah gembirakan hati ibu bapa. Abah suka. Allah lagi suka."

Kapten Muhammad Haris tersipu-sipu. Self-esteemnya memuncak. Saya baru perasan. "Denda" saya sebenarnya sudah memperbaiki mood Kapten Haris. Ini waktu terbaik untuk saya mengambil peluang. Saya mahu menyuruhnya mengulangkaji, tetapi lain pula yang terkeluar dari mulut. Aduh! Tersilap skrip!

"Abang anak yang soleh, pergi solat Isyak ye. Lepas tu kemas buku susun ikut jadual. Gosok gigi, buang air. Siap semuanya tu dah boleh tidur dah"

Kapten Haris tidak lagi bertangguh-tangguh. Kalau tidak, berulang-ulang kali juga mengingatkan. Beliau segera ke bilik air mengangkat wuduk, solat dan mengemas buku. Sesudah selesai, Muhammad Haris masuk beradu di dalam bilik.

Saya tahu teknik saya sudah berhasil, tapi ralat sedikit tujuannya tidak kesampaian.

Sekurang-kurangnya saya tahu malam itu, di lain masa sebelum mahu meminta anak membuat perkara yang "kurang/tidak digemarinya", saya boleh meminta mereka membuat sesuatu yang mereka mahu lakukan dengan ikhlas. Apabila sudah selesai, dipuji dan naik pula self-esteemnya, itu lah peluang terbaik untuk mendorong mereka melakukan perkara yang utama.

Teori saya masih belum dibuktikan. Saya mahu cuba lagi. Mana tahu, 4 keping roti bakar bakal terhidang lagi!

Hihihihihi!



18 February 2013

Bila Kapten menjadi Pendekar, puji lah juga.

Antara cabaran ibu bapa di zaman Facebook ini ialah kecenderungan anak-anak yang berlebihan terhadap gajet-gajet moden. Tablet, smartphone, laptop, xbox, PS3 dan pelbagai lagi peralatan teknologi terkini menjadi "kegilaan" mereka. Tidak ada lagi permainan-permainan tradisional seperti galah panjang, tenteng gajah, konda kondi dan lain-lain permainan yang lebih menimbulkan suasana pergaulan yang utuh. Kini, aktiviti mengeluarkan peluh agak terhad seperti permainan bola sepak atau berbasikal. Selebihnya tertumpu pada aktiviti-aktiviti seperti yang dinyatakan di atas.

Ini hanyalah berdasarkan pemerhatian secara rawak. Kekerapan yang saya lihat di sekeliling saya. Juga dalam keluarga saya sendiri.

Dan yang merisaukan saya, anak-anak kami sudah pun merasa tempiasnya. Jika ada masa yang terluang, itu lah yang dimintanya. Walaupun masih terkawal (saya hadkan waktu 2-3 jam sehari, dan hanya pada hari cuti), saya tetap mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya. Antara tiga orang permata hati kami, Kapten Muhammad Haris yang agak "ketagih" dengan permainan alam maya ini. Orang kata, biasalah begitu ragam anak lelaki. Mahu berseronok sahaja waktu umur begini. Kalau 2-3 tahun dahulu, saya terima sebulatnya kata-kata itu dengan menganggap perubahan akan berlaku mengikut masa. Tetapi semakin hari semakin hilang rasa yakin itu.

Yang sewajarnya, perubahan hanya akan berlaku jika kita yang mahu lakukan perubahan.

Saya tekad mahu lakukan sesuatu, sebelum keadaan menjadi lebih parah. Alhamdulillah, atas kemahuan dan persetujuan Kapten Muhammad Haris sendiri, saya daftarkan beliau menjadi ahli Persatuan Seni Silat Gayung di sekolah pada penghujung tahun lepas. Bermula dari hari itu, rutin hujung minggu kami berubah. Setiap hari Ahad Kapten Haris akan berlatih selama dua jam. Dan bila saya sudah tahu menggunakan teknik nabi, saya langsungkan terus kepada Muhammad Haris.


"Abang tahu tak? Abah bangga betul bila abang ambil keputusan nak masuk silat ni. Tak ramai yang ada semangat macam abang. Insya-allah, bila abang dah pandai silat nanti abang boleh tolong abah jaga umi, kakak dan adik. Badan abang pun jadi lebih sihat."

Kapten Muhammad Haris tersengih. Semangat keperwiraannya sudah saya nyalakan. Setiap minggu saya puji usahanya yang terus ke kelas tanpa ponteng sekali pun. Di rumah sebelum bersiap, di dalam kereta semasa menuju ke sekolah, selepas habis latihan; itu lah waktu-waktu terbaik yang saya aplikasikan teknik nabi kepada Kapten Haris.

"Alhamdulillah. Abah suka tengok abang pergi kelas silat untuk belajar. Abang gunakan masa abang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Allah suka. Nabi suka. Abang tau siapa lagi yang suka?"

"Tau! Abah dengan Umi"

Hehehe! Kapten Muhammad Haris sudah tau dialog saya seterusnya.

Doanya, Kapten Muhammad Haris betul-betul dapat belajar dari persatuan ini. Yang saya pernah dengar, hubungan sesama ahli persatuan silat ini akrab, dan disiplinnya tinggi. Sangat bagus untuk Kapten Haris dipengaruhi budaya sebegitu.


Laksamana Haris



08 February 2013

Jangan marah, jangan siasat. Terangkan sahaja.

Isteri saya yang saya kasihi masih berusaha untuk menguasai/memahami kepelbagaian aplikasi dalam teknik nabi sepenuhnya. Alhamdulillah. Saya pula lebih tertumpu kepada penggunaan teknik memuji, jadi isteri saya yang manis berlesung pipit itu hanya jelas dengan teknik memuji ini. Teknik menerangkan perkara yang salah/betul dan juga teknik menutup mata pada kesalahan selalunya seiring dengan teknik memuji, tetapi tidak pula saya terangkan kepadanya secara terperinci walaupun teknik ini sering juga saya aplikasikan.

Saya katakan kepadanya, teknik (memuji) ini juga tidak mudah pada peringkat permulaan. Ada dua perkara yang sering akan membuat kita sedikit kekok dan kurang yakin;

  1. Masalah membina ayat memuji. Saya memang agak kekok bila mahu memuji (kerana bukan kebiasaan), apatah lagi menggunakan ayat-ayat yang formal dengan anak-anak. Pada peringkat permulaannya, saya lebih banyak meniru contoh-contoh ayat dari blog-blog pelopor teknik nabi ini (rujuk blog USK, Cikgu Khairulaniza & Ustazah Nurhidayah), juga dari contoh-contoh warga alumni bengkel teknik nabi. Tetapi kemudiannya saya sedikit "melanggar pantang", saya turut menggunakan bahasa yang lebih sesuai dengan anak-anak saya. Mungkin ini salah, tetapi saya melihat kesannya masih lagi terkawal. Antaranya; "Fuyyyyooo! Cantiknya tulisan jawi abang. Poweeeerrrrr!", sambil kedua-dua tangan menunjukkan tanda bagus. Di sini saya menggunakan dua ganjaran sosial positif iaitu pujian (fuyyo, power) dan juga bahasa badan (tanda bagus, senyum/sengih).
  2. Penerimaan orang yang dipuji juga kadang-kadang tidak seperti kita harapkan. Mereka agak skeptikal, terasa seolah-olah diperolokkan bila dipuji-puji. Memang telah ditekankan oleh pelopor-pelopor pengamal teknik ini apabila sesuatu kebiasaan/kelaziman mahu diubah secara tiba-tiba, tahap penerimaannya agak pelbagai. Saya suka untuk berkongsikan poster yang dibuat oleh Cikgu Khairulniza di Facebook. Apabila mengamalkan teknik ini, jangan lah kita mengharapkab perubahan serta merta.




    Sumber FB : Khairulaniza Khairuddin
    Blog : Cikgu Khairulaniza


Kembali kepada kisah isteri saya. Semalam kami berchatting di gTalk. Isteri saya menceritakan perihal Ustazah Nur Hanis mahu "tuang" solat Maghrib. Ah! Sudah masuk hari kelima, anak comel ini sudah mahu "menyerah kalah"? Hari itu saya tidak ada di rumah, jadi tugas memastikan anak-anak solat saya serahkan kepada isteri tersayang. Isteri saya katakan beliau tidak berapa yakin mahu mengaplikasikan teknik memuji dan tidak pasti pula dengan teknik yang lain. Jadi beliau hanya menggunakan naluri keibuannya memujuk Ustazah Nur Hanis.

Bayangkan. Ustazah Nur Hanis mahu minum susu, sambil baring menonton telivisyen pada waktu Maghrib!

Allah Maha Besar. Saya sungguh terpersona dengan tindakan isteri saya menangani situasi itu. Ummi tidak marahkan Ustazah Nur Hanis. Malahan tidak bertanyakan sebab kenapa Ustazah Nur Hanis tidak mahu bersolat. Sebaliknya Ummi Nur Hanis menerangkan terus akibat perbuatan anak kecil itu.

"Adik, syaitan tu suka sangat dengan orang yang tak solat. Jadi bila adik tak solat dan tengok tv, dia suka sangat. Nanti dia pon tengok (menonton) sama (adik)"

Hebat. Hebat. Dalam tidak kepastian Ummi Nur Hanis, teknik nabi sudah pun diaplikasikannya. Ummi tidak marah, tidak menyiasat malah terus menerangkan. Saya balas mesej Ummi di dinding chat saya.

"Itu teknik nabi la tu, yang"

Hihihihi! Untuk kali ini, saya berikan 30 markah untuk Ummi +Milah Adnan!


04 February 2013

Doa untuk Nur Hanis

Alhamdulillah.

Setakat hari ini, sudah tiga hari Ustazah Nur Hanis solat cukup 5 waktu. Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Semuanya dibuat atas kemahuan sendiri, tanpa ada "perintah dan arahan" daripada abah dan umminya. Kami hanya mengingatkan sahaja bila waktunya, sebab Nur Hanis masih tidak tahu waktu-waktu solat. Kelmarin mulutnya tidak berhenti bertanya sudah masuk waktu atau belum. Bila dijawab "belum lagi" atau "lambat lagi", dibalasnya "alaaa... lambatnya. Hanis bosan dah ni tak sabar nak solat."

Masya Allah. Subhanallah. Alhamdulillah. Sudah tentu saya langsungkan dengan teknik memuji selepas itu.

Solat Maghrib dan Isyak pula, Ustazah Nur Hanis mahu 27 "markah". Dia tetap mahu berjemaah dengan abah. Sabtu lepas, Ustazah Nur Hanis tetap mencari saya untuk berjemaah walaupun jam sudah 11 malam. Kami terlewat solat Isyak kerana meraikan tetamu yang datang dari utara. Ketika saya melepaskan lelah di bilik, Ustazah Nur Hanis masuk dengan membawa telekung.

"Abah, jom solat Isyak!"

Saya hanya membatu. Nur Hanis menyambung lagi.

"Abah dah solat ke?"

Saya hanya mengangguk-angguk. Sebenarnya saya bukan mengangguk mengiakan pertanyaannya, tetapi memberi maklum saya sedang mendengar kata-katanya itu. Tapi Nur Hanis fikir, saya memberi jawapan "ya" untuk soalannya tadi.

"Alaaaa.... kenapa abah solat dulu? Nanti Hanis solat sorang-sorang dapat 1 pahala je"

Aduh! Nur Hanis sudah memuncungkan mulut. Saya pula rasa bersalah kerana acuh tidak acuh melayan pertanyaannya tadi. Saya bingkas bangun dan berkata,

"Adik nak 27 pahala ke? Tunggu jap ye sayang, abah ambik wuduk dulu. Kita solat sama-sama ya".

Ustazah Nur Hanis kembali tersenyum. Terus saja dia bersiap sedia dengan telekung dan sejadahnya. Saya betul-betul beruntung dianugerahkan anak comel ini. Teknik nabi bukan saja dapat mencetus nilai murni dan cemerlang anak-anak, tetapi saya melihat teknik ini lebih banyak membantu saya memperbaiki diri sendiri yang rupanya lebih corot dari yang disangka. Bila melaksanakan teknik ini dan mendapat hasil yang tak terjangka, saya malu dan sedih melihat kelalaian diri. Bukan lah saya sudah berubah seratus peratus, tetapi sedikit demi sedikit saya mula belajar mengawal diri, terutamanya bila berhadapan dengan anak-anak.

Astaghfirullah. Moga Allah mengampunkan dosa saya.


Doa
Saya dan Nur Hanis berjemaah lagi Isyak itu. Dan selesai solat, pesan Nur Hanis tetap sama.

"Abah. Esok bangunkan Hanis awal tau! Nak solat Subuh."

Saya hanya mampu tersenyum. Puji-pujian teknik nabi hanya menyusul selepas Nur Hanis lepas daripada pelukan saya. Selepas seketika, saya duduk menghadap Nur Hanis sambil mata bertentangan.

"Adik tau tak, abah suka sangat adik rajin bersolat. Nabi suka. Allah lagi suka. Abah nak doakan untuk adik lah. Ya Allah Ya Tuhanku. Terima kasih Ya Allah sebab diberi Nur Hanis anak yang solehah, Ya Allah. Budak comel ni baik betul Ya Allah, rajin bersolat dan berjemaah. Dia anak yang baik Ya Allah, jadikan dia anak yang cemerlang dunia dan akhirat."

Saya berdoa bersama-sama dengan Nur Hanis, dengan nada yang ceria sambil menggoyangkan badan ke kiri dan ke kanan. Nur Hanis tersenyum. Tersipu-sipu. Saya berikan lagi ganjaran sosial dengan memeluknya lagi sekali.

Oh ya!

Ustazah Nur Hanis juga berjemaah dengan abahnya waktu solat Subuh!




28 January 2013

Bila semuanya sudah 30 markah!

Sudah banyak kali tertangguh untuk mencatat pengalaman mengaplikasikan teknik nabi ini. Seminggu ini keadaan tidak begitu mengizinkan. Selain timbunan kerja di pejabat yang tidak putus-putus, kesihatan yang agak terganggu juga turut menjadi penyebab. Kalau sudah sakit gigi, semuanya jadi huru-hara!

Alhamdulillah. Hari ini ragam gigi sudah beransur pulih. Cuti hujung minggu yang panjang juga tidak dipersia-siakan. Walaupun hanya ke Port Dickson bermandi-manda, anak-anak tetap gembira. Tentulah, semuanya memang "pantang" nampak air.

Hari ini pula, kami ke Jaya Jusco (JJ). Ummi mahu belanja makan tengah hari. Rezeki jangan ditolak. Perjalanan ke JJ hanya memakan masa 15 minit dari rumah. Ustazah Nur Hanis duduk di depan menemankan abahnya memandu. Sudah 10 minit berlalu, tiba-tiba Ustazah Nur Hanis bersuara.

"Abah, tengok Hanis dah pakai tali pinggang"

Saya baru tersedar. Biasanya saya membuat endah tak endah dengan perkara ini. Pemakaian tali pinggang dalam kereta jarang saya titik beratkan. Prinsipnya juga tidak betul. Anak-anak biasanya akan kelam-kabut memakai tali pinggang keledar sekiranya ternampak kelibat polis. Takut kena tangkap, hasil "tarbiah" abahnya sekian lama. Abahnya yang paling bertanggungjawab dalam hal ini. Memberi maklumat yang salah tentang bila perlunya pemakai tali pinggang keledar.

Saya cepat-cepat memuji tindakan baik Nur Hanis. Teknik Nabi perlu dilakukan serta-merta, tidak bertangguh-tangguh.

"Bagusnya adik pakai tali pinggang tanpa disuruh. Insya-allah, keselamatan adik akan lebih terjaga bila kita lebih bersedia. Abah suka adik pandai jaga diri sendiri. Abah bagi adik 30 markah!"

Serentak itu abang dan kakak di tempat duduk belakang juga mahu memakai tali pinggang. Alhamdulillah. Semuanya saya bagi 30 markah. Nur Hanis seronok. Abang dan kakak juga gembira.


Di Jaya Jusco
Di meja makan pula, saya teruskan lagi dengan teknik memuji dan teknik memberi markah dorongan. Apabila masing-masing sudah mendapat hidangan yang dipesan, tanpa disuruh Ustazah Nur Hanis memulakan bacaan doa makan. Abang dan kakak juga turut mengikut selepas mendengar pujian saya kepada si adik.

"Alhamdulillah. Bagusnya adik baca doa sebelum makan. Allah sayangkan orang yang berdoa sebelum makan. Syaitan pun lari bila dengar adik baca doa. Adik dapat lagi 30 markah!"

Ustazah Nur Hanis makan dengan penuh selera. Saya masih meneruskan puji-pujian atas perilakunya yang baik dari tadi. Adik pun jadi lebih bersemangat. Berulang-ulang diminta tambah makan. Begitu juga kakak dan abang. Licin semua makanan yang dipesan. Kalau tidak silap saya, ini kali pertama makanan yang kami pesan licin semuanya! Mungkin faktor kami lewat makan tengah hari juga antara penyebab, tapi saya benar-benar gembira kali ini. Selesai semuanya saya alihkan pula pujian kepada Kapten Muhammad Haris.

"Wah! Bagusnya abang makan semuanya sampai licin. Abang tak membazir makanan, Allah mesti sayangkan abang. Abang dapat 30 markah!" 
"Kakak Hanim dapat 30 markah!"

Ustazah Nur Hanis tiba-tiba menarik baju saya. Ditunjuknya pinggan yang sudah bersih licin di hadapan, dan terus ditanya berapa markah yang diperolehi. Saya katakan 30 markah juga. Tapi Nur Hanis sudah tidak bereaksi seperti tadi. Dia hanya diam. Saya faham benar perangai si kecil ini. 30 markah yang diperolehinya sama saja seperti abang dan kakak. Budak kecil ini mahu lebih!

"Ok. Adik dapat 100 markah."

Baru nampak senyum manis si bongsu ini. Saya terangkan kepadanya selepas itu bahawa markah yang abah boleh beri hanya ada 10, 20 dan 30. Tidak ada 100. Ustazah Nur Hanis mengangguk. Moga kali lain dia tidak minta 100 markah lagi.

Tetapi Doktor Nur Hanim pula ada perkiraannya sendiri. Si kakak diam-diam mencongak markah yang diperolehi. Dijumlahkan semuanya.

"Abah. Kakak dapat 70 markah semuanya!"

Aduh. Nampaknya anak-anak ini masih melihat 100 markah sebagai markah penuh. Macam mana mahu dihilangkan kebiasaan ini? Saya simpan soalan ini untuk USK pada 3 Februari nanti. :)

19 January 2013

Pujuk atau puji

Maghrib tadi, kami berjemaah anak beranak di rumah.

Kapten Muhd Haris melakukan tugasnya sebagai tok bilal seperti biasa. Bacaan qamatnya sudah semakin baik dan sudah kurang rasa malu-malunya. Tempohari Kapten Haris seperti biasa malu-malu mahu beriqamat, sehingga dimintanya Doktor Nur Hanim menggantikan. Saya bertegas mahukan Kapten Haris juga, dan Kapten Haris akur. Kala dia beriqamat, baru saya tersedar yang saya agak berkeras dengan si Pelindung Terpuji itu.

Selesai tugasnya, saya langsungkan dengan pujian teknik nabi.

Elok bacaan qamat abang. Suara abang pun sedap didengar. Senang hati abah bila abang dah tahu beriqamat. Insya-allah, lama-lama nanti bacaan abang akan jadi lebih lancar."

Abang Haris sengih sahaja. Dan hari ini, ada sedikit peningkatan keyakinan yang ditunjukkan walaupun masih ada yang salah. Saya terus memberitahu bacaan yang betul, tanpa perlu memarahi kesalahannya itu.


Teknik Markah Dorongan
Usai solat, anak-anak bersalam dengan abah dan umminya. Sengaja saya sebutkan dengan suara yang agak kuat, agar didengari semua orang di ruang tamu tempat kami berjemaah.

"Alhamdulillah. Abah bangga abang dan kakak bersolat jemaah. Banyak pahala orang yang solat berjemaah ni dapat. Untuk itu, abah bagi abang dan kakak 30 markah*!"

Ustazah Nur Hanis yang duduk di meja makan hanya memerhati. Maghrib kali ini Ustazah Nur Hanis tidak turut serta. Puteri kami yang comel gebu ini memang begitu. Kalau tidak kena masa dan gaya, apa yang disuruh semuanya tidak mahu. Malam ini, dia enggan bersolat Maghrib bersama-sama.

Pujukan saya tidak diendahkannya. Geram juga, tetapi saya tidak pula memarahi Ustazah Nur Hanis (seperti kebiasaanya). Apatah lagi mengugut anak kecil itu dengan kata-kata seperti "orang yang tidak solat tu berdosa!". Atau seperti kata saya dahulu (sebelum tahu teknik nabi), "abah taknak kawan adik", "siapa tak solat, abah taknak belanja gula-gula" dan macam-macam lagi kata yang bersifat ugutan. Terlepas juga pada permulaannya saya tanyakan "kenapa", tetapi saya segera sedar dan berhenti menyiasat serta-merta. Saya juga sebenarnya agak buntu untuk mencari jalan penyelesaian, lalu mengambil keputusan hanya mendiamkan perkara itu.

Kemudian ketika kami mahu keluar mahu membeli barang, Ustazah Nur Hanis rupanya masih memberontak. Bila abang dan kakaknya mengingatkan tugas Ustazah sebagai Ketua Penjaga Opet & Oyen, adik Hanis hanya membantukan diri. Saya tidak mengendahkan rajuk si bongsu. Dan saya membuat keputusan kali ini saya masuk campur.

"Anak abah mana yang nak dapat pahala lebih? Siapa yang nak tolong abah keluarkan Opet dan Oyen?"

Kakak dan abang terus berlari mendapatkan kucing-kucing kami. Subhanallah. Ustazah Nur Hanis pula sudah mengintai-ngintai. Muncul sahaja abang Haris dengan Oyen di tangan, saya aplikasikan teknik memuji.

"Alhamdulillah. Bagus betul abang tolong keluarkan Oyen. Banyak pahala yang abang dapat har...."

Belum sempat saya menghabiskan perkataan terakhir, Ustazah Nur Hanis terus meluru ke abang Haris. Dimintanya Oyen dan dikendungnya ke pintu utama.

"Bak sini Oyen tu. Biar Hanis yang keluarkan", kata Nur Hanis yang mahu menjalankan tugasnya sebagai Ketua Penjaga Opet dan Oyen.

Saya hanya tersenyum. Nur Hanis turut mendapat pujian kesudahannya. Dan juga 30 markah*.


Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad


Masih ragu lagi kah dengan teknik nabi ini?


*rujuk kepada Hadis Salam

16 January 2013

Doktor Nur Hanim basuh pinggan. Semuanya!

Tidak ada yang lebih menggembirakan bilamana melihat sesuatu usaha membuahkan hasil. Seperti tajuk entri kali ini, itu lah yang membuatkan saya tersenyum meleret malam ini. Saya dikhabarkan oleh isteri tersayang, Doktor Nur Hanim tanpa disuruh, malah menawarkan diri untuk melakukan kerja dapur, membasuh pinggan. Semua pinggan makan malam yang digunakan abang dan adiknya dibasuh.

Subhanallah.

Saya tanyakan kepada isteri, apa yang umminya ucapkan. Kata isteri saya, hanya Alhamdulillah dan terima kasih. Saya senyum lagi. Saya cadangkan kepada isteri cara memuji mengikut teknik nabi.

Sebutkan KEBAIKAN dan nyatakan IMPAK.

Contohnya, "Terima kasih kakak. Bagus sungguh kakak tolong ummi basuh pinggan (kebaikan), senang ummi nak buat kerja yang lain (impak)".

Insya-allah. Semoga teknik ini terus menjadi amalan kami sekeluarga.

15 January 2013

Puji, puji dan puji. Impaknya bagai tsunami!

Subhanallah.

Betapa hebatnya impak Teknik Nabi ini. Sungguh saya tidak menyangka begitu sekali kesannya apabila mengaplikasikan teknik yang dipelopori oleh Rasul junjungan.

Pagi ini saya mengaplikasikan teknik ini seawal mungkin, ketika anak-anak masih lagi di bilik tidur. Abang Muhd Haris sudah awal-awal lagi bangun dikejutkan umminya. Maklumlah sudah darjah 4, jadi perlu segera untuk bersiap kerana abang Muhd Haris akan dihantar ke sekolah oleh umminya sendiri sebelum ke tempat kerja. Tinggallah anak-anak perempuan untuk diuruskan abahnya.

Apabila saya masuk ke bilik mereka, kakak Nur Hanim masih tidur. Adik Nur Hanis pula sedang baring sambil mata terkebil-kebil selepas minum susu botol. Saya sudah mengatur ayat-ayat pujian untuk si kecil, kerana dia sudah pun sedar dari tidur.

"Assalamualaikum. Selamat pagi.", saya mulakan dengan salam dan membuka lampu utama. Terus saya rapatkan diri dengan anak bongsu. Saya peluk dan cium pipi gebunya.

"Alhamdulillah. Anak abah yang seorang ni mudah betul bangun pagi. Senang abah dengan ummi nak buat kerja. Allah memang sayangkan adik sebab menyenangkan urusan abah dan ummi. Jom kita mandi. Siap-siap nak ke sekolah."

Adik Nur Hanis terus bangun. Tanpa ada dalih-dalih lagi nak melewat-lewatkan mandi. Mudahnya!

Saya bergerak pula ke katil kakak Nur Hanim. Saya usap-usap rambut kakak yang kerinting. Mata kakak masih terpejam.

"Doktor Hanim. Jom bangun, siap nak ke sekolah."

Kakak Nur Hanim masih berat mahu membuka mata. Saya teruskan dengan teknik memberi pujian.

"Kakak Nur Hanim ni seorang yang rajin menuntut ilmu. Allah suka kepada orang yang rajin belajar. Abah dan ummi pun hati senang tengok kakak rajin nak ke sekolah. Jom bangun, kita mandi. Kita tak nak terlambat ke sekolah."

Kakak Nur Hanim juga bangun. Mudah. Sungguh mudah. Saya tidak perlu marah-marah atau menaikkan suara untuk membangunkan mereka. Sebelum ini, skrip saya membangunkan anak-anak sangat tidak teknik-nabi-compliance. Biasanya dialog-dialog saya,

"Assalamualaikum. Bangun-bangun. Pergi mandi lekas. Kakak, adik. Bangun!"
atau bila sudah terlambat,
"Ya Allah ya tuhanku. Tidur lagi? Kakak, adik. Bangun cepat! Abah dah lambat dah ni. Lekas lekas lekas!"

Saya menggunakan ayat perintah semata-mata! Masya-allah. Kesian bila difikirkan. Saya ibarat memberi arahan kepada pasukan tentera. :( Sungguh teknik nabi ini sedikit sebanyak sudah mula menyedarkan diri saya sendiri. Membantu saya untuk menilai balik kelakuan dan sikap.

Di bilik air, kakak dan adik sedang mandi. Pesanan USK dalam bengkel tempoh hari, pujian harus diberikan SEBELUM, SEMASA dan SESUDAH setiap perbuatan/kelakuan/aktiviti. Jadi saya teruskan dengan pujian. Saya berdiri di pintu bilik air sambil tersenyum.

"Bagus lah kakak dan adik ni. Pandai uruskan diri sendiri. Mandi pun dah boleh sendiri. Abah dan ummi boleh buat kerja lain dulu sementara tunggu adik dan kakak mandi. Kita semua dapat jimatkan masa"

Benar. Ada ketika saya atau isteri terpaksa masuk ke bilik air untuk memandikan anak-anak disebabkan mereka suka main-main dalam bilir air, tanpa mengira waktu. Malahan, ada waktunya juga mereka bergaduh dalam bilik air. Jadi, pagi ini saya limpahkan dengan pujian semata-mata. Alhamdulillah. Kakak dan adik selesai mandi tanpa ada adegan-adegan yang tak diingini. :)

Selesai mandi, saya seperti biasa menunggu di tepi katil mahu membantu mereka bersiap. Adik dan kakak terus pakai baju sendiri. Semasa adik Nur Hanis terkial-kial mahu zip kan baju (di belakang), kakak Nur Hanim membantu tanpa disuruh! Allahuakhbar. Saya teruskan dengan pujian masa itu juga.

"Masya-allah. Kakak Hanim ni memang baik hati. Abah suka tengok kakak tolong zip dan butangkan baju adik. Macam itu lah kita adik-beradik. Mesti tolong-menolong. Bila kita bantu sesiapa pun, Allah akan berikan kita pahala."

Seingat saya, itu lah pujian saya yang terakhir sebelum anak-anak turun ke tingkat bawah untuk sarapan. Saya sudah cukup gembira melihat hasil dari aplikasi teknik nabi dari bangun tidur sehingga selesai bersiap. Rupanya masih belum berhenti. Kesannya masih berpanjangan dan berterusan.

  • Ustazah Nur Hanis, membantu mengutip penyangkut baju yang bersepah di lantai. Tanpa disuruh.
  • Kerusi meja solek yang beratnya hampir suku berat Ustazah Nur Hanis, diangkatnya untuk disusun elok-elok di tempat yang betul. Tanpa disuruh.
  • Botol air masak untuk bekalan ke sekolah diambil dari atas meja, di masukkan ke dalam beg adik dan kakak. Tanpa disuruh. Oleh Ustazah Nur Hanis juga.
  • Doktor Nur Hanim mencuci sendiri mangkuk dan cawan yang digunakan untuk bersarapan, tanpa disuruh. Begitu juga adiknya Nur Hanis.
  • Doktor Nur Hanim sudah siap semuanya sebelum jam 7.15 pagi, iaitu waktu kami mahu bertolak keluar dari rumah. Kebiasaanya akan terdengar suara saya yang membebel menyuruh kakak Nur Hanim bersiap pakai tudung, mengangkat beg ke kereta, pakai kasut.

Saya cukup gembira. Inilah yang saya katakan. Teknik yang saya pelajari dan cuba aplikasikan ini, memberikan saya hasil bertimpa-timpa, ibarat gelombang tsunami. Sudah tentu, kelakuan-kelakuan anak-anak saya di atas, saya hadiahkan dengan pujian dan doa. Hati saya cukup gembira. Dan rupanya masih juga belum berakhir.

Di ruang tamu sebelum keluar dari rumah, Ustazah Nur Hanis tiba-tiba bertanya kepada saya.

"Abah tau tak siapa kemaskan remote tv tu?"
"Nur Hanis ke?"
"Ha ah! Yang bunga tu? Abah tau tak siapa yang luruskan (susunkan)?
"Adik?"
"Ha ah!"

Nur Hanis sudah tersenyum simpul. Rupanya semasa saya ke dapur tadi, diam-diam Ustazah Nur Hanis mengemas ruang tamu. Pada saat ini, saya sudah mula rasa sebak. Begitu sekali kesannya. Saya hanya terdiam, bagai kehilangan kata-kata. Saya peluk dan cium anak comel itu kiri dan kanan. Yang mampu saya ucapkan waktu itu, hanya lah "terima kasih".

Teknik ini benar-benar berkesan. Saya tidak ragu lagi.

Dan kami pun ke sekolah dengan hati yang gembira. Sambil memandu, kami bersama-sama menghafal doa masuk tandas. :)

14 January 2013

Teknik Memberi Pujian : Kapur kasut

Malam tadi adalah yang pertama kali saya mengaplikasikan Teknik Psikologi Hadis (TPH) kepada anak-anak.  Kalau diikutkan, bukan lah yang betul-betul pertama kali. Saya pernah mencubanya beberapa kali sebelum ini. Cuma saya tidak pasti teknik yang saya gunakan itu betul atau tidak. Dan tidak pasti juga impak yang terhasil betul atau tidak.

Ianya menjadi yang pertama, disebabkan saya mengaplikasikannya selepas menghadiri bengkel. Ibaratnya, kehadiran saya ke bengkel itu untuk mendapatkan "lesen". Dan malam tadi saya menjadi yakin untuk mengaplikasikannya. :)

Situasinya begini. Anak saya yang kedua, Kakak Nur Hanim, mengapur kasut sekolahnya. Sudah jam 8 malam. Kebiasannya, saya akan membebel kerana kasut dikapur pada malam hari persekolahan. Atau sekurang-kurangnya, sedikit "nasihat tak diundang" akan diberi. Anak yang pertama, Abang Muhd Haris dan yang bongsu, Adik Nur Hanis masih lagi di meja makan.

Berpandukan Hadis Zikir Kuat*, saya memberikan pujian kepada Kakak Nur Hanim serta merta. Suara saya agak ditinggikan (bukan nada marah, hanya mahukan kata-kata saya didengari oleh 2 orang anak saya yang lain).

"Alhamdulillah. Abah seronok tengok kakak kapur kasut sendiri. Kakak membantu abah dan ummi mengurangkan kerja rumah. Allah sayangkan anak-anak yang rajin membantu ibu bapa. Nabi Muhammad pun suka. Kakak juga dapat pahala."

Kakak Nur Hanim tersenyum. Tersipu-sipu bila dipuji. Saya terus ke ruang makan dan tiba-tiba..

"Abah. Hanis (si bongsu) dah sudah makan. Mangkuk yang dua ni biar Hanis basuh"

Saya terkejut. Tanpa disuruh, si bongsu tiba-tiba menawarkan diri untuk membasuh mangkuk makannya sendiri. Wah! Kalau ikut norma harian, kadang-kadang sesudah makan pinggan dan cawan anak kecil ini dibiarkan sahaja di atas meja. Ummi atau abahnya yang akan mengemas sambil membebel!

Saya mengekori Nur Hanis ke dapur. Pujian harus diberikan serta merta.

"Wah! Anak abah ni rajin lah. Abah suka tengok adik rajin. Adik tolong ummi basuh pinggan. Dapat pahala banyak tau."

Saya yakin hati Nur Hanis berbunga-bunga. Sambil membasuh mangkuk 2 biji nya itu, Nur Hanis sempat mengomel membebel tangannya tak sampai ke sinki.

Comel betul anak abah yang seorang ni! :)




*Hadis Zikir Kuat merujuk kepada hadis di bawah (mengikut kata USK, hadis boleh "dinamakan" mengikut kesesuaian. Antara tujuannya adalah untuk memudahkan proses mengingat. Minta dibetulkan kalau salah.)

Sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid.

Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, walhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila".

Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad (saw) bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?"

Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah."

Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu."

Dalam laporannya, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu."